Tazkirah hari ini, sabda Rasulullah s.a.w.,

مِنْ الْكَبَائِرِ شَتْمُ الرَّجُلِ وَالِدَيْهِ

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتِمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ

قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

"Termasuk dosa besar, seorang lelaki yang mencela ibu dan bapanya."

Para sahabat bertanya, "Apakah mungkin seorang lelaki itu mencela ibu dan bapanya?"

Rasulullah menjawab,

"Ya, (apabila) dia mencela ayah lelaki lain, maka lelaki itu membalas dengan mencela ayahnya.

Dan (apabila) dia mencela ibu lelaki lain, maka lelaki itu membalas dengan mencela ibunya."

(Shahih Muslim, no.: 130/90)

 

Beberapa pelajaran daripada hadis ini:

 

(1) 
Termasuk bentuk berbuat baik kepada ibu dan bapa adalah tidak mencela mereka, yakni tidak mengatakan apa-apa yang tidak baik tentang mereka.

Semua ibu dan bapa adalah manusia yang tidak lepas daripada kekurangan, sebagaimana anak-anak apabila menjadi ibu dan bapa kelak tidak akan lepas daripada kekurangan.

 

(2) 
Hadis ini juga mengajar kita untuk tidak melakukan aksi provokasi kerana kesan balasnya hanya akan berbalik kepada orang yang memprovokasi.

Bahkan mungkin kesan balasnya adalah berganda berbanding provokasi yang asal.

Ia tidak terhad kepada urusan ibu dan bapa, tetapi meluas kepada pelbagai yang lain.

Misalnya, Allah melarang kita memprovokasi isu sembahan agama lain kerana kesan balasnya akan berbalik kepada orang yang memprovokasi.

Ini sebagaimana firman-Nya,

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ.

Dan janganlah kamu mencela sembahan sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. (al-An'aam 6:108)

Firman Allah "...dengan melampaui batas..." menunjukkan orang yang diprovokasi membalas secara berganda berbanding provokasi yang asal.

 

(3)
Orang yang melakukan provokasi lalu menerima kesan balas, maka kesalahan berada di atas dirinya.

Ini sebagaimana hadis di atas, yang berDOSA adalah orang yang memulakan provokasi, bukan orang yang membalasnya.

Bahkan orang yang membalas provokasi tidak dikatakan berdosa.

Demikian juga bagi ayat 108 surah al-An'aam, mereka yang membalas provokasi tentang sembahan tidak dikatakan bersalah meskipun mereka itu orang kafir.

Contoh lain, jika saya pergi ke sekumpulan orang lalu memprovokasi mereka, lalu mereka membalas dengan melepaskan tumbukan kepada saya, maka SAYALAH yang menumbuk diri sendiri.

Bukan sekumpulan orang itu.

 

(4) 
Apabila mendengar khabar orang lain dizalimi, jangan terus menuduh orang yang menzalimi.

Mungkin ia kes provokasi di mana kesalahannya terletak di bahu orang yang memulakan aksi provokasi.