Tazkirah hari ini, sabda Rasulullah s.a.w.,

 

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ

فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ.

 

Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah pintu yang digelar "al-Rayyan", yang akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada Hari Kiamat kelak.

Pintu itu tidak akan dimasuki oleh sesiapa jua selain mereka.

(Pada hari itu akan diseru) "Di manakah orang-orang yang berpuasa?"

Maka berdirilah mereka itu (memasuki pintu al-Rayyan). Pintu itu tidak akan dimasuki oleh sesiapa jua selain mereka.

Apabila mereka telah memasukinya, pintu itu ditutup dan tidak ada seorang jua yang dapat memasukinya (sesudah itu).

(Shahih al-Bukhari, hadis no.: 1763/1896).

Hadis di atas menerangkan keutamaan orang yang lazim berpuasa, puasa wajib dan puasa sunat.

Bagi mereka ada pintu syurga yang khas, disebut sebagai al-Rayyan.

Pintu ini sangat khusus kepada orang yang lazim berpuasa sehinggakan Rasulullah mengulangi sebanyak tiga kali bahawa orang lain tidak akan memasukinya.

-----

Sebahagian orang, dengan berakhirnya bulan Ramadhan dan Syawal, maka berakhir jugalah puasa wajib dan sunat mereka.

Mereka tidak lagi berpuasa sehinggalah Ramadhan akan datang.

Sebenarnya ibadah puasa boleh dilakukan sepanjang tahun, yakni puasa-puasa sunat.

Ada puasa isnin dan khamis, puasa hari-hari putih, puasa selang sehari, puasa mutlak dan lain-lain lagi.

Hadis di atas menjadi motivasi agar kita memperbanyakkan puasa sunat sepanjang tahun, selain puasa wajib bulan Ramadhan.

Cuma, pastikan puasa sunat itu selari dengan sunnah, bukan puasa sunat yang bid'ah.

-----

Selain itu, ada juga orang yang rajin berpuasa. Akan tetapi dia berpuasa untuk melansingkan badan dan bukan kerana Allah.

Maka perbetulkanlah niat. Berpuasalah kerana Allah dan mengharapkan syurga melalui pintu al-Rayyan.

Adapun kelangsingan badan, maka ia akan datang dengan sendirinya apabila kita lazim berpuasa.