Article Index


Keenam: Sebagai Penghapus Dan Pembalas Kesalahan.

Seorang muslim tidak maksum daripada melakukan kesalahan. Sedikit sebanyak, di sana sini, pasti dia akan melakukan kesalahan yang mengakibatkan dosa. Bagi membersihkan atau menghapuskan dosa tersebut, Allah memberikannya ujian sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya.

Apabila seseorang itu melakukan kesalahan yang besar lagi banyak, maka Allah menimpakan musibah kepadanya, musibah yang memang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ (30) وَمَا أَنْتُمْ بِمُعْجِزِينَ فِي الأَرْضِ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ (31)



Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu musibah, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan musibah, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi; dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah - sebagai pelindung atau pemberi pertolongan. [al-Syura 42:30-31]

Ketujuh: Sebagai Menguji Sikap Orang Yang Terlepas Daripada Musibah, Bala’ Dan Fitnah.

Kadangkala apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala menimpakan musibah, bala’ atau fitnah kepada sesuatu kaum, ia juga merupakan ujian kepada mereka yang pada saat itu terlepas daripadanya. Ini kerana apabila Allah menguji satu kaum, Allah juga sekali gus menguji kaum yang lain, sama ada mereka bersyukur atau angkuh, sama ada mereka turut menghulurkan bantuan atau sekadar bersilang kaki meneka kenapa kaum itu layak ditimpa musibah, bala’ atau fitnah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ .

Dia-lah yang telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:02]

Demikian tujuh sebab dan hikmah Allah Subhanahu wa Ta'ala di sebalik sesuatu musibah, bala’ atau fitnah. Sebenarnya agak sukar untuk kita mengenal pasti secara terperinci apakah sebab dan hikmah di sebalik sesuatu musibah, bala’ atau fitnah. Ia boleh jadi salah satu daripada tujuh sebab dan hikmah di atas dan ia boleh jadi himpunan dua atau lebih daripada tujuh sebab dan hikmah tersebut.

Sebagai contoh, ketika saya menulis risalah ini, negara Myanmar baru sahaja dilanda taufan Nargis sehingga memangsakan jutaan penduduknya. Di antara yang menjadi mangsa ialah umat Islam yang boleh jadi Allah Subhanahu wa Ta'ala mengasihi mereka, menginginkan kebaikan bagi mereka, meningkatkan lagi jati diri mereka atau mengukur tahap keimanan mereka. Di antara yang menjadi mangsa ialah umat bukan Islam yang boleh jadi Allah Subhanahu wa Ta'ala ingin melihat siapakah di kalangan hamba-hamba-Nya yang terselamat di belahan bumi lain yang berlumba-lumba menghulurkan bantuan.

Mungkin ada yang berkata, taufan Nagris adalah musibah yang Allah timpakan sebagai azab kepada penduduk Myanmar yang kebanyakannya tidak beragama Islam. Saya rasa kemungkinan ini amat nipis kerana belum sampai kepada kebanyakan penduduk Myanmar dakwah Islam yang lurus dan tulen yang disampaikan oleh seorang ulama’ pewaris Rasul. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [al-Isra’ 17:15]

Justeru status sebenar penduduk Myanmar yang bukan Islam kita serahkan kepada Rahmat dan Keadilan Allah Subhanahu wa Ta'ala.