MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

 

A - E : F - G : H - L

 

 

 

A:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar kerana ia merupakan pengukur keimanan seseorang, faktor penentu ciri umat yang terbaik dan penjamin kepada kesejahteraan umat keseluruhannya. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar  merupakan tanggungjawab semua orang beriman mengikut kadar kemampuan masing-masing.

 

Penjelasan:

Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan ukuran keimanan seseorang:

 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,

setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain;

mereka menyuruh yang ma’ruf dan melarang yang mungkar;

dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.

Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[al-Taubah 9:71]

 

Juga berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran,

hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya.

Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya.

Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya),

yang sedemikian adalah selemah-lemah iman.[1]

 

 

Sebaliknya melarang yang ma’ruf dan menyuruh yang mungkar adalah ciri-ciri orang munafik:

 

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain;

mereka masing-masing menyuruh yang mungkar dan melarang yang ma’ruf,

dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut).

Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah

dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu,

merekalah orang-orang yang fasik.

[al-Taubah 9:67]

 

Melaksanakan Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan faktor penentu ciri umat terbaik, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,

(kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran,

serta kamu pula beriman kepada Allah.

[Ali Imran 3:110]

 

Melaksanakan Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan penjamin kepada kesejahteraan umat keseluruhannya, berdasarkan hadis:

 

Perumpamaan orang yang menegakkan perintah Allah

(Amar ma’ruf dan Nahi mungkar termasuk perintah Allah) dan orang yang jatuh ke dalam larangan Allah

ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal.

Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi pada tingkat bawah.

(Ketika dalam pelayaran), apabila orang di tingkat bawah inginkan air,

mereka terpaksa pergi meminta kepada orang yang berada pada tingkat atas.

Lalu mereka (yang berada di tingkat bawah) berkata:

“Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.”

 

Jika (mereka yang berada di tingkat atas) membiarkan mereka (orang di tingkat bawah)

melakukan apa yang mereka hendaki (melubangkan kapal),

pasti semuanya akan musnah (tenggelam).

Sebaliknya jika mereka (yang berada di tingkat atas) menahan dengan tangan mereka

(rancangan melubangkan kapal), pasti mereka (yang di tingkat atas) akan selamat

dan akan selamat juga semuanya (termasuk di tingkat bawah).[2]

 

Pendapat yang masyhur menyatakan pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah Fardhu Kifayah, maka jika sebahagian umat Islam telah melaksanakannya, maka baki selainnya tidak lagi bertanggungjawab. Hukum Fardhu Kifayah disandarkan kepada dalil berikut:

 

Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikan

dan menyuruh yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar.

Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

[Ali Imran 3:104]

 

Sebenarnya wujud perbincangan di kalangan ilmuan, adakah ayat tersebut ditujukan kepada sebahagian umat Islam (Fardhu Kifayah) atau kepada semua umat Islam (Fardhu Ain)? Perbincangan tersebut telah dikupas dalam kitab-kitab tafsir, dimana ia dapat diringkaskan seperti berikut:

1.   Ayat ini ditujukan kepada sebahagian umat Islam (Fardhu Kifayah) kerana perkataan (منكم) di permulaan ayat berperanan untuk mengecualikan, bermaksud “sebahagian daripada kamu”.

2.    Ayat ini ditujukan kepada seluruh umat Islam (Fardhu Ain) kerana perkataan (منكم) di permulaan ayat berperanan untuk menegaskan atau memberi penekanan, bermaksud “hendaklah kamu”.

 

Antara dua perbincangan ini, dan Allah sahaja yang lebih mengetahuinya, saya cenderung kepada pendapat yang kedua bahawa ia ditujukan kepada semua umat Islam. Sebabnya:

  1. Ia selari dengan pelbagai ayat dan hadis yang lain, sebagaimana yang dikemukakan di atas, dimana semuanya ditujukan kepada umat Islam secara umum dan bukannya kepada kumpulan tertentu secara khusus.

  2. Ayat 104 surah ‘Ali Imran di atas diakhiri dengan …Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. Menjadi tuntutan Islam agar semua umatnya mencapai kejayaan. Mustahil Islam hanya mengkehendaki sebahagian umatnya berjaya dan sebahagian lagi gagal. Maka pengakhir ayat menjelaskan siapa yang dimaksudkan pada awal ayat, iaitu semua umat Islam.

  3. Berusaha untuk menyampaikan kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan melarang daripada yang mungkar merupakan usaha semua para sahabat radhiallahu ‘anhum. Mereka hanya berbeza dari sudut bentuk usaha yang dilakukannya, sesuai dengan kemampuan dan bidang kepakaran masing-masing. Jika usaha ini hanya disandarkan kepada sebahagian orang sepertimana yang berlaku masa kini, maka timbullah tuding menuding, siapa yang patut buat dan siapa yang tidak buat. Akhirnya tiada siapa yang berbuat apa-apa.

Oleh itu pada analisa saya, pendapat yang lebih kuat adalah pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah tanggungjawab semua orang beriman mengikut kadar kemampuan masing-masing.

 

 

 

 

 

B:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah terlebih dahulu didasari dengan niat yang ikhlas. Amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah dilaksanakan demi menjaga ketulenan agama Allah (Islam) serta kasih sayang kepada umat dan prihatin untuk membetulkan keadaan mereka.

Tidak boleh melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar kerana ingin mempertayangkan kehebatan diri, merendah-rendahkan orang dan sebab-sebab lain yang menjauhi keikhlasan.

 

Penjelasan:

Dalam melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, hendaklah seseorang memiliki keikhlasan dan sikap mengambil berat tentang hal-ehwal agama dan umat, seperti ayat berikut:

 

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri

(iaitu Nabi Muhammad s.a.w),

yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu,

yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu,

(dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

[al-Taubah 9:128]

 

 

 

 

 

C:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah berdasarkan ilmu yang sahih. Perkara ma’ruf yang disuruh hendaklah sesuatu yang benar-benar ma’ruf dan perkara mungkar yang dilarang hendaklah benar-benar mungkar mengikut ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kefahaman para al-Salaf al-Shalih. Tidak boleh menyuruh kepada sesuatu yang ma’ruf padahal ia adalah mungkar dan tidak boleh melarang sesuatu yang mungkar padahal ia adalah ma’ruf.

 

 

Penjelasan:

Ini adalah satu ciri atau syarat yang penting dalam melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Ramai yang semangatnya mendahului ilmu sehingga tergesa-gesa melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar tanpa memiliki ilmu yang luas berkenaan apa yang ma’ruf dan apa yang mungkar. Apa yang ma’ruf dan apa yang mungkar hanya diketahuinya dengan mengikuti pendapat seorang tokoh atau membaca sebuah buku, lalu dengan ilmu yang amat kerdil itu dia mulai menghukum orang yang berbeza dengannya sebagai ahli maksiat atau Ahl al-Bid‘ah. Perlu diingati bahawa sikap tergesa-gesa, gopoh dan ceroboh dalam menghukum orang yang berbeza dengannya adalah sikap aliran-aliran bid‘ah yang berpecah dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sebagaimana yang telah dijelaskan beberapa kali sebelum ini, sangat berhati-hati dalam menghukumi sesuatu perbuatan dan sikap berhati-hati ini berganda dalam menghukumi seseorang pembuatnya. Antara sikap berhati-hati itu adalah mengkaji dan menganalisa terlebih dahulu semua dalil, hujah dan pendapat yang ada sebelum menentukan apa yang ma’ruf dan apa yang mungkar. Termasuk yang dikaji dan dianalisa adalah dalil, hujah dan pendapat pihak yang dipandang berbeza, kerana mungkin apa yang dipandang mungkar oleh seseorang adalah ma’ruf bagi orang lain dan mungkin apa yang dipandang ma’ruf oleh seseorang dipandang mungkar oleh orang lain. Semuanya kembali kepada dalil, hujah dan pendapat yang paling mendekati al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

 

 

 

 

 

D:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah mengikut prioriti keutamaannya. Dalam suasana jauhnya umat Islam dari agama yang tulen serta banyaknya cabaran yang merosakkan agama dan umat, sama ada dari dalam atau dari luar, maka pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah disusun mengikut prioriti kepentingannya. Tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada isu-isu yang kecil padahal isu-isu besar yang lain terabai atau diambil alih oleh pihak yang menanganinya dengan cara yang tidak selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Penjelasan:

Contoh isu besar yang terkini ialah bid‘ah pemikiran Islam Liberal, bid‘ah pemikiran pluralisme (semua agama adalah sama dan benar), bid‘ah pemikiran feminisme (wanita hendaklah menjadi lelaki dan pada waktu yang sama membenci lelaki), bid‘ah pemikiran hak asasi manusia (human rights: setiap manusia bebas melakukan apa yang dikehendakinya), masalah murtad, penyakit aids, hubungan seks antara pelajar dan anak luar nikah. Isu-isu ini patut diberi prioriti di atas isu lafaz niat, doa qunut Subuh, tahlil dan talqin.

Tidak boleh meremehkan isu-isu di atas dengan alasan generasi al-Salaf al-Shalih tidak memberi tumpuan kepadanya. Ini kerana pada zaman mereka tidak ada bid‘ah-bid‘ah pemikiran seperti di atas mahu pun isu penyakit aids dan seks antara pelajar. Seandainya generasi al-Salaf al-Shalih hidup pada zaman kita sekarang ini, pasti mereka akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu besar sepertimana yang disebut di atas.

Memberi tumpuan kepada menghidupkan sunnah dan membasmi bid‘ah termasuk dalam usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar. Akan tetapi perlu dibezakan bahawa bid‘ah itu sendiri terbahagi kepada dua kategori, iaitu bid‘ah pemikiran dan bid‘ah amalan. Antara kedua-dua kategori bid‘ah ini, bid‘ah pemikiran perlu diberi prioriti dalam usaha amar ma’ruf dan nahi mungkar kerana ia lebih mengancam dan lebih berkesan dalam merosakkan Islam dan umatnya. Lebih mengancam kerana ia mencemari asas-asas aqidah Islam itu sendiri (oleh kerana itu ia juga disebut sebagai bid‘ah al-Iqtiqadiyyah) dan lebih merosakkan kerana ia dilancarkan secara bijak dan berkesan oleh orang-orang yang memiliki pengaruh dan kedudukan dalam masyakarat.

Sebaliknya bid‘ah kategori kedua, bid‘ah amalan hanya merupakan tindakan orang-orang awam yang kurang pengetahuan dalam agama tetapi memiliki keinginan untuk memperbanyakkan ibadah mereka kepada Allah. Orang-orang seperti ini, jika diberi nasihat dan didikan yang berhikmah, akan membetulkan amalan mereka daripada menokok tambah yang bid‘ah kepada berpada-pada dengan yang sunnah.

Setakat ini usaha menghidupkan sunnah dan membasmi bid‘ah kelihatan banyak tertumpu kepada kategori amalan. Maka prioriti usaha itu perlu diubah kepada menghidupkan sunnah dan membasmi bid‘ah dalam kategori pemikiran.

 

 

 

 

 

E:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mensyaratkan bahawa pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah dengan memerhatikan kaedah dan akibatnya. Iaitu:

·  Tidak boleh melarang satu perkara yang mungkar dengan menggunakan kaedah atau cara yang mungkar.

· Tidak boleh menyuruh satu perkara yang ma’ruf jika dengannya akan terhilang kema’rufan lain yang lebih besar atau dengannya terhasil kemungkaran yang baru.

·   Tidak boleh melarang satu perkara yang mungkar jika dengannya kemungkaran menjadi lebih besar, atau terhasil kemungkaran yang baru, atau dengannya terhalang kema’rufan yang lain.

 

Penjelasan:

Semua ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah,

kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

[al-An’aam 6:108]

 

Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, pernah seorang arab Badwi membuang air kecil di dalam masjid. Para sahabat bergegas melarangnya tetapi Rasulullah melarang mereka dan membiarkan Badwi tersebut menyelesaikan pembuangan air kecilnya. Setelah itu barulah baginda menegur Badwi tersebut dan memberi tunjuk ajar kepadanya.

Dalam peristiwa di atas yang tercatit dalam Shahih Muslim (nombor 285), Rasulullah tidak secara terus melarang kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya, di dalam masjidnya. Jika kemungkaran tersebut dilarang serta merta, akan berlaku kemungkaran lain yang lebih besar. Badwi tersebut mungkin cuba melarikan diri dan ini akan menyebabkan air kencingnya bertaburan di sekeliling masjid manakala auratnya akan dilihat oleh orang ramai. Atau badwi tersebut mungkin akan berhenti, menahan dirinya dari membuang air kecil dan ini akan membawa mudarat kepada kesihatannya.

Wawasan yang dimiliki oleh Rasulullah menyebabkan baginda tidak melarang kemungkaran yang dilakukan oleh Badwi tersebut serta merta kerana ia akan melahirkan kemungkaran lain yang lebih besar. Baginda hanya menegur setelah urusannya selesai manakala para sahabat disuruh oleh baginda untuk menyiram air di kawasan terbabit.

Peristiwa di atas, sekali pun kecil, perlu dijadikan iktibar oleh kita semua. Hendaklah pengajarannya dipraktik dan diperluaskan kepada pelbagai senario yang kita hadapi masa kini. Berikut dikemukakan beberapa contoh yang terkini:

  • Tidak boleh meletupkan pusat maksiat (disco, pub, rumah urut) dengan alasan ingin melarang kemungkaran yang berlaku di dalamnya. Ini kerana tindakan peletupan tersebut adalah kemungkaran yang lebih besar daripada kemungkaran yang berlaku dalam pusat maksiat tersebut. Malah ia akan mengakibatkan kemungkaran yang baru, iaitu apabila manusia mula memandang serong terhadap umat Islam dan menganggap mereka semua sebagai pengganas (terrorist).

  • Tidak boleh mencela seorang mujtahid yang tersilap dalam ijtihadnya, sekali pun hasil ijtihadnya dipandang oleh pencela sebagai satu bid‘ah. Ini kerana sikap mencela seorang ilmuan dan mujtahid adalah satu bid‘ah yang lebih besar berbanding bid‘ah yang terhasil daripada ijtihad yang tersilap itu.

  • Tidak boleh menyuruh para jamaah sesudah solat Subuh pada pagi Jumaat untuk membaca surah al-Kahf dengan suruhan yang keras. Suruhan ini menghilang kema’rufan lain yang lebih besar, iaitu para jamaah tidak lagi selesa untuk menghadiri solat Subuh secara berjamaah di masjid pada masa akan datang. Ia juga boleh menghasilkan kemungkaran yang baru, iaitu apabila ahli jamaah masjid berselisih dan berpecah sesama mereka.

  • Tidak boleh menghalang satu amalan bid‘ah dengan cara yang keras kerana ia tidak akan menghilangkan bid‘ah tersebut. Malah ia akan menghasilkan kemungkaran yang lebih besar dimana orang yang melakukan bid‘ah semakin menjauhkan diri mereka daripada sunnah, bukan kerana mereka membenci sunnah tetapi kerana membenci orang yang menyampaikan sunnah tersebut secara keras dan memaksa.

  • Tidak boleh menentang tindakan mungkar majikan kerja atau pemerintah negara, dengan membuat demonstrasi dan mogok. Tindakan ini dari satu sudut kelihatan untuk melarang kemungkaran. Akan tetapi hasil yang sebenar adalah kemungkaran tetap tidak berubah. Malah terhasil kemungkaran baru yang lebih besar apabila pihak majikan atau pemerintah mengambil tindakan ke atas orang yang membuat demonstrasi dan mogok, seperti memecat atau memenjarakan mereka serta mengambil tindakan pengawasan ke atas orang-orang yang memiliki kesedaran agama. Pada waktu yang sama kema’rufan juga hilang, iaitu apabila tindakan demonstrasi dan mogok tersebut mengganggu kesejahteraan awam.

 

 

TOP
 


[1]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 49 (Kitab al-Iman, Bab menjelaskan bahawa melarang kemungkaran …).

[2]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 2493 (Kitab al-Syarikah, Bab bolehkah mengundi untuk mendapatkan bahagian…).

 

kandungan