K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4 

 

E: HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN.

Contoh no: 3

Islam bermula sebagai asing dan berakhir sebagai asing.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu.[1]

Kemusykilan:

Dalam hadisnya di atas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah meramalkan suasana agama Islam dan umatnya sebagai sesuatu yang asing. Ini selalunya dikaitkan dengan suasana umat Islam yang kecil jumlahnya, terpinggir lagi terbuang. Apakah ini yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah ?

Penjelasan:

Sesuatu yang asing tidaklah bererti sesuatu yang kecil atau terpinggir, ia hanya bermaksud sesuatu yang berlainan daripada sesuatu yang lain. Umpamakan sebuah kedai yang menjual koleksi komik daripada pelbagai judul dan watak tetapi di satu sudut dijualnya kitab al-Qur’an al-Karim. Pasti sahaja kitab al-Qur’an tersebut dianggap “asing” oleh para pengunjung kedai, tak kira sama ada jumlah kitab al-Qur’an yang dijual itu melebihi atau mengurangi jumlah komik yang dijual. Namun keasingan kitab al-Qur’an dalam kedai tersebut tidaklah bererti ianya adalah sesuatu yang memiliki nilai ilmiah dan kebenaran yang lebih rendah daripada judul-judul komik dalam kedai tersebut, bahkan ia adalah lebih utama dan mulia dengan gandaan yang besar.

Demikian juga, apabila dikatakan Islam dan umatnya akan menjadi asing, ia tidaklah bererti keasingan yang memencil atau meminggirkannya. Asing di sini ertinya berlainan daripada lain-lain pola hidup dan adab masyarakat.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan hadis di atas bukanlah atas tujuan meramalkan sesuatu yang negatif terhadap umat tetapi bertujuan memperingatkan umat bahawa pada satu masa nanti mereka akan hidup di kalangan masyarakat yang sangat buruk adab dan perlakuan mereka. Masyarakat ini pula akan memandang syari‘at Islam sebagai sesuatu yang aneh, ketinggalan dan tidak lagi sesuai dengan peradaban semasa.

Oleh itu hendaklah umat Islam tetap beristiqamah atas ajaran Islam yang asal berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah serta memelihara diri daripada keburukan pola hidup masyarakat lain mahupun pandangan negatif mereka terhadap Islam. Sikap sebeginilah yang dipuji oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di akhir hadis di atas: Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu.


 

[1]              Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah, Ibn Mas‘ud, Anas bin Malik, Salman al-Farisi, Suhal bin Sa‘ad dan Ibn Abbas radiallahu ‘anhum, dikeluarkan oleh Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Thabarani dan lain-lain. Lihat Sahih Muslim – no: 145 (Kitab Iman, Bab Menjelaskan bahawa Islam bermula sebagai yang asing.......).

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis