Meninjau Semula Hukum Nikah, Iddah Dan Nasab Anak Bagi Penzina.

 

 Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Sesuatu yang tidak dapat disembunyikan pada masa kini adalah banyaknya kes keterlanjuran antara pasangan lelaki dan wanita muslim yang belum berkahwin hingga menyebabkan mereka terjatuh ke dalam kancah perzinaan. Namun, alhamdulillah, dalam jumlah yang banyak tersebut terdapat mereka yang segera teringat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala akan keterlanjuran mereka dan ingin bertaubat. Pada waktu yang sama mereka ingin melangsungkan perkahwinan dengan orang yang mereka zinai dan meneruskan kehidupan berkeluarga dalam suasana yang halal. Di sini timbul beberapa persoalan hukum:

A)   Bolehkah penzina bernikah?

B)   Bolehkah bernikah dengan wanita yang sedang hamil kerana zina?

C)   Bagaimana status anak yang lahir hasil dari zina?

Insya-Allah dalam risalah ini saya akan terangkan hukum bagi persoalan-persoalan di atas. Para ilmuan kita telah pun membuka perbincangan yang luas terhadap persoalan-persoalan di atas dan tidak kurang pula dalam perbincangan tersebut terdapat perbezaan pendapat yang saling menyilang. Di antara perbezaan itu ada yang masyhur kerana memiliki dalil yang kukuh dan ada yang asing kerana tidak memiliki dalil yang kukuh.

Dalam risalah ini saya akan menyertakan perbezaan pendapat tersebut bukan dengan cara menyebut nama tokoh atau mazhab yang berbeza pendapat, tetapi dengan cara mengemukakan dalil dan hujah bagi setiap pendapat. Seterusnya saya jelaskan pendapat mana yang lebih kuat insya-Allah. Tentu saja dengan catitan, apa yang kuat mengikut analisa saya mungkin lemah mengikut analisa para pembaca sekalian. Semua ini adalah tanda kematangan fiqh yang sekali gus menandakan kematangan seseorang dalam beragama.

 

 

A)        Bolehkah Penzina Bernikah?

Terhadap persoalan ini ada dua senario:

 

Senario Pertama: Jamal dan Jamilah masing-masing baru berkenalan kira-kira dua bulan. Akan tetapi kerana tarikan nafsu yang amat kuat, mereka terlanjur berzina di sebuah rumah sewa. Masing-masing segera sedar akan kesilapan mereka dan dengan itu mereka ingin bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan muslim yang baik lagi beriman.

 

Senario pertama merujuk kes penzina yang ingin bernikah dengan penzina. Hukumnya adalah haram berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

الزَّانِي لاَ يَنكِحُ إلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لاَ يَنكِحُهَا إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ.

 Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak bernikah melainkan dengan wanita yang berzina atau wanita musyrik;

dan wanita yang berzina itu pula (lazimnya) tidak dinikah melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik.

Dan perkahwinan yang demikian itu dilarang kepada orang-orang yang beriman. [al-Nur 24:03]

 

Ayat di atas menerangkan kes lelaki penzina yang bernikah dengan wanita penzina, atau sebaliknya. Pernikahan tersebut …dilarang kepada orang-orang yang beriman. Hukum haram atau larangan pernikahan terangkat apabila kedua-dua lelaki dan wanita tersebut bertaubat dari sebarang aktiviti zina. Dengan taubat, mereka tidak lagi dikenali sebagai penzina di sisi syari‘at Islam dan dengan itu tidak lagi masuk dalam perbicaraan ayat 3 surah al-Nur di atas.

 

Senario Kedua: Firdaus dan Faridah sedang bersiap sedia menghadapi hari pernikahan mereka yang akan menjelang tiba minggu hadapan. Namun hati Firdaus kurang tenteram mengingatkan sejarah lampaunya yang pernah berzina beberapa kali dengan wanita lain. Dia terfikir, apakah halal untuk aku menikahi Faridah yang dikenali sebagai wanita yang shalihah?

 

Senario kedua merujuk kepada kes dimana salah seorang dari pasangan yang bakal menikah adalah penzina. Apakah hukum Islam mengenainya? Ayat berikut menjadi rujukan:

 

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ.

 

Wanita-wanita yang jahat adalah untuk laki-laki yang jahat, dan laki-laki yang jahat untuk wanita-wanita yang jahat;

dan (sebaliknya) wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik. [al-Nur 24:26]

 

Antara yang dimaksudkan dengan lelaki dan wanita yang jahat adalah mereka yang melakukan zina. Maka pasangan penzina tidak boleh dinikahkan dengan pasangan yang shalih melainkan dia bertaubat terlebih dahulu sebelum dia bernikah. Dengan taubat, dia termasuk dalam kategori orang yang baik dalam ayat di atas.

Dalam kedua-dua senario di atas, Islam melarang pasangan penzina daripada bernikah. Sama ada kedua-dua pasangan atau salah seorang daripada mereka, aktiviti zina menjadi faktor larangan untuk bernikah. Kenapa sedemikian? Antara hikmahnya, nikah adalah satu ikatan untuk kedua-dua pasangan hidup harmoni sebagai satu keluarga. Tidak dapat dibayangkan bahawa ciri keharmonian itu dapat dicapai jika salah seorang atau kedua-duanya masih melazimkan diri dengan aktiviti zina. Islam menghalalkan nikah agar kedua-dua pasangan hidup harmoni. Maka dengan itu juga, Islam mengharamkan nikah yang sejak dini memiliki ciri yang bertentangan dengan keharmonian tersebut. 

 

 

B)        Bolehkah Bernikah Dengan Wanita Yang Sedang Hamil Kerana Zina?

Senario Pertama: Sesudah Jamal dan Jamilah bertaubat dari kesalahan zina, mereka membuat persiapan untuk melangsungkan majlis perkahwinan.  Walaubagaimana pun sebelum tarikh pernikahan, Jamilah mendapati dirinya telah hamil hasil dari hubungannya dengan Jamal sebelum itu.

Wujud perbincangan di kalangan ilmuan Islam terhadap senario pertama di atas. Perbincangan mereka menghasilkan dua pendapat:

 

Pendapat Pertama:

Tidak boleh bernikah dengan wanita yang hamil. Jika sudah bernikah dengan wanita yang hamil, nikah tersebut tidak sah. Ini kerana wanita yang hamil berada dalam keadaan iddah dan waktu iddah tersebut berakhir dengan lahirnya bayi. Pernikahan hanya dibolehkan dan sah selepas bayi dilahirkan.

Dalil-dalil pendapat pertama adalah seperti berikut:

  • Dalil al-Qur’an. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

وَأُوْلاَتُ الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ.

 

Dan wanita-wanita hamil, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. [al-Thalaq 65:04]

 

  • Dalil Qiyas (analogi). Sebab (al-‘Illat) dilarang menikah wanita yang hamil adalah supaya tidak terjadi kekeliruan tentang siapakah ayah sebenar bagi anak yang sedang dikandung itu. Maka hukum nikah bagi wanita yang hamil kerana zina diqiyaskan kepada hukum ayat 4 surah al-Thalaq di atas, supaya tidak terjadi kekeliruan tentang siapa ayah sebenar bagi anak yang sedang dikandung itu.

 

Pendapat Kedua:

Boleh bernikah dengan wanita yang sedang hamil kerana zina. Tidak ada iddah ke atas wanita yang sedang hamil kerana zina. Hukum iddah hanya ke atas isteri, iaitu wanita yang bernikah, kemudian hamil, kemudian bercerai dengan suaminya sama ada kerana talak atau kematian. Ada pun dalil Pendapat Pertama, maka para ilmuan dari Pendapat Kedua berkata:

  • Ayat 4 surah al-Talaq merujuk kepada para isteri, iaitu wanita yang bernikah, kemudian hamil, kemudian diceraikan. Ayat 4 adalah sebahagian dari keseluruhan perbincangan yang bermula dari ayat pertama:

 

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمْ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ...

 

Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu),

maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya… [al-Thalaq 65:01]

 

  • Kaedah qiyas hanya digunakan untuk persoalan hukum yang muncul selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ada pun persoalan zina, ia adalah sesuatu yang wujud pada zaman Rasulullah. Banyak hukum berkaitan zina dan penzina yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya melalui al-Qur’an dan al-Sunnah. Demikian juga hukum-hukum berkaitan hubungan seks dengan wanita tawanan perang yang hamil, ia telah digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Namun pada waktu yang sama, Allah dan Rasul-Nya tidak menggariskan hukum iddah ke atas wanita merdeka yang hamil kerana zina. Padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا.

Dan tiadalah Tuhanmu (Allah) terlupa. [Maryam 19:64]

 

Justeru apabila Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan hukum iddah ke atas wanita merdeka yang hamil kerana zina, bererti tidak ada hukum iddah ke atas mereka. Ada pun untuk mengelakkan kekeliruan terhadap siapakah ayah sebenar anak yang sedang dikandung, perbicaraannya akan menyusul ketika membahas status anak yang lahir hasil dari zina insya-Allah.

 

Pendapat Yang Kuat.

Tanpa melepaskan sikap hormat saya kepada para ilmuan yang berpegang kepada pendapat pertama, pada analisa saya pendapat yang kedua adalah lebih kuat.

Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Tuhan yang mencipta manusia amat mengetahui tabiat manusia yang mudah terlanjur hingga berzina. Pada waktu yang sama Allah juga mengetahui bahawa di antara hamba-Nya yang berzina, ada sebahagian yang ingin bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang halal. Untuk bernikah, Allah tidak menetapkan hukum iddah.  Sebaliknya Allah menetapkan hukum taubat. Apabila para hamba-Nya yang berzina bertaubat, dosa dan kesan kesalahan zinanya dihapuskan.

Perkara penting berkenaan taubat adalah, ia bukan sahaja menghapuskan dosa kesalahan, tetapi juga menghapuskan kesan kesalahan. Pengecualian adalah apabila kesan kesalahan itu melibatkan hak orang lain, maka orang yang bertaubat hendaklah juga mengembalikan hak orang yang disalahinya itu.

Apabila Adam dan Hawa memakan pokok yang dilarang, mereka segera bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka. Dalam rangka menerima taubat mereka, Allah tidak menyuruh Adam dan Hawa memuntahkan apa yang telah mereka makan atau menghukum sebahagian dari darah daging mereka sebagai hasil dari sesuatu yang haram. Taubat Adam dan Hawa sekali gus menghapuskan dosa dan kesan kesalahan:

 

فَأَكَلاَ مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى (121)

 

 ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى (122).

 

Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing,

dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan. Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. [Ta-Ha 20:121-122]

 

Jika wanita yang sedang hamil kerana zina ditetapkan hukum iddah, ia akan menyebabkan dia terpaksa menanggung malu di sisi masyarakat atas satu kesalahan yang telah dia bertaubat darinya. Wanita itu tidak akan memiliki banyak pilihan kecuali menggugurkan kandungannya atau membuangnya setelah dilahirkan. Kedua-dua pilihan ini merupakan dosa yang besar. Semua ini menyelisihi konsep taubat yang menghapuskan dosa dan kesan orang yang pernah berbuat salah.

 

 

Senario Kedua: Pada satu masa yang lalu Azura memiliki beberapa teman lelaki yang ditidurinya secara bergilir-gilir. Malam ini dia bersama Roy, malam esok dia bersama Ahmad, malam lusa dia bersama Azlan, dan begitulah pada malam-malam seterusnya dengan beberapa lelaki yang lain. Kini dia hamil dan dia tidak tahu siapakah ayah kandungannya. Azura ingin bertaubat, bernikah dan memulakan kehidupan baru suami isteri secara halal. Di antara semua lelaki tersebut, dia ingin mengambil Azlan menjadi suaminya.

Senario pertama merujuk kepada wanita yang hamil kerana zina dan dia mengetahui secara pasti siapakah lelaki yang menghamilkannya. Ada pun senario kedua, ia merujuk kepada wanita yang hamil kerana zina dan dia tidak pasti siapakah lelaki yang menghamilkannya. Bagi senario kedua, pasangan boleh bernikah berdasarkan apa yang telah dikupas dalam senario pertama di atas. Akan tetapi terdapat perbincangan tambahan di kalangan para ilmuan terhadap senario kedua, bolehkah kedua-dua pasangan itu melakukan persetubuhan? Di sini terdapat dua pendapat:

 

Pendapat Pertama:

Tidak boleh bersetubuh sehingga bayi dilahirkan berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يَسْقِ مَاءَهُ وَلَدَ غَيْرِهِ.

 

Sesiapa yang  beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka janganlah dia menyirami air maninya ke atas anak milik orang lain.

 

Hadis di atas dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1131 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan lelaki yang membeli seorang hamba padahal dia hamil). Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang seorang lelaki daripada bersetubuh dengan seorang wanita yang sedang hamil hasil dari hubungan dengan orang lain.

 

Pendapat Kedua:

Boleh bersetubuh kerana hadis-hadis yang melarang sebenarnya merujuk kepada wanita yang tidak merdeka seperti hamba dan tawanan perang. Ada pun wanita merdeka yang hamil kerana zina, maka tidak ada dalil yang melarang persetubuhan bersama lelaki yang dinikahinya, sekali pun lelaki itu bukan orang yang menghamilkannya.

 

Pendapat Yang Kuat:

Jika dikaji semua hadis berkaitan larangan bersetubuh dengan wanita yang dihamilkan oleh lelaki lain, akan ditemui bahawa di antaranya ada yang bersifat umum dan ada yang bersifat khusus kepada wanita hamba dan tawanan perang. Maka hadis yang bersifat umum meliputi semua kategori wanita sama ada yang merdeka atau tidak. Oleh itu pendapat yang lebih selamat adalah pendapat yang pertama, iaitu tidak bersetubuh sehinggalah bayi itu dilahirkan.

Antara hikmah larangan adalah supaya bayi yang dikandung tetap selamat ketika berlakunya persetubuhan. Jika yang sedang bersetubuh adalah ayah kandungan, nescaya dia akan berhati-hati dan lemah lembut. Sebaliknya jika yang sedang bersetubuh adalah bukan ayah kandungan, kemungkinan besar dia akan lupa sehingga beraksi dengan kekasaran yang mungkin mencederakan kandungan atau menyebabkan keguguran.

 

 

 

D)        Bagaimana Status Anak Yang Lahir Hasil Dari Zina?

Senario Pertama: Jamilah akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat. Jamal dan Jamilah sangat bergembira lagi bersyukur kepada Allah. Mereka menamakan bayi tersebut Sakinah. Seterusnya mereka berfikir, apakah status bayi tersebut? Bolehkah dia dinasabkan kepada Jamal dan diberi nama Sakinah binti Jamal? Apabila dewasa, perlukah Sakinah sentiasa menjaga auratnya ketika di rumah apabila Jamal ada bersama? Bolehkah Jamal menjadi wali perkahwinan Sakinah satu hari kelak dan mewariskan hartanya kepada Sakinah?

Para ilmuan sekali lagi memiliki perbincangan dalam menentukan status anak yang asalnya adalah hasil zina. Perbincangan mereka membuahkan dua pendapat:

 

Pendapat Pertama:

Anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada ayahnya. Apabila baligh, anak tersebut hendaklah menjaga auratnya apabila berhadapan dengan ayahnya. Pada waktu yang sama ayahnya tidak boleh menjadi wali perkahwinan dan tidak boleh mewariskan harta kepada anaknya. Ringkasnya, dia adalah ayah dari sudut biologi tetapi tidak dari sudut hukum agama.

Dalilnya adalah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2053 (Kitab al-Buyu’, Bab tafsir al-Musyabihat):

 

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ.

 

Anak itu adalah bagi yang memiliki tempat tidur manakala lelaki yang (menzinai) dijauhkan.

 

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa anak zina dinasabkan kepada empunya tempat tidur, iaitu si-wanita (ibunya) manakala lelaki yang menzinai sehingga lahirnya anak tersebut dijauhkan. Ringkasnya ayah yang menzinai tidak memiliki apa-apa kaitan hukum dengan anaknya.

 

Pendapat Kedua:

Anak tersebut dinasabkan kepada ayahnya sama ada dari sudut biologi mahu pun hukum. Maka anak itu dinamakan Sakinah binti Jamal dan ayahnya (Jamal) boleh menjadi wali pernikahan Sakinah dan mewariskan harta kepadanya. Ini kerana taubat yang dilakukan oleh Jamal dan Jamilah menghapuskan semua kesan kesalahan zina mereka yang lalu, kini dan akan datang.

Selain itu terdapat dalil dari sejarah umat Islam sendiri dimana ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mula mendakwahkan Islam, keluarga-keluarga yang sebelumnya dalam keadaan jahiliyah memeluk Islam. Keluarga-keluarga ini terbahagi kepada dua kategori:

 

Kategori Pertama:

Seluruh keluarga, yakni suami isteri dan anak-anak memeluk Islam. Bagi kategori ini, suami isteri tersebut tidak dituntut untuk bernikah semula. Pernikahan mereka melalui adat jahiliyah dahulu diiktiraf apabila mereka memeluk Islam. Padahal jika ditinjau dengan lebih mendalam, pernikahan yang mereka lakukan satu masa lalu hanya sah dari ukuran adat jahiliyah, tidak sah dari ukuran hukum Islam. Ringkasnya pasangan suami isteri itu hidup dalam suasana zina dan melahirkan anak melalui hubungan zina.

Akan tetapi apabila mereka memeluk Islam, ia adalah satu bentuk taubat yang dengannya semua tindakan mereka yang lalu tidak lagi diambil kira. Apabila mereka memeluk Islam sekeluarga, pernikahan mereka yang lalu melalui adat jahiliyah diiktiraf oleh Islam sebagai pernikahan yang sah dan anak mereka yang terhasil dari persetubuhan jahiliyah diiktiraf oleh Islam sebagai anak yang sah. Anak itu dinasabkan kepada ayahnya secara biologi dan hukum.

Hukum ini masih berlaku hingga masa kini. Umpamakan Rajen A/L Gobindren dan isterinya Rajeswari A/P Apawari bersama anak mereka Kumari A/P Rajen sekeluarga memeluk Islam. Rajen dan isterinya Rajeswari tidak dituntut untuk bernikah semula cara Islam. Pernikahan mereka melalui cara Hindu diiktiraf oleh Islam. Yang dianjurkan hanya sekadar tambahan nama bagi memudahkan pengenalan bahawa mereka telah memeluk Islam. Contohnya Muhammad Rajen bin Gobindren dan Siti Rajeswari binti Apawari.

Demikian juga bagi anak perempuan mereka, Kumari A/P Rajen. Islam tidak bertanya berkenaan status Kumari, sebaliknya menerima Kumari sebagai anak yang sah bagi Rajen. Muhammad Rajen boleh menjadi wali kepada pernikahan Kumari satu masa nanti dan boleh mewariskan harta kepada Kumari. Hanya yang dianjurkan adalah penambahan nama bagi memudahkan pengenalan bahawa Kumari telah memeluk Islam. Contohnya Siti Kumari binti Muhammad Rajen.

 

Kategori Kedua:

Hanya anak yang memeluk Islam manakala ibubapanya masih dalam agama Jahiliyah. Bagi kategori ini, Islam tetap menerimanya sebagai anak sah bapanya tanpa bertanya sejarah asal usul anak tersebut. Anak itu tetap dinasabkan kepada ayahnya secara biologi tetapi tidak secara hukum. Maka ayah tidak boleh menikahkan anaknya dan tidak ada harta warisan (mengikut salah satu pendapat) bagi anaknya.

Hukum ini tetap berlaku pada masa kini. Kita kembali kepada contoh Rajen dan keluarganya. Kini umpamakan hanya Kumari yang memeluk Islam manakala Rajen dan Rajeswari kekal dengan agama Hindu. Kumari tetap diiktiraf oleh Islam sebagai anak Rajen dan dinasabkan kepadanya: Siti Kumari binti Rajen. Akan tetapi tidak boleh dinasabkan secara hukum, bererti Rajen tidak boleh menjadi wali kepada pernikahan Siti Kumari dan mewariskan harta kepada Kumari (mengikut salah satu pendapat).

 

Pendapat Yang Kuat:

Pada analisa saya, sekali pun yang masyhur adalah pendapat pertama, tetapi dari sudut ketepatan dalil dan kekuatan hujah, pendapat kedua adalah yang terpilih.

Ada pun hadis Anak itu adalah bagi yang memiliki tempat tidur manakala lelaki yang (menzinai) dijauhkan., maka ia tidak tepat untuk dijadikan dalil dalam persoalan yang sedang dibincang. Ini kerana hadis tersebut, jika dikaji kisahnya dari awal hingga akhir, hanya merujuk kepada kes seorang anak yang diperselisihkan, siapa ayahnya yang sebenar? Maka Rasulullah mengembalikan anak tersebut kepada pasangan suami isteri yang sudah bernikah secara sah. Seandainya si-isteri telah berzina dan itu adalah anak zina, anak itu tetap dinasabkan kepada suami isteri yang sah manakala lelaki yang menzinai tidak memiliki apa-apa hubungan nasab.

Istilah (الفراش) bererti hamparan tempat tidur, di sini secara kiasan merujuk kepada isteri kerana isteri adalah umpama tempat tidur bagi suami melalui pernikahan yang sah. Pasangan yang pernah berzina tidak memiliki (الفراش) dan tidak dikenali sebagai (الفراش), justeru mereka dan anak hasil perzinaan mereka tidak memiliki apa-apa kaitan dengan hadis di atas.

 

Senario Kedua: Azlan dan Azura bertaubat dan melangsungkan pernikahan. Azura kemudiannya selamat melahirkan anak perempuan yang mereka namakan Anisah. Akan tetapi Azura masih tidak tahu siapakah ayah Anisah yang sebenar. Azlan juga tahu bahawa dia mungkin ayah biologi kepada Anisah dan mungkin juga tidak.

Sekali lagi, bezakan bahawa senario pertama merujuk kepada anak hasil zina yang diketahui siapa ayahnya manakala senario kedua merujuk kepada anak hasil zina yang tidak diketahui siapa ayahnya.

Maka bagi senario kedua anak zina tersebut tidak boleh dinasabkan secara biologi mahu pun hukum kepada si-ayah. Dalam ertikata lain, tidak boleh memberi nama Anisah binti Azlan, sebaliknya hendaklah diberi nama Anisah binti Abdul Rahman (atau mana-mana nama Allah yang lain). Anisah hendaklah menjaga auratnya apabila berhadapan dengan ayahnya (Azlan) dan Azlan tidak boleh menjadi wali penikahan Anisah mahu pun mewariskan harta kepada Anisah. Hubungan Azlan dengan Anisah adalah umpama hubungan seorang ayah dengan anak angkat.

Dalilnya adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6767 (Kitab al-Faraidh, Bab orang yang menyandarkan…):

 

مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ.

 

Sesiapa yang menyandarkan nasabnya kepada seseorang yang bukan ayah (biologi)nya 

padahal dia mengetahui bahawa itu bukan ayah (biologi)nya maka syurga diharamkan ke atasnya.

 

Hadis di atas adalah umum meliputi semua kes seperti anak dari pernikahan yang sah, anak angkat, anak yatim dan anak dari hasil perzinaan yang tidak diketahui ayahnya.

Walaubagaimana pun pada masa kini sudah ada kaedah pemeriksaan DNA dimana dengan membandingkan kod-kod genetik manusia, dapat diketahui siapa ayahnya. Malah teknologi terkini membolehkan pemeriksaan dilakukan terhadap bayi yang berumur 12 minggu ke atas sekali pun masih berada dalam kandungan ibunya.

Azlan dan Anisah boleh melakukan pemeriksaan DNA dan jika didapati Azlan adalah ayah biologi Anisah, maka hubungan antara kedua-duanya kembali kepada senario pertama di atas. Akan tetapi jika pemeriksaan DNA menunjukkan Azlan bukan ayah biologi Anisah atau pemeriksaan DNA tidak dapat dilakukan, maka hubungan kedua-duanya adalah seperti senario kedua di atas.

 

 

Kesimpulan.

Menarik untuk diperhatikan bahawa Allah dan Rasul-Nya sebenarnya mendiamkan hukum iddah dan status anak penzina. Tidak ada ayat atau hadis yang secara jelas lagi padu (Qathi’e) menggariskan hukum iddah dan status anak penzina. Ketiadaan ini menyebabkan hukum iddah dan status anak penzina masuk dalam kategori Ijtihadiyah dan para ilmuan terbahagi kepada dua golongan dalam menyikapinya:

  1. Menggunakan dalil-dalil umum dan memasukkan hukum iddah dan status anak bagi penzina dalam keumuman tersebut. Juga menggunakan kaedah qiyas bagi menghubungkan hukum iddah dan status anak penzina kepada dalil-dalil yang membicara hukum lain secara khusus.

  2. Menggunakan hujah kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah, bahawa jika kedua-dua sumber tersebut tidak menggariskan hukum iddah dan status anak penzina, padahal kedua-dua masalah tersebut sedia wujud pada masa sebelum kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tidak perlu bagi orang selepas kesempurnaan al-Qur’an dan al-Sunnah menggariskan sesuatu hukum.

Kedua-dua manhaj di atas adalah benar jika diukur melalui disiplin ilmu-ilmu Islam. Dalam menganalisa dalil dan hujah kedua-dua pihak, saya menggunakan satu ukuran lain yang sering ditinggalkan, iaitu pengaruh taubat dalam menghapuskan kesan kesalahan orang yang berzina. Selain itu pada pandangan saya, perbicaraan hukum tidak patut memiliki sifat teknikal sahaja, tetapi perlu juga memiliki sifat adil (al-‘Adil), rahmat (al-Rahman), belas kasih (al-Rahim) dan memaafkan (al-‘Afuw). Semua ini adalah sifat-sifat Allah, Tuhan yang menurunkan hukum Islam itu sendiri.

 

 

Beberapa Nasihat Akhir.

Sebelum mengakhiri risalah ini, ingin saya ambil kesempatan untuk menyampaikan beberapa nasihat akhir.

Pertama:

Tujuan risalah ini bukanlah untuk meringankan kesalahan zina tetapi sekadar memberi jalan keluar kepada orang yang terlanjur berzina lalu ingin kembali ke jalan yang benar. Zina tetap merupakan kesalahan yang amat berat lagi keji dalam Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

وَلاَ تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً.

 

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat

(yang membawa kerosakan). [al-Isra’ 17:32]

 

Oleh itu sikap yang benar, matang lagi selamat adalah menjauhi zina serta apa jua faktor yang mungkin mengarah kepada zina.

 

 

Kedua:

Maaf kata, kadangkala faktor yang mengarah kepada zina adalah ibubapa penzina itu sendiri. Sebabnya, apabila anak ingin bernikah, ibubapa sering menghalang dengan alasan-alasan yang hanya layak dikemukakan jika mereka hidup pada Jurasic Park. Alasan “Tamatlah pengajian dulu”, “Kerjalah dulu”, “Tunggulah naik pangkat dulu” dan “Belilah rumah dulu” tidak lagi releven untuk masa kini. Kenapa tak releven? Sudah masanya anda, Wahai Ibubapa, duduk sejenak dan memikirkannya.

Sikap ibubapa yang menghalang anak bernikah tanpa alasan yang munasabah pada zaman kini adalah antara sebab utama mengapa anak-anak muda terlanjur berzina. Oleh itu pada kesempatan ini, ingin saya nasihatkan diri saya dan para ibubapa sekalian agar:

  1. Jangan menghalang anak yang ingin bernikah kecuali dengan alasan yang munasabah lagi benar. Alasan itu pula hendaklah memiliki manfaat yang jauh lebih besar berbanding mudarat yang bakal menimpa seandainya diizinkan bernikah.

  2. Seandainya anak terlanjur berzina, ibubapa janganlah menghalang mereka jika mereka ingin bertaubat, bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan yang halal. Malah ibubapa sepatutnya memainkan peranan positif dengan menasihati mereka untuk bertaubat dengan cara bernikah dan meneruskan kehidupan sebagai pasangan yang halal. Seterusnya ibubapa memainkan peranan memimpin dan membantu pasangan muda tersebut menghadapi suka duka kehidupan berumahtangga.

Jangan lupa bahawa ibubapa memiliki tanggungjawab yang besar dalam persoalan ini sehingga ke Hari Akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

 

وَالأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ

 

فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.

 

Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.

Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya

dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya.

Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.

[Shahih al-Bukhari, hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita ad alah pemimpin di rumah suaminya)]

 

 

Ketiga:

Kemungkinan antara yang membaca risalah ini adalah pasangan yang sebelum ini pernah melalui senario-senario yang saya sebutkan atau sesuatu yang menghampirinya. Bagi pasangan ini, saya nasihatkan agar berhati-hati dengan syaitan kerana ia memiliki senjata extra untuk mengganggu kalian. Ini kerana syaitan sentiasa mencari celah untuk merosakkan keharmonian rumahtangga dan kesalahan yang lampau adalah sesuatu yang sentiasa baru lagi efektif bagi syaitan.

Syaitan akan menghasut, konon kalian hidup dalam suasana haram, taubat tidak cukup sempurna untuk diterima Allah dan pelbagai lagi demi menaruh keraguan dan akhirnya merosakkan keharmonian rumahtangga.

Semoga risalah ini dapat menjadi senjata untuk melawan balik serangan-serangan syaitan tersebut dan menutup apa-apa celahan lain yang mungkin dapat diselit olehnya.

 

Keempat:

Kemungkinan antara yang membaca risalah ini adalah mereka yang pernah terlanjur berzina atau memiliki kawan yang pernah terlanjur berzina. Hasil dari keterlanjuran tersebut, lahirlah seorang anak yang suci bersih statusnya. Akan tetapi disebabkan oleh pandangan masyarakat, anak tersebut lazim dihukum sebagai anak haram, anak luar nikah, anak zina dan sebagainya.

Pandangan masyarakat yang negatif inilah yang menyebabkan pasangan yang terlanjur membuang anaknya dalam tong sampah, tandas atau di tempat perhentian bas.

Diharapkan melalui risalah ini, pandangan masyarakat yang menghukum secara negatif ke atas bayi yang tidak berdosa itu segera dipadamkan. Hasilnya, pasangan yang terlanjur tidak akan merasa bersalah untuk terus memelihara anak mereka itu sepertimana ibubapa yang lain.

 

 

 

 

Kandungan : Tajuk 1 . Tajuk 2 . Tajuk 3 . Tajuk 4 . Tajuk 5 . Tajuk 6 . Tajuk 7 . Tajuk 8 .   Maklumat Buku : Penulis Anda