Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya.[1]

 

 Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Latarbelakang Peninjauan:

 

Pada tahun 2005 dan 2006 berlaku tiga kes dimana seorang yang meninggal dunia dari kalangan keluarga bukan Islam telah diambil mayatnya oleh pihak jabatan agama negeri atas dakwaan orang yang meninggal dunia tersebut adalah seorang muslim. Tiga kes tersebut adalah:

  1. Kes Muhammad Moorthy bin Abdullah yang meninggal dunia pada 20 Disember 2005, dimana keluarganya beragama Hindu.

  2. Kes Nyonya Tahir yang meninggal dunia pada 19 Januari 2006, dimana keluarganya beragama Budha.

  3. Kes Rayappan Anthony yang meninggal dunia pada 26 November 2006 dimana keluarganya beragama Kristian.

 

Selain itu terdapat beberapa kes lain, seperti kes Kandasamy Sayappu dan Chandran Dharmadass. Namun dalam risalah ini, saya akan beri tumpuan kepada tiga kes di atas sahaja. Dalam ketiga-tiga kes tersebut, berdasarkan laporan akhbar tempatan, mayat orang yang meninggal dunia diambil oleh pihak jabatan agama negeri. Setelah itu, diadakan perbicaraan di mahkamah untuk menentukan sama ada yang meninggal dunia tersebut adalah seorang muslim atau tidak. Keputusannya:

  1. Bagi kes Muhammad Moorthy bin Abdullah, mahkamah memutuskan beliau adalah seorang muslim lalu dikebumikan mengikut tatacara Islam.

  2. Bagi kes Nyonya Tahir, mahkamah memutuskan beliau adalah seorang beragama Budha lalu dikembalikan kepada ahli keluarganya.

  3. Bagi kes Rayappan Anthony, pihak jabatan agama negeri mengembalikan mayatnya kepada ahli keluarganya kerana kekurangan bukti untuk dibicara di mahkamah.

 

Tiga kes di atas telah memberi kesan yang amat besar kepada Islam, umat Islam dan kaum bukan Islam. Secara terperinci:

 

Pertama:

Mengambil mayat daripada keluarganya merupakan satu tindakan yang amat zalim, kejam lagi tidak berperikemanusiaan. Sukar saya hendak mencari perkataan yang tepat bagi menggambarkan perasaan yang dialami oleh kaum keluarga yang baru kehilangan ayah atau ibu mereka, lalu tiba-tiba datang sepasukan orang berseragam yang “merampas” mayat tersebut daripada mereka.

Ini memberi kesan kepada ahli keluarga tersebut, adakah Islam sebegitu zalim sehingga sanggup merampas ayah atau ibu kami yang baru sahaja meninggal dunia?

Bayangkan jika ia berlaku kepada salah seorang daripada ahli keluarga kita. Bayangkan jika kita adalah satu keluarga yang hidup di negara lain yang agama rasminya bukan Islam. Dalam suasana sedih lagi hiba di saat ayah yang baru meninggal dunia, tiba-tiba datang sepasukan orang yang merampas ayah kita!

 

Kedua:

Kes-kes ini disiarkan secara meluas oleh akhbar-akhbar tempatan. Ia sekali lagi memberi kesan kepada para pembaca, sama ada Muslim atau Non Muslim: Adakah Islam sebegitu zalim sehingga sanggup merampas mayat yang baru meninggal dunia daripada keluarganya?

Di kalangan para pembaca Muslim, ada yang menyokong tindakan perampasan tersebut. Namun sokongan mereka adalah lebih kepada ingin melihat kekuatan Islam di atas kaum bukan Islam. Dalam suasana Islam dan umatnya yang menduduki kedudukan rendah sekarang ini, mereka menyokong apa sahaja tindakan yang dapat memberi gambaran bahawa Islam adalah kuat dan masih berkuasa.

 

Ketiga:

Kes-kes ini semakin menjauhkan hati kaum bukan Islam daripada Islam. Ia memberi gambaran kepada mereka bahawa Islam memang zalim terhadap kaum bukan Islam.  Ia seolah-olah membenarkan dakwaan para pengkaji sejarah orientalis bahawa Islam memang “agama pedang” sejak ia bermula lebih seribu empat ratus tahun yang lalu.

 

 

Penyelesaian Yang Dicadangkan.

Tiga kesan di atas menyebabkan saya merasa perlu untuk dicari satu penyelesaian yang:

  1. Dapat menjaga kedudukan Islam sebagai agama yang adil.

  2. Memberikan keadilan kepada kaum bukan Islam.

  3. Membetulkan pandangan umat Islam bahawa Islam yang kuat bukanlah Islam yang zalim, tetapi adalah Islam yang adil lagi berperikemanusiaan.

Penyelesaian yang saya cadangkan adalah: Orang meninggal dunia yang diperselisihkan agamanya, sama ada dia muslim atau tidak, maka agamanya ditentukan oleh ahli keluarganya. Jika selama ini ahli keluarganya mengenali dia sebagai seorang yang beragama sepertimana agama keluarganya, maka dia dikebumikan mengikut tatacara agama keluarganya. Namun jika keluarganya mengenali dia sebagai seorang muslim, maka ahli keluarga tersebut akan menghubungi mana-mana masjid atau surau berdekatan agar mayat tersebut dapat diuruskan mengikut tatacara Islam.

 

Melalui cara ini:

  1. Tidak ada tindakan mengambil atau merampas mayat dari sisi ahli keluarga.

  2. Mayat tidak tertangguh sekalian lama untuk dikebumikan sementara menunggu perbicaraan mahkamah.

  3. Ahli keluarga mayat tidak mengalami kesedihan dan tekanan untuk menghadapi perbicaraan mahkamah.

  4. Nama baik Islam tidak tercemar, malah dikenali sebagai agama yang adil.

  5. Pihak jabatan agama tidak perlu menanggung malu seandainya mereka tidak menang atau tidak memiliki bukti yang cukup untuk membawa kes ke mahkamah.

 

 

Beberapa Pertimbangan Lanjut.

Cadangan di atas memang sesuatu yang sensitif kepada umat Islam. Justeru berikut dikemukakan beberapa pertimbangan lanjut yang turut memerlukan perhatian.

 

Pertama: Kaum Keluarga Berdusta?

Mungkinkah kaum keluarga tersebut akan berdusta? Yakni mereka mengetahui ayah mereka yang baru meninggal dunia adalah seorang muslim namun sengaja mereka menyembunyikannya dan terus mengebumikannya mengikut tatacara agama mereka.

Saya berpandangan, kemungkinan tersebut wujud tetapi amat kecil. Ini kerana orang bukan Islam juga menghargai agama mereka dan mereka tidak mudah akan mengebumikan seorang muslim dalam kuil atau gereja mereka dengan tatacara mereka.

Berdasarkan poin di atas, kita umat Islam juga menghargai saudara semuslim kita sehingga kita tidak akan dengan mudah melepaskan dia ke kuil atau gereja kaum bukan Islam untuk dikebumikan dengan tatacara bukan Islam. Akan tetapi jika kedudukan orang tersebut diragui sama ada muslim atau tidak, maka dia lepaskan kepada kaum keluarganya kerana mereka memiliki kepastian sama ada dia adalah seorang muslim atau tidak.

 

Kedua: Terdapat Saksi Bahawa Dia Seorang Muslim.

Bagaimana jika jiran atau rakan kerja tampil ke hadapan untuk bersaksi bahawa yang meninggal dunia adalah seorang muslim? Atau pihak jabatan agama memiliki bukti bertulis dan saksi-saksi bahawa orang yang meninggal dunia adalah seorang muslim?

Untuk senario ini, kita memiliki dua pilihan:

  1. Mayat diambil oleh pihak jabatan agama negeri dan kes ini dibawa ke mahkamah dengan masing-masing pihak mengemukakan saksi serta hujah tersendiri. Kemudian mahkamah akan menentukan sama ada dia muslim atau tidak. Ini adalah prosedur sekarang ini dan ia dilaksanakan ke atas tiga kes yang saya sebut di permulaan kertas kerja ini.

  2. Persaksian kaum keluarga mayat dipandang sebagai persaksian yang muktamad dan merekalah yang menentukan sama ada mayat adalah muslim atau tidak.

Di antara kedua-dua pilihan di atas, terdapat manfaat dan mudarat. Namun pada pandangan saya, kemaslahatan dalam pilihan kedua adalah lebih tinggi berbanding pilihan pertama manakala kemudaratan dalam pilihan kedua adalah lebih rendah berbanding pilihan pertama. Antara faktor yang menjadi pertimbangan saya:

  1. Membawa kes ke mahkamah adalah proses yang amat memberatkan bagi kaum keluarga yang baru kehilangan ahli keluarga tersayang.

  2. Proses perbicaraan di mahkamah tidak memiliki tempoh yang tertentu. Bagi kes Nyonya Tahir, ia mengambil masa dari 19 Januari hingga 23 Januari 2006, iaitu 5 hari. Bagi kes lain yang akan datang, ia mungkin lebih cepat. Akan tetapi lazimnya ia lebih lama.

  3. Pilihan pertama melibatkan tindakan “pengambilan mayat” atau pada pandangan kaum bukan Islam: “perampasan mayat” yang merupakan satu tindakan yang amat zalim.

  4. Membawa kes ke mahkamah belum tentu dapat menjamin “kemenangan” bahawa mayat adalah seorang muslim. Namun yang pasti terjamin adalah gambaran meluas bahawa Islam dan umatnya adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan.

  5. Jika benar yang meninggal dunia adalah seorang muslim, maka dia tetap di sisi Allah sebagai seorang muslim. Dia akan hidup di alam Barzakh sebagai seorang muslim dan menemui Allah Subhanahu wa Ta'ala pada Hari Akhirat sebagai seorang muslim. Tatacara perkebumian yang bukan Islam tidak akan mengubah keislaman seseorang.

 

Ketiga: Pernahkah Kes Seumpama Berlaku Pada Zaman Rasulullah?

Sejauh kajian saya, secara tepat kes seumpama di atas tidak berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi terdapat satu kes yang menghampirinya, iaitu kes Najasyi.

 

Nama beliau yang sebenar adalah Ashama bin Bahr. Najasyi adalah gelaran yang bermaksud “raja” bagi beliau di negerinya, sebagaimana gelaran Firaun untuk raja-raja di Mesir.[2] Sekumpulan umat Islam pernah berhijrah ke negeri beliau dan meminta perlindungan beliau. Ini berlaku sebelum penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Beliau asalnya beragama Kristian. Namun setelah mendengar tentang Islam daripada orang-orang yang dilindunginya itu, dia juga memeluk Islam. Akan tetapi dia menyembunyikan keislamannya kerana tekanan yang hebat daripada rakyat dan orang-orang istana.

 

Bukti keislamannya yang paling kukuh adalah apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan umat Islam Madinah mendirikan solat jenazah ghaib sebaik sahaja mendengar khabar beliau meninggal dunia pada tahun 9 Hijrah.[3] Rasulullah pernah bersabda:

 

“Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 3877. al-Imam al-Bukhari meletakkan bab bagi hadis ini: “Bab kematian Najasyi”]

 

Beberapa pengajaran yang dapat dipetik dari peristiwa di atas:

  1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui bahawa Najasyi adalah seorang muslim.

  2. Ketika Najasyi meninggal dunia, tidak ada sesiapa di negerinya yang dapat menguruskan jenazahnya mengikut tatacara Islam. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat jenazah ghaib kepada beliau di Madinah.

  3. Najasyi dikebumikan di negerinya mengikut tatacara agama Kristian.

  4. Pada tahun 9 Hijrah, umat Islam memiliki kekuatan dan kedudukan yang cukup kuat untuk memastikan jenazah Najasyi dikebumikan mengikut tatacara Islam. Namun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membiarkan beliau dikebumikan mengikut tatacara Kristian.

  5. Tidak sekadar itu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga membiarkan harta Najasyi diwarisi oleh kaum kerabatnya yang tidak nyata sama ada mereka beragama Islam atau Kristian. Padahal dalam beberapa hadisnya, baginda menyatakan tidak ada saling mewaris antara orang yang berlainan agama.

  6. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memandang tindakan membiarkan Najasyi sebagai sesuatu yang menzalimi beliau (Najasyi) atau mengurangi kedudukan Islam dan umatnya. Sebaliknya baginda memiliki beberapa maslahat bijak yang ingin dicapai. Namun di sini bukanlah tempat untuk membicara kemaslahatan tersebut.

 

Ada pun kaitan peristiwa di atas dengan kes-kes yang berlaku di Malaysia saat ini:

  1. Sekali pun kita mengetahui secara pasti bahawa orang yang meninggal dunia adalah seorang muslim, bukanlah satu kemestian untuk kita merampas mayatnya daripada kaum keluarganya. Apatah lagi jika kita sendiri tidak pasti sama ada dia seorang muslim atau tidak.

  2. Membiarkan seorang muslim dikebumikan mengikut tatacara bukan Islam tidak menukar agamanya kepada bukan Islam. Dia tetap seorang muslim di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala.

  3. Membiarkan penentuan agama seorang yang meninggal dunia, sama ada dia muslim atau tidak, kepada kaum keluarganya memiliki maslahat yang lebih banyak berbanding mudarat.

 

Keempat: Tidakkah Tindakan Seperti Ini Menjatuhkan Maruah Islam?

Sebelum menjelaskan persoalan di atas, ingin saya tekankan semula bahawa:

  1. Cadangan ini bukan bererti menyerahkan mayat seorang muslim kepada keluarga bukan Islam. Akan tetapi ia menyerahkan kepada kaum keluarga penentuan sama ada yang meninggal dunia adalah muslim atau tidak kerana mereka (kaum keluarga) adalah orang yang paling mengetahui tentang agama ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

  2. Cadangan ini adalah untuk mengelakkan kesedihan dan tekanan kepada kaum keluarga bukan Islam serta mengelak mereka daripada membenci Islam. Selain itu ia menghindari Islam daripada dilabel sebagai agama yang zalim.

  3. Kemungkinan kaum keluarga berdusta memang wujud. Namun ia adalah kemungkinan yang amat kecil. Pada waktu yang sama timbul kemudaratan besar yang berlaku secara pasti, iaitu Islam dipandang sebagai agama yang zalim.

  4. Jika benar-benar berlaku kes dimana seorang muslim dikebumikan mengikut tatacara bukan Islam, ia tidak menjejaskan sedikit jua keislaman orang yang dikebumikan. Di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, dia tetap seorang muslim.

  5. Jika poin keempat di atas benar-benar berlaku, ia juga tidak menjejaskan orang-orang yang membiarkannya kerana terdapat contoh daripada sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kembali kepada persoalan di atas, maruah Islam tidak dijaga dengan cara menzalimi kaum bukan Islam. Sebaliknya maruah Islam dijaga, bahkan dipertingkatkan dengan cara bersikap adil kepada kaum bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

 

لاَ يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ

 

 وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.

 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

 

Selain itu ingin ditambah bahawa kes-kes yang melatarbelakangi pengusulan ini adalah kejadian-kejadian yang terpencil. Ia bukanlah kejadian harian tetapi sekali dua dalam setahun. Bandingkan dengan kes-kes negatif di kalangan umat Islam sendiri yang berlaku hampir setiap hari dimana ia adalah faktor utama yang menjatuhkan maruah Islam.

 

Sebelum mengakhiri risalah ini, ingin saya gariskan bahawa apa yang saya cadangkan mungkin amat sensitif kepada sebahagian pembaca. Akan tetapi saya yakin para pembaca sekalian akan dapat membelakangkan perasaan sensitif tersebut dan sebaliknya mengkehadapankan pertimbangan yang adil lagi berwawasan dalam persoalan ini.


 

[1] Risalah ini pernah saya kemukakan kepada majlis fatwa salah sebuah negeri. Majlis fatwa telah mengkajinya, akan tetapi menahan diri dari memberi apa-apa ulasan kerana bimbang akan fitnah yang mungkin timbul di kalangan masyarakat Islam jika mereka menfatwakannya.

            Saya memberanikan diri untuk tetap mengemukakannya dalam buku ini agar ia dapat dikaji oleh para pembaca pula.

[2] Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan dalam bentuk 4 jilid oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.

[3] Terdapat beberapa pendapat tentang tarikh sebenar beliau meninggal dunia. Nampaknya kebanyakan ahli sejarah, termasuk Ibn Katsir, menguatkannya kepada tahun 9 Hijrah.

 

 

 

Kandungan : Tajuk 1 . Tajuk 2 . Tajuk 3 . Tajuk 4 . Tajuk 5 . Tajuk 6 . Tajuk 7 . Tajuk 8 .   Maklumat Buku : Penulis Anda