Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian IV   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

Mendirikan solat dalam Gereja.

Adakalanya timbul soalan bagi seseorang yang melancong atau dalam sesuatu urusan di luar negara apabila mereka tidak menemui masjid atau tempat yang sesuai untuk mendirikan solat-solat fardhu, maka bolehkah solat tersebut dilaksanakan di Gereja-gereja kaum Kristian ?   Jawapannya ialah - Dibolehkan bagi umat Islam melaksanakan solat-solat mereka di gereja-gereja kaum Kristian dengan syarat gereja tersebut di dalamnya tidak mengandungi kubur-kubur dan/atau patung-patung dan/atau gambar-gambar makhluk hidup, tidak kira samada gambar tersebut sempurna atau separa sempurna. Hukum ketetapan yang sama adalah juga bagi mana-mana rumah peribadatan kaum lain seperti Biara, Kuil dan sebagainya.

Dalil yang membolehkan rumah peribadatan kaum bukan Islam dijadikan tempat umat Islam bersolat ialah hadith berikut: Muhammad ibnu Abdullah ibnu Iyadh berkata, Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah menyuruh Usman ibnu Abil Ash radiallahu-anhu membangunkan masjid di Taif di mana di sana pernah ada berhala-berhala mereka (kaum musyrik).[1]   

Dilarang bagi umat Islam bersolat di rumah-rumah peribadatan yang mengandungi kubur-kubur di dalamnya berdasarkan perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith berikut: Jundab bin Abdullah radiallahu-anhu berkata, aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda kira-kira 5 hari sebelum kewafatannya: Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu biasa menjadikan kubur Nabi-nabi mereka serta kubur orang-orang salih di kalangan mereka sebagai tempat solat.  Ingatlah ! Jangan sekali-kali kamu menjadikan kubur-kubur sebagai tempat solat, sesungguhnya aku melarang kamu dari berbuat demikian.[2]

Dilarang bagi umat Islam bersolat di rumah-rumah peribadatan yang mengandungi patung-patung di dalamnya samada patung tersebut adalah sempurna atau separa sempurna berdasarkan kepada perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam di ketika Pembukaan Kota Mekah (Fath-ul-Makkah) di mana beliau menyuruh agar semua patung-patung yang berada di dalam Kaabah dan di sekitar Masjidil Haram dikeluarkan dan dihancurkan terlebih dahulu sebelum umat Islam seluruhnya dibolehkan untuk solat dan tawaf di dalamnya.[3] Pernah sekali apabila Umar al-Khattab melawat negeri Syam lalu beliau disambut oleh seorang tokoh Kristian ketika itu seraya berkata: Saya harap Tuan memuliakan saya dengan memperkenankan undangan saya (ke gereja ini). Umar menjawab: Kami tidak boleh masuk ke dalam gereja Tuan kerana di dalamnya ada berhala-berhala (patung-patung). [4]

Dilarang bagi umat Islam bersolat di rumah-rumah peribadatan yang mengandungi gambar-gambar makhluk ber-roh di dalamnya, samada gambar makhluk tersebut lengkap atau separa lengkap kerana mengingatkan kepada perintah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang menyuruh agar gambar-gambar yang berada di dalam Kaabah bersama patung-patung lainnya di keluarkan terlebih dahulu sebelum beliau solat sunat dua rakaat di dalamnya, di kala peristiwa Fath-ul-Makkah.[5]  Sahabat terkenal, Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berpendapat adalah makruh bersolat di dalam gereja yang di dalamnya terdapat gambar-gambar.[6]  Amirul Mukminin Umar al-Khattab radiallahu-anhu pernah berkata: Sesungguhnya kami dahulu tidak memasuki gereja yang ada gambar-gambar di dalamnya. [7]

Dari keterangan-keterangan di atas, para fuqaha membolehkan seseorang itu melaksanakan solat-solat fardhu mereka di dalam rumah-rumah peribadatan kaum lain asalkan ianya bersih dari 3 perkara iaitu [1] tiada kubur-kubur di dalamnya, [2] tiada patung-patung di dalamnya, [3] tiada gambar-gambar makhluk bernyawa di dalamnya. Ketiga-tiga perkara di atas perlu dijauhi kerana ia mempunyai unsur-unsur syirik yang mencemar nilai-nilai tauhid agama Islam. Selain itu perkara-perkara di atas juga perlu dijauhi kerana kesyumulan agama Islam ini tidaklah sepatutnya dicampuri dengan bayangan-bayangan agama lain.[8]

Sebenarnya seseorang itu tidak perlu memaksa dirinya untuk memasuki gereja-gereja atau apajua rumah peribadatan lain untuk mendirikan solat-solatnya. Seseorang itu boleh sahaja bersolat di mana-mana asalkan bersih dan tidak menggangu atau diganggu orang. Jikalau masih tiada ruang sebaiknya untuk bersolat maka laksanalah ia secara duduk samada dalam bas atau di mana-mana tempat duduk yang ada. Kemudahan hukum-hukum Islam yang sedia ada amat patut diambil-guna jikalau seseorang itu terperangkap dalam suasana-suasana yang sedemikian. Rujuklah kembali kepada bab-bab sebelum ini dalam permasalahan solat.

Kesimpulan

1.      Dibolehkan solat di dalam rumah-rumah peribadatan kaum lain apabila ia bersih dari unsur-unsur syirik dan sifat-sifat keagamaan mereka, iaitu bersih dari kubur-kubur, patung-patung dan gambar-gambar.


 

[1]               Maksud hadith dari Sunan Ibnu Majah - no: 0743. Seterusnya lihat penjelasan Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie dalam kitabnya - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/355.

[2]               Maksud sebahagian dari sebuah hadith yang panjang Sahih Muslim - no: 0532.

[3]               Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/274 ; Prof. Dr. Akram Diya' al-Umari - Madinan Society at The Time of The Prophet, 2/161.

[4]               Maksud kisah sahabat diriwayatkan oleh Imam AbdurRazzaq, dikemukakan oleh Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie dalam Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/356.

[5]               Prof. Dr. Akram Diya' al-Umari - Madinan Society at The Time of The Prophet, 2/161.

[6]               Riwayat Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, dikemukakan oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 2/260.

[7]               Riwayat dikemukakan oleh Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam Ensaiklopedia Fiqh, 1/274.

[8]               Shaikh Sayid Sabiq dalam kitabnya Fiqh-us-Sunnah, 2/156 membenarkan umat Islam mendirikan solat di dalam gereja-gereja Kristian secara mutlak tanpa sebarang syarat atau batasan. Walaubagaimanapun hujah-hujah yang dikemukakan beliau adalah lemah lagi amat dipersoalkan status kebenarannya.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan