Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian IV   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

4 Bermusafir Bersama al-Qur'an.

Membawa al-Qur'an dalam perjalanan atau musafir yang jauh sering menimbulkan beberapa persoalan kepada si pembawanya, iaitu - Pertama - Bolehkan dibawa al-Qur'an ke negara-negara bukan Islam (non-muslim) apabila sedia diketahui ada hadith-hadith yang melarangnya dan Kedua - bolehkah seorang wanita yang sedang haid membawa al-Qur'an bersamanya dalam perjalanan yang jauh apabila dia sedia ketahui bahawa haidnya akan tamat dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan selepas itu dia ingin membaca dan mengkaji kitab tersebut ?  Kedua-dua persoalan di atas akan dibicarakan secara berasingan dimulai dengan -

Pertama - Membawa al-Qur'an ke negara bukan Islam.

Sememangnya pada awal zaman Islam Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melarang umatnya daripada membawa kitab al-Qur'anul Karim ke negara-negara bukan Islam. Antara larang-larang beliau adalah: Janganlah membawa al-Qur'an ke negara musuh [1] ; juga dalam satu hadith yang lain beliau bersabda: Jangan kamu musafir membawa al-Qur'an kerana aku bimbang ianya akan dirampas musuh.[2] Dua hadith ini jelas menampakkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melarang kita daripada membawa kitab suci al-Qur'an ke negara-negara bukan Islam. Akan tetapi pengkajian serta tafsiran ahli-ahl ilmu memandang bahawa hadith ini bukan ditujukan kepada semua negara bukan Islam tetapi ianya hanya tepat ditujukan kepada beberapa negara bukan Islam yang dengan terbuka memusuhi dan menentang ajaran Islam serta umatnya. Ini dapat difahami dengan pengkhususan larangan hadith tersebut kepada negara musuh kerana bimbang negara-negara tersebut akan mengambil serta merampas kitab-kitab al-Qur'an kita lalu dibinasakan atau dihinakan kedudukannya. [3]

Suasana iklim dunia masa kini meperlihatkan bahawa banyak negara-negara bukan Islam yang mengamalkan konsep berdamai lagi terbuka terhadap Islam dan umatnya (digelar sebagai kafir dhimmi), maka bagi negara-negara seperti ini dibolehkan membawa al-Qur'an memasukinya tanpa ada larangan atau tegahan agama. Hanya beberapa negara sahaja yang memusuhi Islam serta umatnya secara terbuka seperti Israil dan Yuguslavia (digelar sebagai kafir harbi), maka bagi kedua negara ini dan lain-lain seumpama, dilarang serta ditegah membawa kitab al-Qur'an ke dalamnya.

Justeru dibolehkan membawa naskah al-Qur'an ke mana-mana negara, termasuk negara yang majoritinya adalah umat bukan Islam asalkan mereka tidak memusuhi Islam secara terbuka. Malah digalakkan kita membawa naskah al-Qur'an ke negara-negara lain kerana bagaimana mungkin kita hendak menjemput kaum bukan Islam mengenali dan menghampiri Islam apabila bahan rujukan utamanya terhalang dari mereka ? Demikian juga keadaan umat Islam masa kini yang wujud merata-rata di seluruh dunia, walaupun hanya sebagai golongan minoriti di negara-negara tersebut, mereka tetap memerlukan al-Qur'an sebagai sumber rujukan harian.[4]

Kedua - Wanita haid membawa al-Qur'an.

Wanita yang sedang haid atau apa-apa yang seumpama, demikian juga wanita dan lelaki yang berada dalam keadaan junub, ditegah[5] daripada memegang kitab suci al-Qur'anul Karim walaupun untuk seketika. Walaubagaimanapun mereka dibenarkan membawa kitab suci al-Qur'an apabila ia tersimpan di dalam karung atau beg yang secara terus tidak melibatkan sentuhan antara kitab tersebut dengan tuannya. Demikian kelonggaran hukum menurut para fuqaha dari Mazhab Hanafi yang dipandang sebagai memudahkan umat dalam suasana liku-liku kehidupan harian.[6]  Selain dari kebolehan di atas, para fuqaha hanya membolehkan seseorang yang dalam keadaan junub atau haid untuk memegang al-Qur'an atas tujuan-tujuan kemaslahatan seperti menjaganya dari terjatuh atau menyelamatkannya dari niat buruk orang lain atau memeliharanya dari kebakaran, kemusnahan atau apa-apa yang seumpama.

Dari huraian di atas, dibolehkan bagi seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid untuk membawa kitab al-Qur'an dalam suasana perjalanannya asalkan kitab tersebut tersimpan di dalam beg tangan, beg bimbit atau bekas yang berasingan. Jikalau timbul suasana yang memaksa dirinya memegang al-Qur'an secara terus, seperti menghalangnya dari terjatuh atau apabila diminta oleh pihak kastam untuk tujuan pemeriksaan, maka dibolehkan dia memegangnya sekadar yang diperlukan.

Kesimpulan

1.      Dibolehkan membawa al-Qur'an ke negara-negara bukan Islam yang tidak memusuhi Islam serta umatnya secara terbuka.

2.      Dibolehkan bagi wanita yang sedang haid untuk membawa al-Qur'an asalkan ia tersimpan dalam beg yang dapat mengasingkan dari sentuhan secara terus oleh tuannya.

 


[1]               Maksud hadith daripada Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Misykat al-Masabih,3/697/0064A..

[2]               Maksud hadith daripada Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, diriwayatkan oleh Imam Muslim; Misykat al-Masabih,3/697/0064B.

[3]               Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/278.

[4]               Prof. Dr. Hamka - Tafsir al-Azhar, 9/7147-7148.

[5]               Dikatakan sebagai ditegah dan bukan dilarang atau diharamkan kerana dalam persoalan ini terdapat perbincangan yang meluas mengenai hukumnya. Sememangnya ada beberapa hadith yang melarang wanita haid daripada memegang al-Qur'an tetapi hadith-hadith tersebut adalah daif semuanya, sepertimana yang dihuraikan secara mendalam oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 1/509-512. Lihat juga analisa perbandingan oleh Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmoo al Fatawa, vol  26, pg 191 dan juga dalam buku Islamic Rules on Menstruation and Post-Natal Bleeding, pg 16, fn 23 oleh Prof. Dr. Abu Ameenah Bilal Philips.

[6]               Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/ 248 dan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/445.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan