Soalan 12: Mestikah Menghadap Kiblat Untuk Berdoa?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Soal-Jawab Adab-Adab Berdoa
- Hits: 531
Soalan: Mestikah Menghadap Kiblat Untuk Berdoa?
Jawapan:
Dianjurkan menghadap kiblat untuk berdoa, khasnya apabila dalam keadaan sangat berhajat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa dengan menghadap kiblat sebagaimana yang diceritakan oleh ‘Abdullah bin Zaid radhiallahu 'anh,
خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى هَذَا الْمُصَلَّى يَسْتَسْقِي فَدَعَا وَاسْتَسْقَى ثُمَّ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَقَلَبَ رِدَاءَهُ.
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar ke tempat solat di tanah lapang ini bagi meminta hujan (Solat Istisqa’). Maka baginda berdoa meminta hujan, kemudian berpusing menghadap kiblat dan membalikkan selendangnya.[1]
Walau bagaimanapun dibolehkan berdoa tanpa menghadap kiblat kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah berdoa tanpa menghadap kiblat. Anas bin Malik radhiallahu 'anh menceritakan bahawa Rasulullah pernah sedang berkhutbah sempena solat Jumaat apabila seorang Arab Badwi berdiri lantas berkata, “Wahai Rasulullah, harta benda telah binasa sementara kaum keluarga kebuluran (kerana kemarau yang panjang)!”
فَادْعُ اللَّهَ لَنَا فَرَفَعَ يَدَيْهِ.
Maka baginda berdoa kepada Allah bagi kami dengan mengangkat kedua tangannya.[2]
Dalam hadis di atas, Rasulullah yang sedang memberi khutbah di atas mimbar sambil menghadap para jemaah tidak berpusing menghadap kiblat untuk berdoa.
Hendaklah diketahui bahawa para sahabat amatlah mendalam lagi terperinci dalam meriwayatkan hadis sehingga jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpusing di atas mimbar bagi menghadap kiblat, nescaya mereka akan menceritakannya.
Notakaki:
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5867/6343 (Kitab al-Da’awat, Bab berdoa sambil menghadap kiblat).
[2] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 881/933 (Kitab al-Jumu’ah, Bab al-Istisqa’ ketika khutbah jumaat). Juga dalam Shahihnya, hadis no.: 5866/6342 (Kitab al-Da’awat, Bab berdoa sambil tidak menghadap kiblat).
THI 2019: Swafoto Amal Soleh
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 473
Sempena musim haji ini, ada jemaah yang berkongsi gambar sendiri (swafoto / selfie) di media sosial.
Pada waktu yang sama, ada yang segera menuduh tindakan itu adalah riya'.
Sebenarnya berkongsi swafoto di media sosial tidak semestinya riya'. Ada dua kemungkinan lain:
Pertama:
Dia bersyukur atas nikmat mengerjakan haji yang Allah berikan, lalu dia menceritakannya dalam bentuk gambar swafoto.
Menceritakan nikmat Allah adalah sesuatu yang dianjurkan, sebagaimana firman Allah s.w.t.,
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau ceritakan. [ad-Dhuha 93:11]
Kedua:
Dia berkongsi swafoto atas tujuan memberi motivasi kepada orang lain agar turut mengerjakan haji.
Menzahirkan amal soleh atas tujuan memotivasi orang lain adalah dibolehkan, sebagaimana Allah membolehkan kita menzahirkan sedekah atas tujuan memotivasi orang lain agar turut bersedekah. Firman Allah s.w.t.,
إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Jika kamu menampakkan sedekah, maka itu adalah baik (kerana memberi motivasi kepada orang lain).
Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu (kerana dapat menjaga hati daripada riya' dan sum'ah).
Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [al-Baqarah 2:271]
Justeru orang yang berkongsi swafoto ibadah haji atau apa-apa amal soleh lain, tidak semestinya dia riya'. Mungkin saja dia melakukannya kerana dua sebab di atas.
Soalan 11: Apakah Adab Paling Utama Ketika Berdoa?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Soal-Jawab Adab-Adab Berdoa
- Hits: 570
Soalan: Apakah Adab Paling Utama Ketika Berdoa?
Jawapan:
Adab paling utama ketika berdoa ialah bersangka baik kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, meyakini kedekatan-Nya mendengar dan mengetahui apa yang kita doakan, meyakini janji-Nya memakbulkan dan menerima pemakbulan doa itu dalam apa jua bentuk mengikuti kehendak dan hikmah-Nya.
Tentang bersangka baik kepada Allah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ.
Aku berdasarkan sangkaan hamba-Ku kepada-Ku dan Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku. Maka jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku di kalangan orang ramai, Aku mengingatinya di kalangan yang lebih baik daripada mereka (yakni para malaikat).
Soalan 10: Bolehkah Doa Secara Berjemaah?
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Soal-Jawab Adab-Adab Berdoa
- Hits: 914
Soalan: Bolehkah Doa Secara Berjemaah?
Jawapan:[1]
Bagi menjawab soalan ini, marilah kita mengkaji beberapa hadis yang seolah-olah menunjukkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa secara berjemaah. Maksud doa secara jemaah ialah doa itu dipimpin atau diimami oleh seseorang sementara orang ramai mengangkat kedua tangan dan mengaminkannya.
Hadis # 1: Qunut Nazilah
Disunnahkan qunut nazilah bagi mendoakan keselamatan umat Islam yang dizalimi dan kehancuran ke atas musuh Islam yang menzalimi itu. Qunut nazilah dilaksanakan dalam solat-solat fardhu, baik berseorangan mahupun berjemaah, pada rakaat terakhir setelah iktidal sebelum turun sujud. Qunut nazilah dibaca hanya apabila perlu, dibaca secara kuat (jahr) dalam bahasa Arab oleh imam jika solat berjemaah dan diaminkan oleh makmum.
Terdapat banyak hadis yang menerangkan qunut nazilah oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, salah satu daripadanya adalah sebagaimana keterangan ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma,
قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلَاةِ الصُّبْحِ
فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ
يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah qunut selama sebulan, berturut-turut dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh pada akhir setiap solat, yakni (setelah membaca) “Sami Allahu liman hamidah” pada rakaat terakhir. Baginda mendoakan kehancuran ke atas perkampungan Bani Sulaim, Ri’li dan Zakwan, lalu diaminkan oleh para jemaah di belakangnya.[2]
Page 14 of 67