Article Index

 Surah al-Sajdah Dan Solat Subuh Hari Jumaat:Beberapa Perkara Yang Perlu Diperhatikan

solat.jpgKebiasaannya ketika melaksanakan solat subuh berjamaah pada pagi Jumaat, imam membaca surah al-Sajdah (surah ke-32) pada rakaat pertama dan surah al-Insan (surah ke-76) pada rakaat kedua. Alhamdulillah amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنْ الدَّهْرِ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu‘ah, Bab apa yang dibaca dalam solat subuh pada hari Jumaat, hadis no: 891.

Dalam risalah yang serba ringkas ini, saya tidak berhajat untuk mengubah kebiasaan di atas kerana ia sememangnya sudah menepati sunnah Rasulullah yang mulia. Akan tetapi saya ingin memperincikan beberapa perkara yang dirasakan perlu agar sunnah tersebut dapat kita ikuti dan amalkan dengan lebih tepat. Perkara-perkara yang ingin saya perincikan adalah berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan.

Pertama: Hukum membaca surah al-Sajdah adalah sunat.

Berdasarkan hadis di atas, sunat hukumnya membaca surah al-Sajdah dalam rakaat pertama solat subuh pada pagi Jumaat. Ini adalah juga merupakan pendapat Mazhab al-Syafi’e sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi:

Dalam hadis di atas terkandung dalil bagi mazhab kami dan mazhab yang sependapat dengan kami bahawa sunat (membaca surah al-Sajdah dan surah al-Insan) pada solat Subuh hari Jumaat’. [Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi (tahqiq: ‘Irfan Haswanah; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn), jld. 4, ms. 188-189]

Saya yakin para pembaca mengetahui berkenaan hukum sunat ini. Akan tetapi dalam pengalaman saya dan rakan-rakan, adakalanya ditemui:
  • Para makmum yang menangguhkan iqamat solat Subuh pada pagi Jumaat kerana imam yang hafal surah al-Sajdah belum datang. Jika tiada yang hafal, makmum saling menolak antara satu sama lain untuk menjadi imam. Masing-masing enggan dengan alasan: “Saya tak hafal surah al-Sajdah.” 
  • Pernah beberapa kali imam yang sedang membaca surah al-Sajdah tersangkut di tengah-tengah atau penghujung dan tidak ada makmum yang boleh membetulkannya (termasuk diri saya). Maka imam mengulangi semula surah al-Sajdah dari awal sekali lagi.
  • Bagi masjid-masjid yang mempunyai imam yang dilantik secara rasmi, saya dikhabarkan oleh rakan-rakan yang dipercayai bahawa antara soalan yang ditanya ketika temuduga sebelum perlantikan adalah hafal atau tidak surah al-Sajdah. Ia menjadi salah satu syarat lulus temuduga.

Tiga pengalaman di atas memberi isyarat bahawa di sebalik kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat, ada sebahagian orang yang menganggap hukumnya wajib. Atas anggap wajib inilah mereka enggan menjadi imam, atau salah satu syarat perlantikan imam untuk mengulang-ulang keseluruhan surah jika tersangkut.

Padahal yang benar hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Oleh itu jika tidak ada yang menghafal surah al-Sajdah, seseorang boleh menjadi imam dengan membaca surah lain. Jika tersangkut ketika membaca surah al-Sajdah dan makmum tiada yang dapat membetulkannya, imam boleh terus rukuk atau beralih membaca surah yang lain. Menghafal surah al-Sajdah sepatutnya menjadi satu kelebihan dalam temuduga dan bukannya syarat lulus temuduga.

Selain dari itu, syarat-syarat menjadi imam pula, sama ada imam rasmi atau tidak, bukanlah kerana menghafal surah al-Sajdah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا وَلاَ يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلاَّ بِإِذْنِهِ.

(Paling layak) menjadi imam bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qur’an di antara mereka.

Jika mereka dalam bacaan berada pada tingkatan yang sama, maka (yang paling layak) adalah yang paling mengetahui tentang sunnah (hukum-hukum fiqh) di antara mereka.

Jika mereka dalam (pengetahuan) sunnah berada pada tingkatan yang sama, maka (yang paling layak) adalah yang paling awal berhijrah di antara mereka.

Jika mereka dalam penghijrahan berada pada tingkatan yang sama, maka (yang paling layak) adalah yang paling awal memeluk Islam di antara mereka.

Janganlah seseorang menjadi imam terhadap orang lain di tempat kekuasaannya dan janganlah seseorang duduk di tempat kehormatan orang lain kecuali seizinnya. [Shahih Muslim, Kitab al-Masajid, Bab orang yang paling berhak menjadi imam, hadis no: 673]