Article Index


Kedua: Sekali-sekala dianjurkan membaca surah selain al-Sajdah.
sujud3.jpg
Kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat akan menyebabkan orang ramai menganggap ia adalah wajib. Faktor ini antara sebab mengapa para tokoh Mazhab Maliki berpendapat makruh membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat kerana bimbang orang ramai akan menganggapnya wajib. Terhadap faktor ini, Imam Ibn Daqiq al-‘Id mengulas:

Akan tetapi jika melakukan hal tersebut (membaca surah al-Sajdah) menyebabkan timbulnya kerosakan (menganggapnya wajib), maka eloklah ia ditinggalkan sekali-sekala kerana sesuatu yang disukai adakalanya ditinggalkan juga bagi menghindari kerosakan yang mungkin berlaku. Dan ia (usaha menghindari kerosakan yang mungkin berlaku) dicapai dengan meninggalkan (membaca surah al-Sajdah) pada sebahagian waktu. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 35.

Nampaknya apa yang dibimbangi oleh para tokoh Mazhab Maliki telah benar-benar berlaku. Maka saranan Imam Ibn Daqiq al-‘Id perlu kita ikuti, iaitu dianjurkan sekali-sekala agar imam membaca surah selain al-Sajdah pada solat Subuh pagi Jumaat.

Ketiga: Imam hendaklah memerhatikan keadaan makmum.

Dalam mengamalkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, hendaklah kita mengamalkan keseluruhan sunnah tersebut, bukan sebahagian-sebahagian sahaja. Membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat adalah sunnah, namun memerhatikan keadaan makmum adalah sunnah juga. Dalam Shahih Muslim, Kitab al-Solat, Bab menyuruh imam meringankan bacaan solat, hadis no: 468, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أُمَّ قَوْمَكَ فَمَنْ أَمَّ قَوْمًا فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْكَبِيرَ وَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَإِنَّ فِيهِمْ ذَا الْحَاجَةِ وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ وَحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كَيْفَ شَاءَ.


Imamilah kaum kamu, sesiapa yang mengimami satu kaum maka hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang tua, kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang sakit, kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang lemah dan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada orang yang berurusan. Apabila salah seorang dari kalian solat bersendirian, maka solatlah sekehendak dirinya.

Pada pagi Jumaat, imam perlu memerhatikan dua sunnah. Sunnah yang pertama adalah membaca surah al-Sajdah manakala sunnah yang kedua adalah memerhatikan waktu iqamat dilaungkan. Ini kerana di kalangan makmum ada yang memiliki urusan di awal pagi untuk ke pejabat.

Sama-sama diketahui sini bahawa waktu masuknya Subuh adakalanya awal dan adakalanya lewat. Khususnya pada bulan Januari dan Febuari, di Kuala Lumpur waktu Subuh masuk pada pukul 6.10 pagi dan iqamat lazimnya dilaungkan pada pukul 6.20 pagi. Kebanyakan warga kota keluar dari rumah pada pukul 6.30 pagi untuk mengharungi kesesakan jalan raya ke pejabat. Maka merupakan satu kebiasaan pada pagi Jumaat, sebahagian jamaah tidak menghadiri solat Subuh berjamaah kerana kesuntukan waktu. Sebahagian lagi ada yang hadir siap dengan pakaian pejabat, bergegas keluar sebaik sahaja imam memberi salam yang kedua.

Oleh itu sebelum memulakan solat, imam hendaklah memerhatikan waktunya. Jika masih awal, maka adalah sunnah untuk membaca surah al-Sajdah. Jika waktu sudah lewat, maka adalah sunnah untuk membaca surah lain yang pendek.

Dalam hal ini mungkin ada yang berpendapat, imam sepatutnya tetap membaca surah al-Sajdah. Terpulang kepada makmum sama ada untuk menghadirinya atau tidak, atau mengubah suai masa sendiri ke pejabat. Pendapat ini tidak tepat kerana sebagaimana hadis yang dikemukakan di atas, merupakan kewajipan imam untuk memerhatikan keadaan makmum dan bukan sebaliknya. Jika imam menyusahkan makmum, maka kesalahan berada pada bahu imam dan bukannya makmum.

Abu Mas‘ud al-Anshari radhiallahu 'anh berkata, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjamaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ

Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjamaah. Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah dan berurusan. [Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi nasihat dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai, hadis no: 90]