Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian II   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13

11 Menjamak Solat dalam Penerbangan.

Jamak bererti menghimpun. Dalam sudut perlaksanaan solat ia bererti menghimpunkan dua solat dalam satu masa. Contohnya ialah menghimpunkan solat Zohor dan Asar dalam waktu Zohor, ataupun dalam waktu Asar. Juga seperti menghimpunkan solat Maghrib dan Isyak dalam waktu Maghrib, ataupun dalam waktu Isyak. Apabila dua solat tersebut dihimpunkan dalam waktu yang pertama ia digelar sebagai jamak takdim dan apabila ia dihimpunkan dalam waktu yang kedua ia digelar sebagai jamak takhir.

Tidak ada jamak antara solat Subuh dan Zohor, tidak ada jamak antara solat Asar dan Maghrib, tidak ada jamak antara solat Isyak dan Subuh. Berikut dikategorikan beberapa dalil dan rincian bagi solat jamak ini.[1]

Dalil yang mensyari'atkannya.

Qutaibah bin Said radiallahu-anhu menerangkan:

            Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, beliau mengakhirkan solat Zohor sehingga dikumpulkan solat Zohor kepada solat Asar dan lalu beliau mendirikan kedua-duanya serentak. [Ini adalah Jamak Takhir]

            Apabila beliau hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka beliau bersolat Zohor dan Asar serentak (dalam waktu Zohor) kemudian beliaupun berangkat. [Ini adalah Jamak Takdim]

Apabila beliau berangkat sebelum Maghrib maka beliau mengakhirkan solat Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya. [Ini adalah Jamak Takhir]

Dan apabila beliau berangkat selepas waktu Maghrib maka beliau mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib). [Ini adalah Jamak Takdim][2]

Hadith ini serta banyak lain yang sedia tercatit dalam kitab-kitab hadith jelas menerangkan bahawa dibolehkan menghimpun dua solat dalam satu waktu. Kebolehan ini hanya dibolehkan bagi antara solat Zohor dan Asar, dan antara solat Maghrib dan Isyak. Selain itu tidak dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian. Usul fiqh mengajar kita bahawa setiap perkara ibadah memerlukan dalil al-Qur'an atau as-Sunnah untuk membolehkannya kerana ibadah itu adalah urusan Allah dan bukan urusan manusia dan hanya Allah yang berhak menetapkan cara serta kaedah bagi hamba-hambaNya beribadah kepadaNya.

Syarat-syarat bagi membolehkan solat dijamak.

Pertama - Suasana yang sukar atau sulit.

Asal hukum menunaikan ibadah solat-solat fardhu adalah lima kali sehari dalam waktu-waktunya yang sudah sedia ditetapkan sebagaimana perintah Allah Subhanahu waTa'ala: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Hukum asal ini hanya boleh diubah kepada menghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu apabila seseorang itu menghadapi kesukaran untuk melaksanakannya dalam waktu-waktunya yang tersedia. Penjelasan ini berdasarkan pertanyaan yang pernah diajukan kepada Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu seorang sahabat yang nyata tinggi lagi luas ilmunya, bahawa kenapakah dibolehkan menjamak solat. Lalu beliau menerangkan: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berkehendak memberikan kemudahan kepada umatnya (dalam suasana sukar).[3]

Walaubagaimanapun hendaklah benar-benar diusahakan sekuat mampu untuk mengelakkan diri dari sengaja melakukan solat-solat fardhu secara jamak kerana beberapa sebab -

1.     Perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari. Ini adalah perintah yang amat penting maka oleh itu hendaklah dipastikan bahawa kesukaran yang dialami adalah sesuatu yang benar-benar tidak dapat dielakkan

2.     Walaupun Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah menjamakkan solatnya, ini beliau lakukan hanya sekali-sekala apabila suasana amat menekankannya. Solat secara tetap lima kali sehari lebih beliau utamakan dan sentiasa didahului daripada pilihan menjamak. Sekalipun dalam perjalanan di gurun pasir yang panas atau di malam yang dingin, beliau lebih kerap melakukan solat-solatnya lima kali sehari dan hanya sekali-sekala menjamakkan solat-solatnya.[4]

3.     Sebagai pilihan dipertengahan terhadap pendapat lain yang mengatakan menjamak solat adalah tidak dibolehkan. Perselisihan pendapat ini wujud kerana terdapat perbezaan antara ahli-ahli hadith dalam menilai kekuatan sesetengah hadith yang mensyari'atkan solat secara jamak dan juga perbezaan tafsiran antara ahli-ahli fiqh terhadap hadith-hadith tersebut.[5]

Perlu dinyatakan di sini bahawa suasana musafir bukanlah faktor penentu samada dibolehkan solat dijamak atau tidak. Faktor yang membolehkan dua solat fardhu dijamak dalam satu masa ialah berlakunya kesukaran atau kesulitan dalam salah satu daripada waktu solat tersebut. Oleh itu dibolehkan menjamak solat apabila berada dalam apa jua suasana yang menimbulkan kesukaran samada di perkampungan asal atau di dalam perjalanan ataupun di destinasi perjalanan. Sebaliknya jikalau perjalanan seseorang itu tidak membawa sebarang kesukaran atau kesulitan maka adalah lebih menepati kebenaran hukum syara' bahawa dia menunaikan solat-solat fardhu yang lima itu dalam waktunya masing-masing, tidak secara jamak. Sekali lagi diulangi bahawa suasana perjalanan atau musafir bukanlah faktor yang membolehkan solat dijamak.

Ini berbeza hukumnya dengan mengqasarkan solat-solat fardhu yang empat raka'at kepada dua raka'at, di mana faktor yang membolehkan sesuatu solat itu diqasarkan ialah suasana musafir tidak kira samada musafirnya itu membawa kesukaran atau tidak. Perbincangan dalam bab solat qasar ini akan diperluaskan dalam perbincangan bab ke - 12 nanti.

Dalil yang membolehkan solat dijamak sekalipun di perkampungan asal atau tempat mastautin ialah dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang pernah menjamakkan solat fardhunya apabila masih berada di rumahnya di Madinah ketika hendak memulakan suatu perjalanan yang dijangkanya mempunyai kesukaran di dalamnya. Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu menerangkan:

Mahukah aku sampaikan kepada kalian tentang kaedah solat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam perjalanan ? Apabila matahari telah tergelincir (masuk waktu Zohor) sedang Nabi sallallahu-alaihi-wasallam masih berada di rumahnya maka beliau menjamakkan antara Zohor dan Asar dalam waktu yang pertama (jamak takdim-P).[6]

Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah solat jamak di Madinah apabila ada suasana kesukaran, sebagaimana terang Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu: Bahawasanya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat di Madinah 8 rakaat dan 7 rakaat, iaitu Zohor dan Asar (4+4) serta Maghrib dan Isyak (3+4).[7]  Antara sebab beliau menjamakkan solat-solat fardhunya di Madinah ialah kerana turunnya hujan lebat, agar tidak membebankan umatnya untuk kembali ke masjid dalam suasana hujan yang sudah tentu akan menyebabkan para jamaah basah kuyup dan kotor pula kaki mereka kerana berjalan di tanah yang kini bertukar menjadi berlumpur. Antara dalil yang dijadikan panduan oleh para ahli fiqh ialah penerangan Abu Salamah bin Abdur Rahman radiallahu-anhu yang bermaksud:

Di antara sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah menjamakkan solat antara Maghrib dan Isyak di hari hujan.[8] Berpijak dari hadith ini Imam an-Nawawi dan lain-lain fuqaha membolehkan solat di jamak dalam lain-lain suasana yang turut menyulitkan seperti angin ribut, salji dan sebagainya.[9]

Pernah di satu hari Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu menerangkan bahawa dia melihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamak antara dua solat fardhunya tanpa dalam suasana musafir, ketakutan atau keadaan cuaca yang buruk.[10] Para ahli hadith mentafsir perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tersebut sebagai kesakitan atau keuzuran kesihatan yang sedang beliau alami (dan tidak disedari oleh Ibnu Abbas) lalu kerana itu beliau menjamakkan solatnya.[11] Maka berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tersebut, para ahli fiqh merumuskan bahawa  seseorang itu boleh menjamak antara dua solat-solat fardhunya jikalau dia menghadapi apa-apa penyakit yang memberatkan.[12]

Ulama'-ulama' mutakhir[13] kemudian memperluaskan syarat kesukaran ini ke arah  konteks yang lebih menyeluruh, seperti umpama seorang doktor yang melakukan pembedahan sehingga berjam-jam lamanya, seseorang pekerja shif yang diwajibkan oleh majikannya untuk tetap bekerja secara berterusan sehingga melepasi waktu solat, seorang pelajar yang menghadiri kuliah atau peperiksaan di luar negara di mana jadual kuliah atau peperiksaannya itu mengjangkaui waktu solatnya, seorang peguam yang terpaksa menghadiri kes perbicaraan tanpa diberi waktu rehat oleh tuan hakim dan sebagainya. Semua contoh-contoh ini dan apa-apa yang seumpama membolehkan solat-solat dijamak. Hukum kebolehan ini tetap berhubung-laku samada di perkampungan asal ataupun ketika dalam perjalanan ataupun setelah tiba di destinasi perjalanan.

Selain itu dianjurkan menjamak solat apabila berhadapan dengan suasana yang menyulitkan perlaksanaan solat secara sempurna. Contohnya ialah bagi seorang muslimah yang secara tidak sengaja atau benar-benar terlupa tidak mempunyai pakaian menutup aurat yang sepenuhnya dan dalam jangkaannya yang kuat dia akan dapat memperolehi pakaian tersebut dalam waktu akan datang maka dibolehkan dia mengakhirkan solat pertamanya ke dalam waktu kedua dengan kaedah jamak. Antara lain ialah suasana ketiadaan air atau tanah untuk berwudhu' atau bertayamum, maka jikalau dalam jangkaannya yang kuat dia akan dapat menemui salah satu unsur penyucian ini dalam waktu yang kedua maka dianjurkan dia melakukan jamak solat yang pertama ke dalam waktu yang kedua.

Tidak dibolehkan menjamak solat atas alasan-alasan mengejar habuan dunia atau mentaati bisikan nafsu. Tidak dibolehkan jamak semata-mata kerana sibuk di bursa saham atau terlalu asyik di gedung beli-belah atau terlalu taksub dengan tontonan sukan di stadium dan yang seumpama. Juga tidak dibenarkan jamak dalam suasana hujan jikalau dia sememangnya biasa atau asalnya berniat mendirikan solat di rumah. Dalam ertikata lain tidak dibenarkan jamak atas alasan-alasan yang tidak kukuh lagi sahih di sisi syari'at. Seseorang yang meremehkan solat-solatnya dengan kerapkali menjamak akan dipertanggung-jawabkan nanti kerana dipandang sebagai melecehkan perintah agama yang terpenting ini.

Kedua - Kesukaran itu secara pasti meliputi keseluruhan waktu solat tersebut.

Kesukaran yang dihadapi oleh diri seseorang untuk dijadikan penyebab menjamak solat-solat fardhu perlu dipastikan secara jelas atau dengan jangkaan yang kuat bahawa ia adalah sesuatu yang benar-benar hadir di sepanjang waktu solat yang akan dijamak itu.

Contohnya ialah apabila seorang doktor yang dijadualkan untuk melakukan pembedahan pada pukul 4 petang, lalu dengan ilmu serta pengalamannya dia tahu serta yakin bahawa pembedahan tersebut akan memakan masa yang lama sehingga lanjut ke waktu Maghrib maka dengan itu dibolehkan dia melakukan jamak takdim dengan mendirikan solat Zohornya beserta solat Asar dalam waktu Zohor. Akan tetapi jikalau diketahui bahawa pembedahan tersebut adalah mudah dan ia dijangka akan selesai pukul 5 atau 6 petang maka tidak dibolehkan bagi doktor tersebut menjamakkan solatnya.

Demikian juga, apabila seseorang bersolat Zohor dalam pesawat terbang lalu diketahuinya bahawa dia akan tiba ke destinasi pada awal waktu Asar maka dia tidak boleh menjamakkan solat Asarnya bersama solat Zohornya secara jamak takdim. Akan tetapi dalam kes yang sama, jikalau dia sedia mengetahui akan kesukaran yang bakal mendatang seperti mendarat di lapangan terbang asing di negara non-muslim maka dibolehkan dia menjamakkan solat secara jamak takdim. Demikian juga yang seumpama bagi kes-kes jamak takhir.

Apabila seseorang itu telah pasti atau yakin benar bahawa kesukaran yang dihadapinya itu benar-benar meliputi waktu solatnya lalu dia mempraktikkan solat jamak, akan tetapi kemudian secara tidak diduga kesukaran tersebut hilang maka solat yang telah dijamaknya itu dikira sah dan tidak perlu diulangi. Berbalik kepada contoh seorang doktor yang yakin bahawa pembedah yang bakal dilakukannya itu akan meliputi seluruh waktu solat Asar lalu dia menjamakkan solat Asar tersebut bersama solat Zohornya secara jamak takdim, lalu secara tidak diduga pembedahannya itu selesai lebih awal dari yang dijangkakan dan waktu solat Asar pula masih hadir maka dia tidak perlu mendirikan semula solat Asarnya itu.[14]

Ketiga - Solat dijamak mengikut tertib dan berturut-turut.

Solat yang akan dijamak itu perlu didirikan secara tertib mengikut susunannya yang asal. Ini berpandukan dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sebagaimana yang tertera dalam hadith-hadith yang telah dikemukakan sebelum ini. Seseorang yang akan melakukan jamak takdim hendaklah dia menunaikan solat Zohornya dahulu kemudian diikuti oleh solat Asar, juga menunaikan solat Maghribnya dahulu kemudian diikuti oleh solat Isyak.

Susunan tertib yang sama adalah juga bagi seseorang yang akan melakukan jamak takhir. Hendaklah dia menunaikan solat Zohor dahulu kemudian diikuti dengan solat Asar sekalipun ini dilakukan dalam waktu Asar, juga menunaikan solat Maghrib dahulu kemudian diikuti dengan solat Isyak sekalipun dilakukan dalam waktu Isyak. Akan tetapi jikalau dijangkakan bahawa waktu solatnya itu akan berakhir dalam masa yang singkat maka dianjurkan dia menunaikan solat yang hadir dahulu kemudian diikuti dengan solat yang akan dijamak. Iaitu orang yang akan menunaikan solat secara jamak takhir padahal waktu Asar sudah hampir luput maka dianjurkan dia menunaikan solat Asar dahulu kemudian diikuti dengan solat Zohor.[15]

Perlaksanaan solat yang akan dijamak juga hendaklah secara berturut-turut tanpa dipisahkan antara satu sama lain sekalipun dengan bacaan zikir. Disunnahkan membaca iqamat antara keduanya mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang menyuruh agar diiqamatkan solat-solat yang akan dijamak, satu bagi yang solat yang pertama dan satu lagi bagi solat yang kedua. Oleh itu bagi seseorang yang menunaikan solat Zohor dan Asarnya secara jamak, apabila sahaja dia selesai solat Zohornya maka hendaklah dia iqamat kemudian terus diikuti oleh solat Asar. Demikian juga bagi jamak antara solat Maghrib dan Isyak. Dibolehkan menjarakkan antara satu-satu solat yang akan dijamak atas sebab-sebab yang amat perlu seperti mengulangi wudhu' yang terbatal.[16]

Keempat - Solat jamak takhir hendaklah diniatkan pada waktu yang pertama.

Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua (Jamak Takhir), maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia akan melakukan solatnya itu di waktu yang kedua. Contohnya bagi seseorang yang mahu melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka dia wajib secara sedar berniat dalam waktu Zohor bahawa dia akan menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam waktu solat Asar nanti. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut yang berbunyi Solat Zohor aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar dalam waktu Asar nanti atau apa-apa yang seumpama. Demikian juga bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya'. Tuntutan ini diwujudkan bagi membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir berdasarkan pengetahuan yang sedar sejak dari awal dan bukan kerana lalai, berlaku remeh atau malas ketika di dalam waktu yang pertama.[17] Jika seseorang itu benar-benar lupa secara ikhlas lagi tidak sengaja untuk meniatkan jamak takhir bagi solatnya yang pertama padahal sudahpun dirancang sejak dari awal maka dibolehkan bagi dia untuk tetap menunaikan solatnya itu secara jamak takhir kerana lupa itu adalah salah satu dari keuzuran yang dimaafkan oleh Islam. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[18]

Beberapa Catatan Tambahan.

1.     Azan dan Iqamat. Adalah merupakan sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam untuk berazan apabila masuknya waktu solat dan kemudian iqamat bagi memulakan solat. Bagi solat yang akan dijamak iqamatnya adalah dua, satu adalah bagi permulaan solat yang pertama dan satu lagi ialah antara selesainya solat pertama dan sebagai permulaan bagi solat yang kedua.[19]

2.     Dibolehkan solat secara jamak jikalau seseorang itu menjadi makmum kepada sekumpulan jamaah yang sedang bersolat secara biasa.[20] Contohnya seseorang yang merancang untuk melakukan jamak takdim antara Zohor dan Asar lalu dia mengikut imam dan para makmum yang sedang bersolat Zohor secara berjamaah, lalu apabila selesai sahaja solat Zohor itu maka dia bangun, beriqamat dan kemudian terus melaksanakan solat Asarnya. Dianjurkan dia menyisih posisi sedikit dari barisan saf bagi mengelak kekeliruan kepada para makmum selainnya.

Jikalau dia menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak takhir lalu dia menemui sekumpulan orang yang sedang menunaikan solat Isyak mereka secara berjamaah maka dianjurkan dia untuk turut mengikut jamaah tersebut dengan menunaikan solat Isyak kemudian apabila jamaah selesai maka dia berdiri sendirian dan menunaikan solat Maghribnya. Walaupun telah dinyatakan bahawa kaedah perlaksanaan solat jamak hendaklah mengikut turutan tetapi apabila berhadapan dengan situasi sebegini mengutamakan solat secara berjamaah adalah lebih terpilih dari solat sendirian.

Bagi orang yang melaksanakan dua solatnya secara jamak dengan mengikut barisan imam dan makmum secara jamaah dalam salah satu solatnya, tidak perlu timbul sebarang pertanyaan tentang perbezaan niat antara imam, makmum dan dirinya kerana manhaj serta tuntutan solat berjamaah bukanlah persamaan niat tetapi adalah persamaan perbuatan dan ikutan kepada imam yang memimpin. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca bacalah dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk.[21] Tambahan lagi menentukan niat imaman atau makmuman tidak pernah diajar oleh al-Qur'an mahupun as-Sunnah. Oleh itu tidak perlu berpegang kepada sesuatu syarat yang tidak ada nas atau dalilnya.

3.     Dibolehkan menjamak solat Asar bersama solat Juma'at bagi mereka yang memerlukannya. Iaitu bagi seseorang yang menjangka secara pasti bahawa dia akan mengalami kesukaran untuk menunaikan solat Asarnya nanti pada hari Juma'at maka dia boleh melaksanakan solat Asarnya itu sejurus selepas solat Juma'atnya secara jamak takdim. Dan solat Juma'atnya itu adalah sebagaimana yang difardhukan, iaitu secara berjamaah lengkap dengan khutbahnya di masjid-masjid. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Shaikh Mahmud Abu Hasan, seorang ulama' al-Azhar dalam kertas tesisnya.[22]  Kebolehan ini adalah berdasarkan kepada kesamaan tujuan (illat) disyari'atkan solat secara jamak iaitu bagi memudahkan umat apabila mereka berhadapan dengan sesuatu kesukaran, dan adalah kesukaran itu rambang sifatnya dan boleh berlaku bila-bila sahaja termasuk di hari Juma'at. Walaubagaimanapun tidak boleh menunda solat Juma'at ke waktu Asar secara jamak takhir kerana solat Juma'at adalah tetap lagi khusus waktunya tanpa boleh diubah-ubah.

 

Analisa Pendapat.

Sesetengah pendapat menyatakan bahawa apabila sahaja seseorang itu berada dalam suasana musafir, dia diharuskan menjamak setiap solatnya (kecuali subuh) sekalipun setelah tiba di destinasi perjalanan asalkan tempoh keseluruhan musafirnya itu tidak melebih 3 hari, atau mengikut pendapat lain, 4 hari.

Pendapat ini dianalisa sebagai tersangat lemah kerana Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak pernah menjadikan solat secara jamak suatu ketetapan mahupun kekerapan apabila beliau bermusafir. Tidak ditemui hadith bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam secara tetap menjamakkan solatnya apabila berada di dalam perjalanan ataupun apabila tiba di destinasi. Yang ditemui tertulis dalam kitab Sahih Bukhari dan lain-lain kitab hadith adalah bahawa beliau hanya mengqasarkan solatnya secara tetap apabila musafir, samada dalam perjalanan atau apabila tiba di destinasi. Solat qasar ini beliau lakukan tetap pada waktunya masing-masing, tidak secara jamak.

Apa yang benar adalah beliau selalu solat lima kali sehari dalam waktunya masing-masing dan hanya sekali-sekala beliau menjamakkannya apabila wujud kesukaran samada ketika dalam perjalanan atau setelah tiba di destinasi. Malah adakalanya beliau tidak menjamak langsung solatnya dalam satu-satu perjalanan itu. Imam Ibnu Taimiyah menerangkan: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila dalam satu pergian (musafir) kadang-kadang menjamakkan solatnya dan kadang-kala tidak. Bahkan yang lebih kerap adalah beliau tidak menjamakkan solat-solatnya. Ini menunjukkan bahawa jamak bukanlah  sunnah perjalanan sebagaimana mengqasarkan solat, tetapi ia (jamak) hanya dilakukan apabila perlu sahaja baik dalam suasana musafir ataupun tidak musafir supaya bertujuan tidak memberatkan umatnya.[23]

Imam as-Sha'nani juga telah menulis: Ketahuilah bahawa belum pernah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamakkan solat-solatnya secara terus menerus selama dalam perjalanannya sebagai mana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang pada masa sekarang. Dan beliau tidak menjamak sewaktu singgah di satu tempat. Beliau hanya menjamakkan solatnya apabila waktu perjalanannya sudah terlalu mendesak dan apabila langsung berangkat sehabis solatnya itu.[24]

Walhasil yang jelas adalah bahawa solat-solat hanya boleh dijamak apabila timbul sesuatu kesukaran samada ketika di perkampungan asal, atau ketika dalam perjalanan atau ketika setelah tiba ke destinasi perjalanan. Inilah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang jelas dan sedia tercatit dalam sekian banyak hadith-hadith beliau. Malah yang utama ialah tetap berusaha sekuat mampu untuk melakukan solat tetap pada waktunya yang masing-masing kerana sememangnya dasar perintah solat adalah sedemikian.

Hadith-hadith yang menerangkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamak antara solat-solat fardhunya ketika musafir hanyalah sebeberapa, berbanding dengan sekian banyak perjalanan, musafir, ekspedisi dan misi perjuangan yang beliau lakukan - di mana solat-solat fardhunya ketika itu dilaksanakan secara biasa, tidak secara jamak. Tidak temui sebarang dalil yang menunjukkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam atau para sahabat beliau radiallahu-anhum ada melaksanakan solat secara jamak setiap kali secara berterusan apabila sahaja mereka bermusafir.

Kesimpulan.

1.     Bagi seseorang yang mengalami kesukaran untuk mendirikan solat-solat fardhunya dalam waktu-waktu yang sedia termaktub, dibolehkan dia menjamak dua solat dalam satu waktu.

2.     Kesukaran yang dialami itu hendaklah sesuatu yang pasti lagi tulen serta tidak dapat dielakkan.

3.     Jamak dibolehkan apabila berada di perkampungan asal, atau di dalam perjalanan atau setelah tiba di destinasi perjalanan.

Tidak ditemui sebarang dalil yang membolehkan solat-solat dijamak secara tetap dan berterusan bagi suasana musafir.


[1]              Terdapat khilaf yang mendalam berkenaan kebolehan menjamak antara solat-solat. Pendapat yang penulis cenderongi ialah jamak itu dibolehkan, berpandukan kepada analisa dan perbandingan antara beberapa hujah dan dalil yang dipadukan oleh Shaikh-ul-Islam Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Majmoo al-Fatawa, vol 24. Sebagai hujah perbandingan lihat Subul-us-Salam, 2/169-178 dan Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, 4/382-393.

[2]              Maksud hadith riwayat Imam Ahmad [5/241], Abu Daud [1220], Tirmizi [2/438],  ad-Daruquthni [151] dan al-Baihaqi [3/163] dan dinyatakan sahih oleh Shaikh Nasiiruddin al-Albani dalam - Silsalah al-Ahadith as-Sahihah wa Syaiun min Fiqh wa Fawaaidiha, 1/368. Bagi perbandingan kajian hadith lihat Zaad-ul-Ma'ad, 1/410-411.

[3]              Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1167.

[4]              Lihat penerangan Imam Ibnu Taimiyah - Majmu'atur Rasail wal-Masail, 2/25-28.

[5]              Lihat Subul-us-Salam, 2/169-178 dan Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, 4/382-393.

[6]              Maksud atsar sahabat riwayat Imam Shafie - Musnad Shafie, 1/116, Imam Ahmad - Musnad Ahmad, 1/367 +2/191 dan Imam al-Baihaqi - Sunan al-Kubra, 3/164. Hadith dinyatakan sebagai lemah pada asalnya tetapi diperkuatkan oleh jalan periwayatan yang berlainan oleh para perawi yang terpercaya (tsiqah). Demikian takhrij oleh Shaikh Abdul Qadir dan Shaikh Syu'aib al-Arna'uth dalam pentahqiqan mereka terhadap kitab Zaad-ul-Ma'ad, vol 1,ms 411, notakaki 880.

[7]              Maksud atsar sahabat dari Sahih Muslim - no: 0705-E.

[8]              Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Atsram dalam kitab sunannya dan beliau adalah seorang ahli hadith yang menuntut bersama Imam Ahmad bin Hanbal, hadith disalin dari Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, no: 1196. Diriwayat yang seumpama oleh Imam AbdurRazzaaq dalam kitab hadithnya al-Musannaf, 2/556.

[9]              Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/233, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 3/137.

[10]            Pengajaran hadith riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1167.

[11]            Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 112, Prof.Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/378-379.

[12]            Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/237. Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/261.

[13]            Lihat Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam - Fatwa al-Mu'ashirah, ms 325-327,

[14]            Lihat penerangan Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 101-102.

[15]            Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 95

[16]            Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 99.

[17]            Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/377, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 105.

[18]            Maksud hadith dari Abu Dzarr al-Ghaifiri dan Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhuma, diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim, at-Thabrani dan ad-Daruquthni; dinilai sebagai hadith hasan oleh Imam an-Nawawi sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazha'ir, ms 166.

[19]            Lihat Sahih Bukhari, 2/732 dan banyak lagi hadith-hadith yang lain.

[20]            Penjelasan lanjut lihat Persoalan Solat dan Penjelasannya, ms 116-120 oleh Shaikh Abdul Aziz bin Baz.

[21]            Maksud hadith daripada Abu Hurairah radiallahu-anhu, diriwayatkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim; Al Bayan – Hadith no:  0230. Lihat juga hadith-hadith no: 0228 dan 0229.

[22]            Kini telahpun dibukukan atas tajuk Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, diterjemahkan oleh Suadara Ramzi Omar dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi - Malaysia 1999. Penjelasan berkenaan menjamak solat Jumaat dan solat Asar diterangkan pada mukasurat 104.

[23]            Imam Ibnu Taimiyah - Majmu'atur Rasail wal-Masail, 2/28.

[24]            Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/174.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan