Soalan

Saya seorang pelajar IPTA yang ditempatkan sebilik di asrama bersama seorang wanita bukan Islam. Apakah batas aurat saya?

Aini, Jerantut, Pahang.

Jawapan:

Pandangan kebanyakan (jumhur) ilmuan Islam adalah batas aurat muslimat terhadap wanita bukan Islam ialah sama seperti terhadap seorang lelaki yang boleh dinikahinya. Segelintir lain berpendapat ia adalah antara pusat dan lutut. Perbezaan pandangan berlaku dalam menafsirkan perkataan “perempuan-perempuan mereka” dalam ayat yang berbicara tentang aurat muslimat: “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada …… perempuan-perempuan mereka……” [Surah al-Nur, ayat 31] Saya cenderung kepada pandangan yang dipertengahan, iaitu jika seorang muslimat berhadapan dengan wanita bukan Islam yang aman dari fitnah dan boleh dipercayai, maka aurat minimum yang wajib ditutup ialah adalah antara pusat dan lutut. Sebaliknya jika berhadapan dengan wanita bukan Islam yang boleh menimbulkan fitnah atau yang tidak dikenali latarbelakangnya, maka auratnya adalah seperti apabila berhadapan dengan lelaki yang boleh dinikahinya.