Soalan

Apabila seseorang itu suci dari haid dan sudah mandi hadas, perlukan dia mengqadha solatnya yang lepas?

Amira, Shah Alam, Selangor.

Jawapan:

Para ilmuan sepakat dari dulu hingga kini bahawa wanita yang didatangi haid tidak perlu qadha solat selama tempoh haid itu. Perbezaan pendapat hanya wujud pada saat akhir tempoh haid, adakah dia perlu qadha solat yang satu waktu sebelumnya? Contoh, jika dia suci pukul 5 petang, selain bersolat Asar, wajibkah dia qadha solat Zohor? Sebahagian ilmuan berkata wajib sebab mungkin dia telah suci sejak waktu Zohor dan dia lalai akan hakikat itu. Sebahagian lain berkata apabila menghampiri tempoh akhir putaran haid, hendaklah dia memeriksa dirinya sekali bagi setiap waktu solat. Jika pada waktu Zohor dia belum suci tetapi pada waktu Asar dia suci, maka tidak wajib qadha solat Zohor. Pendapat kedua menjadi pilihan saya.