Menjadikan Nabi s.a.w. sebagai contoh adalah rebutan orang-orang yang,

  1. Mencari reda Allah.
  2. Mengharap balasan baik pada Hari Akhirat,
  3. Banyak berzikir kepada Allah.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t.,

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

(al-Ahzab 33:21)

Maka sungguhlah rugi orang yang tidak mahu menjadikan baginda sebagai contoh.

Seterusnya,

 

(1) Beribadahnya Nabi di Gua Hira' adalah sama seperti berjauhannya seorang suami kerana belajar jarak jauh atau kerja jarak jauh.

Belajar dan kerja adalah ibadah juga.

Saya sendiri sering berjauhan daripada keluarga kerana tugas penerbangan.

Maka tidaklah menjadi isu jika Nabi mahu beribadah di Gua Hira' atau Jemaah Tabligh yang mahu keluar sekian-sekian hari.

 

(2) Pada zaman Nabi, poligami adalah satu kelaziman. Ia bukan satu kejutan.

Oleh kerana itulah tidak ditemui riwayat yang menerangkan isteri sedia ada bersikap marah, rasa dikhianati atau minta cerai apabila Nabi nikah lagi tanpa memberitahu mereka.

Berbeza dengan masa kini di mana poligami adalah satu keasingan, maka sangat dianjurkan suami memaklumkan isteri sedia ada akan perancangannya.

 

(3) Allah tidak ugut talak kepada isteri-isteri yang bermasalah, akan tetapi Allah memberi peringatan.

Sila semak ayat 5 surah al-Tahrim yang dimaksudkan,

عَسَىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِّنكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُّؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا

Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara.

Jika benar "ugut" talak, maka yang mengugut adalah Allah dan bukannya Nabi.

Maka ayat 5 surah al-Tahrim ini tidak boleh dijadikan contoh oleh para suami untuk "ugut talak" kepada isteri mereka.

 

Pautan tulisan asal AAJ pada 15 April 2019:

https://www.facebook.com/asiah.abdjalil.7/posts/2309183069143818