Nasihat En. Suami adalah betul.

Perhatikan hadis berikut di mana Rasulullah s.a.w. menerangkan,

إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ

فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً

يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا! فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا.

قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ. قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ

Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia).

Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.

Salah seorang dari tentera itu datang dan berkata: “Saya telah melakukan sekian-sekian!” Iblis menjawab: “Kamu belum melakukan apa-apa.”

Kemudian datang seorang tentera yang lain dan berkata: “Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.” Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!"

[Shahih Muslim 5032/2813-2]

Oleh itu bagi semua pasangan suami isteri, tanpa terhad kepada AAJ, bersederhanalah dalam berkonflik. Konflik rumahtangga pasti akan berlaku, bahkan kadang ada kebaikan di sebaliknya.

Namun dalam berkonflik, janganlah berlebih-lebihan kerana yang sedemikian hanya akan memenangkan syaitan.

 

Adapun berbangga-bangga dalam mengikuti hasutan syaitan sehingga berterima kasih kepada syaitan, maka ia adalah tindakan yang menyelisihi perintah Allah s.w.t. dalam al-Qur'an.

Allah mengingatkan kita bahawa syaitan adalah musuh, maka hendaklah kita menjadikannya sebagai musuh. Ajakan atau hasutan syaitan hanya akan membawa kita ke neraka.

Firman Allah,

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ.

Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. [Fatir 35:06]

Pengecualian adalah kisah Iblis yang mengajar Abu Hurairah untuk membaca Ayat al-Kursi setiap kali sebelum tidur. Maka ajaran ini boleh kita terima dan amalkan kerana ia telah disahkan benar oleh Rasulullah s.a.w.. Sila rujuk kisah ini dalam Shahih al-Bukhari.

 

Pautan tulisan asal AAJ pada 8 April 2019:

https://www.facebook.com/asiah.abdjalil.7/posts/2298688513526607