al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Keenambelas:

          

Sesetengah hukum yang terdapat di dalam hadis-hadis, seperti hukum jenayah zina dan murtad, berasal dari hukum kaum Yahudi dan Nasrani sebagaimana jelas tertera di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil. Ini tidak lain menunjukkan bahawa dalam himpunan hadis-hadis, terdapat beberapa ajaran dari agama lain yang telah “terlepas masuk” sehingga dianggap sebahagian dari ajaran Islam pula. Berbeza halnya dengan al-Qur’an, ianya semua adalah asli dan tulen, 100% ajaran Islam sahaja.

Jawapan:

Tidaklah sesuatu yang memeranjatkan apabila terdapat beberapa hukum atau ajaran di dalam himpunan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang menyerupai syari’at agama Yahudi dan Nasrani. Ketiga-tiga agama ini, iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, adalah agama-agama samawi yang pada asalnya disyari’atkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala. Setiap darinya diturunkan oleh Allah kepada umat tersendiri melalui para rasul mereka tersendiri, di awali dengan Nabi Musa alaihi-salam kepada umat Yahudi, kemudian disusuli dengan Nabi Isa alaihi-salam kepada umat Nasrani (Kristian) dan diakhiri dengan Nabi Muhamad sallallahu-alaihi-wasallam kepada umat Islam. Setiap dari tiga agama ini memiliki ciri-ciri syari’at yang berbeza, tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa antara ketiga-tiga agama ini terdapat juga beberapa kesamaan.[1]

Penerangan di atas tidak khusus kepada hadis-hadis Rasulullah sahaja, tetapi ia juga adalah benar kepada al-Qur’anul Karim kerana jika kita menyelusurinya dan membandingkan dengan ajaran Yahudi dan Nasrani, akan didapati beberapa persamaan.[2] Contohnya ibadat puasa itu sendiri, di mana al-Qur’an sendiri telah menerangkan bahawa ia adalah merupakan suatu ibadah yang juga telah disyari’atkan kepada umat-umat terdahulu.[3] Justeru ada kesamaan dalam perintah berpuasa antara agama Islam dan agama-agama sepenuhnya sebagaimana yang diisyaratkan oleh ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]

Seperkara lain yang perlu diingatkan, bahawa kitab-kitab Taurat dan Injil yang wujud kini, mahupun 1400 tahun yang lalu, tidak dijamin keaslian dan ketulenannya, sekalipun oleh para sarjana Barat. Oleh itu apabila didapati adanya kesamaan antara ajaran hadis-hadis Rasulullah dengan ajaran kitab Taurat dan Injil, seseorang tidak boleh terburu-buru mengatakan bahawa hadis adalah tiruan dari kedua kitab tersebut. Kerana objek yang dijadikan ukuran, yakni kitab Taurat dan Injil, adalah sesuatu yang diragui ketepatannya sehingga tidak boleh dimutlakkan rumusan semata-mata berdasarkannya. Malah jika ada persamaan antara ajaran hadis Rasulullah dengan ajaran kitab Taurat dan Injil, maka hadis tersebut menjadi pembukti terhadap kebenaran ajaran yang dikandung sama oleh kitab Taurat dan Injil tersebut. Apa-apa ajaran di dalam kitab Taurat dan Injil yang tidak wujud sama di dalam hadis-hadis Rasulullah, maka ajaran-ajaran tersebut diragui ketepatan atau kebenarannya. Keterangan yang sama juga mewakili persamaan ajaran antara yang terdapat di dalam al-Qur’an dengan yang terdapat di dalam kitab Taurat dan Injil.

Hujah 17:   Terdapat banyak percanggahan antara sesama hadis.



[1]                 Mohamed S. El-Awa – Punishment in Islamic Law, pg 17.

[2]               Lihat Abraham I. Katsh – Judaism in Islam: Biblical and Talmudic Backgrounds of The Koran and It’s Commentaries.

[3]               Lihat Encyclopaedia of Islam (edisi Cdrom dibawah tajuk Sawn).

 

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian