al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Keduapuluh:

          

Sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sebenarnya telah mengakibatkan umat Islam menjadi mundur, jumud lagi terbatas fikiran mereka. Ini adalah kerana dengan fahaman “mengikut sunnah Rasulullah” maka umat Islam telah membataskan diri mereka kepada segala tradisi, perbuatan dan tingkah laku Rasulullah sahaja, tidak lebih dari itu. Maka tinggallah umat Islam masa kini mundur dengan fikiran dan perbuatan 1400 tahun yang lalu manakala umat lain terus maju ke hadapan.

Jawapan.

Sebenarnya amalan “mengikut sunnah Rasulullah” bukanlah merupakan rekaan manusia semata-mata tetapi adalah berdasarkan prinsip yang digariskan oleh al-Qur’an sendiri. Allah Subhanahu waTa’ala berfirman:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). [al-Ahzab 33:21]

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

Dua ayat ini jelas menyuruh kita umat Islam untuk mengikut dan mencontohi Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, iaitu mengikuti dan meneladani percakapan, perbuatan, pengiktirafan, jalan pimpinan, etika, dan tatacara baginda. Inilah yang dimaksudkan sebagai sunnah Rasulullah. Ikutan dan teladan ini bukanlah sekadar satu anjuran sahaja tetapi adalah merupakan prasyarat bagi seseorang itu membuktikan kasih sayangnya kepada Allah Subhanahu waTa’ala. Inilah maksud ayat 31 surah ‘Ali Imran di atas, di mana Allah Subhanahu waTa’ala berfirman melalui ungkapan kata-kata Rasulullah, bahawa seandainya seseorang itu mengasihi Allah maka hendaklah dia membuktikan kasih sayang tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Perkara yang tidak disedari oleh Golongan Anti Hadis dan mungkin juga sesetengah kita adalah bahawa sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang perlu kita ikuti hanyalah sunnah dalam urusan agama dan syari’at manakala sunnah dalam urusan duniawi, kita diberikan kelonggaran. Dalil yang membahagikan keumuman ayat-ayat Allah Ta’ala di atas kepada “dua jenis” sunnah adalah sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sendiri:

Sesungguhnya aku hanyalah manusia, apabila aku memerintahkan kalian sesuatu berkenaan agama kalian maka berpeganglah kalian dengannya dan apabila aku memerintahkan kamu sesuatu daripada pandangan persendirian maka aku hanyalah seorang manusia.[1]

Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.[2]

Kedua-dua hadis ini berasal dari peristiwa penanaman pokok kurma. Pernah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam melihat orang-orang sedang memindahkan debunga kurma antara pokok ke pokok bertujuan mempercepat dan memperbanyakan penghasilan buah kurma. Melihat demikian Rasulullah berkata: Aku tidak melihat adanya faedah padanya. Lalu mereka meninggalkan usaha tersebut dan nyata selepas itu hasil kurma mulai berkurangan. Rasulullah diberitahu akan akibat ini lalu baginda bersabda seperti dua hadis di atas.

Kedua-dua hadis ini jelas menerangkan bahawa umat Islam tidak diwajibkan mengikuti keseluruhan perintah dan perbuatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Hadis-hadis ini menerangkan bahawa dalam perintah dan perbuatan Rasulullah atau tepatnya – sunnah Rasulullah – terdapat dua kategori, yang pertama adalah berkenaan risalah syari’at Islam dan yang kedua adalah berkenaan pendapat dirinya sendiri sebagai seorang manusia. Yang pertama wajib diikuti oleh semua umat Islam manakala yang kedua tidak wajib dikuti melainkan dalam beberapa kes tertentu di mana baginda telah memerintahkannya secara tegas.

Contohnya dalam urusan makanan, umat Islam boleh makan apa yang mereka suka dengan cara masakan yang mereka gemari tanpa terikat kepada sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Akan tetapi mereka wajib pastikan bahawa makanan yang diperolehi adalah dari kaedah yang halal, iaitu halal sembelihannya dan halal cara perolehannya dan wajib menyuap ke mulut dengan tangan kanan tanpa mengira sama ada mengunakan jari-jari sendiri atau dengan menggunakan perkakas sudu, garpu dan pisau. Juga dilarang makan di atas perkakas yang diperbuat dari logam berharga. Disunatkan juga untuk berdoa sebelum dan selepas makan, tidak makan secara berlebihan, hendaklah berkongsi makanan, menghabiskan (melicinkan) semua yang tertinggal dipinggan dan jari, dan beberapa lagi – semua ini dikatakan wajib dan sunat hukumnya kerana ia telah diperintah, dilarang dan dianjurkan secara terperinci oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Contoh kedua ialah dalam urusan peperangan di mana umat Islam bebas menggunakan apa sahaja senjata dan strategi peperangan tanpa terikat kepada pedang, lembing dan anak panah sebagaimana yang digunakan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan umat Islam di zaman baginda. Akan tetapi umat Islam tetap wajib mengikuti beberapa sunnah Rasulullah dalam urusan peperangan, antaranya memberi masa tiga hari kepada pihak musuh untuk berserah diri sebelum menyerang mereka, tidak membunuh wanita serta kanak-kanak dan tidak merosakkan tanaman dan harta benda. Semua ini wajib diikuti kerana telah diperintah dan dilarang secara terperinci oleh Rasulullah.

Contoh ketiga ialah dalam kaedah pengubatan penyakit. Umat Islam tidak diwajibkan berubat dengan perubatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam seperti berbekam, minum madu bagi sakit perut, bercelak bagi menjaga penglihatan mata, minum air Habatus Saudah bagi penyakit umum dan pelbagai lagi. Akan tetapi umat Islam tetap terikat dengan beberapa sunnah Rasulullah dalam urusan perubatan ini kerana ia telah diperintahkan secara khusus oleh beliau, antaranya ialah wajib berubat bagi setiap yang sakit, tidak boleh berubat dengan bahan yang diharamkan dan orang yang mengubati (doktor) mestilah yang bertanggung jawab dalam kerjanya.

Demikian tiga contoh bagi membezakan antara sunnah duniawi Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang wajib dan tidak wajib diikuti. Umumnya sesuatu sunnah Rasulullah dalam konteks beliau sebagai seorang manusia biasa tidak wajib kita ikuti kecuali jika sunnah tersebut memiliki perintah atau larangan yang tegas di dalamnya.[3] Jika seseorang itu dapat membezakan antara “dua jenis” sunnah ini seperti siang dan malam, maka tidak akan timbul lagi dakwaan bahawa mengikut sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bererti mengikut tamadun dan peradaban yang 1400 tahun terkebelakang.

Adalah juga tidak benar dakwaan bahawa sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah menyebabkan umat Islam jadi mundur dan tidak maju. Perlu ditentukan apakah faktor sebenar yang menyebabkan kemunduran tersebut, adakah sunnah Rasulullah atau sunnah umat Islam masa kini yang tidak berilmu, tidak kreatif, tidak inisiatif, serba malas, serba lemah rohani dan jasmani, suka bertengkar, leka dengan dunia, tamak dengan harta, memikirkan diri sendiri dan pelbagai lagi.

Sebenarnya jika dikaji, ditelaah dan diselidiki sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam akan didapati bahawa ia sangat-sangat menganjurkan umat Islam ke arah kemajuan dan kejayaan. Sebagai langkah pertama, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah mewajibkan umatnya menuntut ilmu. Perintah beliau:

Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim.[4]

Orang yang memiliki ilmu adalah lebih utama kedudukan mereka dari orang yang beribadah sahaja, sebagaimana yang dineracai oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:

Keutamaan ilmu adalah lebih baik dari keutamaan ibadah dan sebaik-baik agama kalian adalah bersifat wara’.[5]

Pasti sahaja yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah orang-orang yang menyibukkan diri dengan ibadah sunat sahaja, yang wajib tetap wajib. Selain itu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga sangat menganjurkan umatnya untuk berfikir, berikhtiar, kreatif lagi inisiatif. Anjuran ini dapat kita fahami dari hadis baginda yang tidak mahu umatnya mengikut dirinya sahaja semata-mata tetapi terus maju ke hadapan dalam urusan duniawi masing-masing:

Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian.[6]

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga menganjurkan umat Islam untuk mencari, mengambil dan memanfaatkan ilmu, kepakaran dan pengetahuan dari sesiapa sahaja termasuk dari orang-orang bukan Islam asalkan ilmu tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sabda baginda:

Kalimah al-Hikmah ialah barangan orang Islam yang hilang, di mana sahaja kamu menjumpainya kamu kamulah yang lebih berhak terhadapnya. [7]

Seterusnya Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sangat menganjurkan umat Islam untuk berkerja. Adalah tidak benar dakwaan dan tafsiran segelintir umat Islam bahawa sunnah Rasulullah hanya menekankan kehidupan di Akhirat dan meremehkan kehidupan di dunia. Perhatikan sabda Rasulullah berikut ini:

Seandainya Hari Kiamat (hampir) datang dan di tangan seseorang kalian terdapat sepohon kurma yasng hendak ditanamnya, jika dia mampu menanamnya sebelum Kiamat tersebut maka hendaklah dia menanamnya.[8]

Sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang sebenar adalah hendaknya setiap orang Islam berkerja di dunia ini dan perkerjaan tersebut hendaklah dilakukan sebaik mungkin, secara profesional, bijak, cekap dan kompeten. Kecekapan seseorang Muslim itu diumpamakan oleh Rasulullah seperti orang yang dapat membunuh cicak dengan sekali pukulan maka dia mendapat sekian-sekian markah manakala sesiapa yang berjaya membunuh hanya selepas dua kali cubaan maka dia mendapat markah yang kurang dan begitulah seterusnya. Kecekapan dan kehandalan seorang mukmin itu juga mengelak diri mereka dari melakukan dua kesilapan yang sama secara berulang, diumpamakan oleh Rasulullah seperti orang yang tidak akan disengat dari satu sarang binatang dua kali.

Perhatikan hadis-hadis berikut:

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu berkerja, dia berkerja dengan cemerlang.[9] 

Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berkerja, apabila dia berkerja dia melakukannya secara ihsan (sebaik-baiknya, sesempurna mungkin).[10]

Sesungguhnya Allah Ta’ala mencintai seseorang mukmin yang profesional.[11]

Sesiapa yang membunuh seekor cicak dengan sekali pukulan maka baginya sekian-sekian kebaikan. Dan sesiapa yang membunuhnya dengan pukulan yang kedua maka baginya sekian-sekian kebaikan, kurang dari yang pertama tadi. Dan jika seseorang dapat membunuhnya dengan pukulan yang ketiga maka baginya sekian-sekian kebaikan, kurang dari yang kedua tadi.[12]

Tidaklah seorang mukmin akan disengat dua kali dari satu lubang (sarang binatang) yang sama.[13]

Sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga tidak menghalang seseorang itu dari memiliki harta, asalkan sahaja harta tersebut diperolehi secara halal dan dimanfaatkan secara halal juga. Dia tidak kikir dan tidak boros, tidak leka dan tidak terlalu khusyuk dengannya. Inilah maksudnya harta yang dimiliki oleh seorang yang soleh sebagaimana sabda baginda:

          Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh.[14]

Demikian beberapa hadis terpilih dari puluhan lain yang sedia ada, semuanya menganjurkan kita untuk menjadi umat yang berilmu, berfikir, berkerja dan sentiasa berusaha ke arah kejayaan. Terdapat beberapa hadis lain yang pada zahirnya seolah-olah menyuruh umat untuk menyisihkan dunia dan segala urusannya. Hadis-hadis seperti ini sebenarnya tidak terlepas dari dua penjelasan:

[1] Isnadnya daif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Hadis-hadis sebegini memang banyak disebarkan oleh segelintir ahli zuhud, ahli tereqat dan mereka yang sempit pandangan tentang Islam. Hadis-hadis ini tidak boleh dijadikan hujah.

[2] Jika isnadnya sahih, maka yang dimaksudkan adalah memberi peringatan kepada umat supaya tidak terlalu leka dan taksub dengan urusan duniawi sehingga lupa tentang kehidupan Hari Akhirat. Islam mengajar umatnya supaya berusaha untuk kejayaan dunia dan Hari Akhirat, tidak dunia sahaja atau Hari Akhirat sahaja. Islam juga mengajar umatnya bahawa berusaha di dunia bukanlah untuk meraih ganjaran duniawi semata-mata tetapi ia hanya satu jalan untuk mencapai ganjaran yang hakiki di Hari Akhirat kelak.[15]

Dalam Sirah Nabawiyah kita dapat melihat bagaimana Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam masa 23 tahun telah menukar satu generasi manusia yang berpuak-puak, jahil lagi mundur menjadi satu generasi yang bersatu, maju lagi berjaya. Ini adalah bukti terkuat tentang peranan yang dimainkan oleh sunnah Rasulullah dalam membimbing umat ke arah kejayaan. Oleh itu sangat perlu dibezakan apakah faktor sebenar yang menyebabkan kemunduran umat masa kini. Tegasnya kemunduran umat masa kini bukanlah kerana mengikuti sunnah Rasulullah tetapi adalah kerana meninggalkannya atau tidak memahaminya dengan pemahaman yang sebenar.  

 

Mengkaji Kuasa dan Authority Rasulullah di sisi al-Qur’an.

 



[1]               Sahih: Hadis dari Rafi bin Khadji radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2362. (Kitab al-Fadail, Bab Kewajipan Mengikuti Rasulullah dalam Urusan Agama dan Bebas Mengikut Fikiran Sendiri dalam Urusan Lain). Terdapat juga hadis senada dari Musa bin Talha radiallahu-anhu, Sahih Muslim – no:2361.

[2]               Sahih: Hadis dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Malik dan Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2363. (Kitab al-Fadail, Bab Kewajipan Mengikuti Rasulullah dalam Urusan Agama dan Bebas Mengikut Fikiran Sendiri dalam Urusan Lain)

[3]               Bab ini memerlukan perbincangan dan penjelasan yang lebih mendalam bagi membezakan antara sunnah yang perlu diikuti dan yang tidak perlu diikuti. Di atas penulis hanya menerangkan secara umum dan ringkas sahaja sekadar mencukupi perbincangan dan menjawab dakwaan. Lebih lanjut lihat buku Yusuf Qardhawi – as-Sunnah sebagai Sumber Iptek dan Peradaban, Muhammad Quthb – Tafsir Hadits: Kajian Kontekstual atas Beberapa Teks Nabawiah, ms 257-290 dan Mahmud Syaltut – Aqidah dan Syariah, jld 2, ms 266 dan seterusnya.

[4]         Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ibnu Adiy, al-Baihaqi, ath-Thabarani, al-Khatib dan lain-lain, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 5264 dan dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii-us-Sagheir – no: 3913.

[5]               Hasan: Hadis dari Hudzaifah bin al-Yaman radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath dan al-Bazzar, dinukil dan dinilai hasan oleh al-Mundziri dalam at-Tarhib wat-Targhib – no: 103 (Kitab al-Ilmu, Bab Anjuran dalam berilmu.......) dan dipersetujui hasan oleh pentahqiq Samir Ahmad al-‘Atha dan rakan-rakan.

[6]               Sahih: sebagaimana yang telah diterangkan sumber dan kedudukannya di mukasurat sebelum ini.

[7]          Hasan: Hadis dengan dua jalan periwayatan:

[1]           Dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh at-Tirmizi dalam Sunan Tirmizi – no: 2687 dan Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah – no: 4169, kedua-duanya dari jalan Ibrahim al-Fadhl dan beliau didaifkan oleh at-Tirmizi sendiri. Lihat juga Daif Sunan at-Tirmizi – no: 2687. (Bab keutamaan ilmu dari Rasulullah, Bab Keutamaan pandai ilmu dari ibadah) oleh Nasiiruddin Albani.

[2]           Dari Ali bin Abi Talib radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 55, ms 192, disebut juga oleh ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus – no: 3878 dengan jalan beberapa perawi yang tidak dapat dikesan biografinya oleh penulis.

As-Suyuti menukil kedua-dua jalan riwayat di atas dalam Jamii-us-Sagheir – no: 6462 dan beliau menilainya hasan. Namun Albani menilainya sangat daif dalam Daif Jamii-us-Sagheir, jld 4, ms 166. Mungkin yang dikaji oleh Albani adalah dari sudut isnad sahaja. Bagi penulis hadis ini memiliki kebenaran dari sudut matannya kerana dalam Sirah Nabawiyah kita dapati Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sering mengambil dan memanfaatkan ilmu-ilmu dan kepakaran dari orang bukan Islam asalkan sahaja ia tidak bertentangan dengan syari’at. Contohnya mengikut seorang Quraish untuk menunjuk jalan yang khas ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, menyuruh tawanan perang Badar untuk menganjar umat Islam membaca dan menulis, mengambil teknologi Rom dan Parsi menggali parit yang dalam sekeliling Kota Madinah dalam perang Khandak dan pelbagai lagi. Oleh itu hadis ini dinilai sebagai daif isnadnya tetapi sahih matannya.

Hadis ini juga diperkatakan oleh beberapa sahabat dan tabiin, antaranya:

[1]           Dari Abi Bardah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf – no: 35681

[2]           Dari Buraidah radiallahu-anhu, disebut oleh ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus – no: 2770.

[3]           Dari Zaid bin Aslam radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Abu Abdullah al-Qadho’i dalam Musnad al-Shahaba, jld 1, ms 118, no: 146.

[8]               Sahih: Hadis dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, at-Taylisi, al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad - no: 479 dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no 09.

[9]               Sahih: Hadis dari A’isyah radiallahu-anha, dikeluarkan oleh Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4930 (Bab Tentang Amanah...).

[10]             Hasan: Hadis dari Kulaib bin Shahab, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Jamii’ li Syu’aib al-Iman – no: 4932, isnadnya daif sepertimana terang Mokhtar Ahmad al-Nadwi. Namun penulis menilainya hasan kerana matannya disokongi oleh sebuah hadis lain dari Syaddad bin Aus dalam Sahih Muslim – no: 1955 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam segala hal. Jika kalian membunuh (binatang buruan) maka hendaklah dibunuh dengan ihsan. Jika kalian menyembelih, sembelihlah dengan ihsan. Hendaklah seseorang kamu menajamkan pisaunya dan mengistirehatkan sembelihannya (terlebih dahulu).

[11]             Hasan: Hadis dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Syu’aib al-Iman, dinukil dan dinilai daif oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagheir – no: 1873. al-Munawi telah membincangkan kedaifan isnadnya dalam Faidh al-Qadir Syarah Jamii-us-Sagheir, jld 2, ms 290-291 dan beliau menukil kata-kata as-Sakhawi bahawa hadis ini memiliki beberapa penguat (syawahid). Penulis berkata, penguatnya adalah dari sudut matan di mana ia selari dengan hadis-hadis lain yang telah dinukil dalam bab ini di mana semuanya menganjurkan orang Islam berkerja dengan sebaik-baiknya. Oleh itu penulis mendudukkannya ditangga hasan.

[12]             Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2240. (Kitab as-Salam, Bab Dorongan membunuh cicak).

[13]             Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2998. (Kitab az-Zuhud dan Kata-kata yang melembutkan hati (ar-Raqaiq), Bab Seorang mukmin tidak akan disengat dua kali .......).

[14]             Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari ‘Amr al-Ash radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Ya’la, dinilai sahih oleh al-Haithami dalam Majma az-Zawaaid – no: 6242.

[15]             Lebih lanjut lihat penjelasan yang amat baik oleh Yusuf Qardhawi dalam bukunya Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam.

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian