al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Keempat:

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah dilarang keras oleh Allah Subhanahu waTa’ala dari mengata atau mengajar sesuatu selain dari al-Qur’an sahaja. Firman Allah:

Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman. Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan – Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami – Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.  [al-Haqqah 69:40-47]

Jawapan:

Ayat di atas khusus membicarakan tentang sifat keaslian kitab al-Qur’anul Karim. Asal ayat adalah bagi menjawab tuduhan orang-orang kafir di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang enggan menerima dan beriman kepada kitab al-Qur’an. Mereka berkata al-Qur’an itu adalah hasil sebutan dan tulisan seorang penyair dan pawang, yakni Muhammad bin Abdullah sendiri. Ia bukan wahyu Allah. Lalu ayat ini diturunkan bagi menolak dakwaan mereka dengan menyatakan bahawa al-Qur’an yang disebut dan diajar oleh Muhamad bin Abdullah itu sebenarnya adalah wahyu Allah dan Muhammad itu bukanlah seorang penyair atau pawang tetapi adalah seorang Rasul Allah yang mulia.

Ayat ini juga seterusnya menyatakan bahawa seandainya Muhammad itu menyebut atau mengajar sesuatu urusan agama yang tidak berasal dari sumber wahyu, nescaya nyawanya akan diragut serta merta. Ancaman terakhir ini tidak lain adalah bagi membuktikan bahawa risalah agama yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah benar-benar tulen dari Allah Azza waJalla dan ia bukan rekaan atau dustaan beliau semata-mata. Justeru keseluruhan ayat ini memberi jaminan kepada kita semua bahawa kesemua yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan agama dan syari’at ini adalah dari sumber wahyu Illahi belaka.

Namun Golongan Anti Hadis telah menyempitkan tujuan ayat tersebut kepada pengertian bahawa kononnya Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak dibenarkan untuk menyebut atau mengajar apa jua urusan agama melainkan apa yang tertera di dalam al-Qur’an sahaja. Perlu diingatkan bahawa ancaman Allah Azza waJalla dalam ayat: Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan……adalah umum meliputi seluruh ajaran deen dan syari’at Islam yang disampai, diucap dan diajarkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, yakni ajaran al-Qur’an dan sunnah-sunnah beliau. Ayat di atas tidak menyebut …… Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata selain al-Qur’an … ……

Oleh itu ancaman ayat di atas tidaklah terhad kepada al-Qur’an sahaja tetapi meliputi semua yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan agama.

 

Hujah 5:   Rasulullah sendiri telah mengadu bahawa umatnya telah meninggalkan al-Qur’an.

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian