Article Index


Fiqh al-Awlawiyat Antara Dua Suruhan Yang Saling Bertembung.
      Apabila berhadapan dengan dua atau lebih suruhan agama, maka yang terbaik ialah melaksanakan kesemua suruhan tersebut. Apabila tidak mampu melaksanakan keseluruhan suruhan agama yang berbeza-beza hukumnya antara harus, sunat dan wajib, maka yang utama ialah melaksanakan yang wajib, kemudian yang sunat dan kemudian yang harus.

      Akan tetapi bagaimanakah sikap kita apabila berhadapan dengan dua suruhan yang sama darjat hukumnya dan kita hanya mampu melaksanakan salah satu darinya? Sekali lagi, kemahiran dalam subjek Fiqh al-Awlawiyat akan dapat membantu menyelesaikan persoalan ini. Perhatikan hadis berikut:

      Seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan-jalan di satu lembah dan ternampak sebuah mata air yang indah sehingga mengkagumkan dia. Dia berkata: “Andainya aku mengasingkan diri dari manusia (uzlah) dan tinggal di lembah ini, akan tetapi aku tidak akan melakukannya melainkan setelah meminta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.” Hajatnya ini dikhabarkannya kepada Rasulullah lalu baginda menjawab:


لاَ تَفْعَلْ فَإِنَّ مُقَامَ أَحَدِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهِ فِي بَيْتِهِ سَبْعِينَ عَامًا. أَلاَ تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ الْجَنَّةَ ؟ اغْزُو فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ قَاتَلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَوَاقَ نَاقَةٍ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.

        Jangan melakukannya kerana sesungguhnya kedudukan seseorang kamu di (medan Jihad) di jalan Allah adalah lebih utama daripada bersolat dalam rumah selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga ? Berperanglah di jalan Allah, barangsiapa yang berperang di jalan Allah selama tempoh memerah susu unta (yakni tempoh yang sekejap) maka wajib ke atasnya Syurga. [Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1650]


      Dalam hadis di atas terdapat dua suruhan agama yang saling bertembung:
* Suruhan # 1: Mendirikan solat dalam tempoh masa yang lama di tempat yang indah agar dapat memperolehi kekhusyukan yang sempurna. Ia mengandungi maslahat kepada orang yang bersolat.


* Suruhan # 2: Berjuang di medan perang demi menegakkan kalimah Allah dan membela nasib umat Islam. Ia mengandungi maslahat membela nasib agama dan umat Islam manakala orang yang berperang dijamin keampunan Allah dan balasan syurga.

      Di antara dua suruhan di atas, yang lebih utama ialah suruhan kedua kerana ia mengandungi kadar maslahat yang lebih besar berbanding suruhan pertama. Ini terbukti dengan perkataan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam “…adalah lebih utama daripada bersolat…”.

      Berdasarkan hadis di atas dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu berhadapan dengan dua atau lebih suruhan dalam satu masa dan dia tidak mampu melaksanakan semua tersebut, maka:

  •   Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding suruhan yang maslahatnya memberi kesan jangka masa pendek.
  • Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya berbanding suruhan yang maslahatnya memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya.
  • Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya bersifat pasti berbanding suruhan yang maslahatnya bersifat kemungkinan.

      Sebagai contoh bagi Fiqh al-Awlawiyat antara dua suruhan yang saling bertembung ini, ingin saya kongsi persoalan yang agak lazim saya terima daripada para pelajar pusat pengajian tinggi. Mereka lazim bertanya, manakah yang patut diutamakan, pelajaran atau aktiviti agama bersama jamaah masing-masing di kampus? Atau adakah pelajaran dan aktiviti agama diletakkan pada tahap yang sama? Ini kerana dalam persoalan ini kelihatannya ada dua suruhan agama yang saling bertembung:

* Suruhan # 1: Belajar.
* Suruhan # 2: Membela agama.

 Antara dua suruhan ini, yang utama ialah pelajaran. Sebabnya:
1. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat jangka masa yang panjang. Empat tahun (purata) di pusat pengajian tinggi akan memberi maslahat kepada dirinya sehinggalah dia meninggal dunia. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar maslahat dalam tempoh empat tahun dia berada di kampus itu. Jarang-jarang ditemui pelajar yang aktif di kampus akan aktif setelah tamat dari kampus dengan aktiviti agama.

2. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat kepada orang yang besar jumlahnya. Kelulusannya cemerlang dalam pelajaran akan membolehkan dia bekerja dan menjadikan kerjayanya sebagai sarana melakukan kerja-kerja dakwah dan islah kepada orang ramai sehinggalah ke akhir hayat. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar mencapai maslahat untuk warga kampus.

3. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat yang bersifat pasti. Ini kerana apa saja yang dilakukan oleh seseorang, kemaslahatan yang hakiki hanya akan tercapai jika ia berdasarkan ilmu yang sahih. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia lebih kepada semangat dan pengisian jiwa yang kosong akibat jauh dari keluarga tersayang. Maka jika ada maslahat, ia adalah maslahat yang bersifat kemungkinan.

      Justeru berdasarkan pertimbangan Fiqh al-Awlawiyat, pelajaran adalah lebih utama dari aktiviti agama. Namun saya tidaklah bermaksud seseorang itu meninggalkan aktiviti agama secara keseluruhan. Hanya hendaklah ia disusun mengikut tertib keutamaan. Sekadar cadangan, hendaklah tenaga dan masa dibahagikan pada kadar 40% untuk pelajaran dalam jurusan masing-masing, 40% untuk meningkatkan ilmu agama dan 20% untuk aktiviti agama.

      Ilmu agama tidak sama dengan aktiviti agama. Ilmu agama ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan penjelasannya oleh para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Aktiviti agama hendaklah bertepatan dengan ilmu agama kerana ilmu memimpin amal dan bukan sebaliknya. Betapa ramai orang yang melakukan aktiviti agama tetapi ia berseberangan dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Renungilah! Anda masih mempunyai masa yang banyak untuk menambah kadar aktiviti agama selepas anda lulus pengajian dan selepas anda memiliki ilmu agama yang secukupnya. Maslahat jangka masa panjang hendaklah diutamakan dari maslahat jangka masa pendek.