Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

Rumusan Kaedah Mengatasi Hadis-hadis yang Kelihatan Bercanggah.

       Berikut diringkaskan kaedah-kaedah yang perlu ditempuhi seseorang apabila menemui dua atau hadis yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain

[1] Menyemak bahawa semua hadis-hadis tersebut memiliki taraf yang sama. Jika yang bercanggah adalah antara hadis yang kuat (sahih, hasan) dengan hadis yang lemah (daif, maudhu’), maka percanggahan dapat diatasi dengan mengenepikan hadis yang lemah. (Contoh no: 1 & 2).

[2] Menyemak antara hadis-hadis tersebut sama ada salah satu daripadanya telah dibatalkan oleh hadis yang lain. (Contoh no: 3).

[3] Jika telah ditempuhi dua langkah di atas, maka percanggahan dapat diatasi dengan kaedah menyesuaikan antara hadis-hadis (al-Jam‘u) dengan memerhatikan susunan lafaznya:

[3-A] Jika yang bercanggah adalah antara hadis Lafaz am dengan hadis Lafaz khas, maka hadis Lafaz khas berperanan mengecualikan sebahagian daripada keumuman hadis Lafaz am. (Contoh no: 4)

[3-B] Jika yang bercanggah adalah antara hadis Lafaz mutlaq dengan hadis Lafaz muqayyad, maka hadis Lafaz muqayyad berperanan memperincikan lagi hadis Lafaz mutlaq. (Contoh no: 5)

[3-C] Jika yang bercanggah adalah antara hadis Sunnah Qauliyah dengan hadis Sunnah Fi‘iliyyah, maka yang menjadi dasar hukum ialah hadis Sunnah Qauliyah manakala hadis Sunnah Fi‘iliyyah berperanan menafsirkan maksud sebenar hadis Sunnah Qauliyyah. (Contoh no: 6)

[3-D] Menakwilkan salah satu dari hadis tersebut, iaitu memalingkan erti zahir sesuatu lafaz kepada pergertian lain, dengan syarat pemalingan tersebut sesuai dan berada di dalam batas-batas al-Qur’an dan al-Sunnah. (Contoh no: 7).

[3-E] Mengkaji maksud dan tujuan sebenar sesuatu hadis dengan memerhatikan struktur ayat dan erti perkataannya. (Contoh 8, 9 & 10).

[4] Percanggahan juga dapat diatasi melalui kaedah menyesuaikan antara hadis-hadis (al-Jam‘u) dengan mengkaji:

[4-A] Kepada siapakah sesuatu hadis itu ditujukan. (Contoh no: 11).

[4-B] Suasana dan masa sesuatu hadis itu disampaikan. (Contoh no: 12).

[4-C] Kepada siapa dan suasana sesuatu hadis itu disampaikan (Contoh no: 13 & 14).

[5] Percanggahan juga dapat diatasi dengan memahami seluruh maksud hadis-hadis yang kelihatan bercanggah, di mana ia sebenarnya hanyalah saling menghubung dan melengkapkan antara satu sama lain. (Contoh no: 15, 16, 17 & 18).

[6] Jika kaedah 3, 4 dan 5 di atas gagal mengatasi percanggahan, maka hendaklah ditempuhi kaedah al-Tarjih, iaitu:

[6-A] Mengunggulkan hadis yang bersifat larangan di atas hadis yang bersifat membolehkan. (Contoh no: 19)

[6-B] Mengunggulkan hadis yang selari hukumnya dengan lain-lain dalil di atas hadis yang bersendirian dari dalil-dalil tersebut. Yang dimaksudkan dengan dalil-dalil ialah al-Qur’an, al-Sunnah, ijma’, amalan majoriti sahabat dan sebagainya. (Contoh no: 19).

[6-C] Mengunggulkan hadis yang memiliki jalan periwayatan yang lebih banyak di atas hadis yang memiliki jalan periwayatan yang sedikit. (Contoh no: 19).

[6-D] Mengunggulkan hadis yang bersifat menetapkan di atas hadis yang bersifat menafikan. (Contoh no: 20).

 

 

===========================

 

   
:: laman utama