Article Index


Ketiga: Tidak boleh menokok tambah di atas al-Qur’an dan al-Sunnah.

      Akhi Mohd Fitri (ms. 76) telah mengemukakan beberapa hadis sahih yang semuanya menerangkan keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai. Saya mengetahui bahawa dalam bab ini terdapat banyak lagi hadis-hadis yang sahih. Akan tetapi persoalannya, bagaimana hadis-hadis yang menerangkan keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai dapat ditarik menjadi dalil zikir secara jahr?

      Ini kerana sesuatu ibadah yang dilakukan secara beramai-ramai tidak semestinya bererti dilakukan secara jahr. Satu contoh mudah ialah solat berjamaah. Ia adalah satu ibadah yang dilakukan secara beramai-ramai. Akan tetapi ini tidak bererti ia dilaksanakan secara jahr. Sama-sama kita ketahui bahawa solat Zohor dan Asar dilakukan secara sirr manakala solat Subuh, Maghrib dan Isyak dilakukan secara jahr. Yang membezakan antara sirr dan jahr bukanlah ulama’ tetapi dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Kembali kepada hadis-hadis keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai, di manakah dalil al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang sahih untuk mengatakan bahawa ia dilaksanakan secara jahr? Sejauh kajian saya tidak ada. Bahkah yang ada ialah dalil yang melarangnya, iaitu ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’.

      Contoh mudah meraih keutamaan dari hadis-hadis tersebut ialah apa yang lazim dilakukan oleh para jamaah di masjid sementara menunggu azan solat Jumaat. Di antara jamaah ada yang mendirikan solat sunat mutlak, ada yang membaca al-Qur’an, ada yang berzikir, ada yang berselawat dan ada yang membaca buku. Semua ini masuk dalam pengertian zikir yang dianjurkan oleh hadis-hadis di atas. Yang penting, masing-masing melakukannya secara sirr dan bukan jahr. Jika dilakukan secara secara jahr, nescaya akan mengganggu jamaah di sekeliling.

      Kesimpulannya, menggunakan hadis-hadis keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai sebagai dalil zikir secara jahr ialah menokok tambah di atas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Bahkan menyelisihi perintah ayat 205 surah al-A’raaf dan ayat 110 surah al-Isra’. Ada pun pendapat beberapa ulama’ yang membolehkan zikir jahr berdasarkan hadis-hadis keutamaan tersebut, maka ayat 59 surah al-Nisa’ memerintahkan kita untuk kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Di sini ingin saya tambah bahawa terdapat juga orang yang menggunakan hadis-hadis keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai sebagai dalil untuk zikir secara jahr dan serentak. Sekali lagi, sesuatu ibadah yang dilakukan secara beramai-ramai tidak semestinya bererti dilakukan secara serentak. Sebagai contoh bandingkan antara solat berjamaah dan tawaf di Ka’bah. Kedua-duanya dilakukan secara beramai-ramai. Akan tetapi solat jamaah dilakukan secara serentak manakala tawaf tidak. Di kalangan orang yang tawaf, ada yang dalam pusingan pertama, ada yang dalam pusingan keenam, ada yang berlari-lari anak, ada yang berjalan pantas dan ada yang berjalan perlahan. Di antara solat jamaah dan tawaf, yang membezakan antara serentak atau bersendirian ialah dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Kembali kepada hadis-hadis yang menerangkan keutamaan majlis zikir, kelompok zikir dan zikir di kalangan orang ramai, pihak yang melakukannya secara serentak perlu memiliki dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sejauh kajian saya, dalil sedemikian tidak ada.