Article Index


Fenomena berbilang jamaah adalah sesuatu yang lazim berlaku sekarang ini di dunia Islam. Malah ia adalah sesuatu yang hangat di institut pengajian tinggi. Di sebalik kelaziman dan kehangatan ini, tidak ramai yang mengetahui apakah hukum berbilang jamaah di dalam Islam. Seterusnya jika berbilang jamaah dibolehkan, apakah adab-adab yang patut dimiliki oleh setiap ahli jamaah? Risalah ini insya-Allah akan mengupas dua persoalan di atas.

Bahagian A: Hukum Berbilang Jamaah.
Para ilmuan berbeza pandangan tentang hukum berbilang jamaah di dalam Islam. Perbezaan mereka boleh disimpulkan kepada dua pandangan:
•    Tidak boleh berbilang jamaah di dalam Islam kerana ia memecah-belahkan persatuan umat Islam. Malah istilah “jamaah” itu sendiri tidak tepat untuk digunakan kerana “jamaah” bererti persatuan yang antonim kepada perpecahan. Berbilang jamaah adalah satu perpecahan, lalu bagaimana mungkin ia digelar jamaah?
Seterusnya terdapat beberapa dalil yang secara jelas melarang perpecahan di kalangan umat Islam. Salah satu daripadanya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ.

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan-golongan, tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak) apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). [al-An’aam 6:159]
Berbilang jamaah yang wujud masa kini ialah “golongan-golongan” yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Kita tidak boleh mengikuti golongan-golongan atau jamaah-jamaah yang lain kecuali apa yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu golongan atau jamaah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
•    Boleh berbilang jamaah merujuk kepada tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghantar para sahabat dalam jamaah-jamaah yang berasingan, setiap satu dengan misi tertentu seperti dakwah, risikan, peperangan dan sebagainya. Perkara ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab sirah yang muktabar.

Di antara dua pandangan ini, saya cenderung kepada yang dipertengahan. Berbilang jamaah dibolehkan jika setiap satu daripadanya ditubuhkan sebagai satu sarana yang memiliki matlamat demi kebaikan agama Islam dan manusia sejagat, tanpa mengira muslim atau bukan muslim. Sekalipun wujud berbilang jamaah, setiap jamaah memiliki dasar-dasar agama yang sama seperti apa yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya, iaitu apa yang dikenali masa kini sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Jika dikaji secara mendalam ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan dalil melarang berbilang jamaah, ia sebenarnya merujuk kepada jamaah-jamaah yang setiap satunya memiliki dasar-dasar agama yang tersendiri. Ini sudah tentu tidak dibolehkan. Seterusnya jika dikaji sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, setiap jamaah yang baginda utuskan – seandainya ia dapat digelar sebagai jamaah – memiliki dasar agama yang sama. Hanya misi mereka yang berbeza antara satu sama lain.

Bahagian B: Adab-Adab Berjamaah.
Sekalipun berbilang jamaah dibolehkan, terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan oleh setiap ahli jamaah dalam semua jamaah agar masing-masing tetap berada di sempadan “yang dibolehkan”. Adab-adab yang saya maksudkan ialah:

Adab Pertama: Tidak Memiliki Dasar Agama Yang Tersendiri.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’aam 6:153]

Berdasarkan perintah Allah di atas, kita umat Islam hendaklah berada atas satu jalan agama, iaitu jalan Allah yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jalan inilah yang membentuk dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Kita tidak boleh mengikut jalan-jalan yang lain dengan dasar-dasar yang lain.

Pada masa kini terdapat beberapa jamaah yang masing-masing memiliki dasar yang tersendiri. Sekalipun dasar tersebut mungkin berasal dari Islam, ia hanya satu daripada keseluruhan dasar-dasar yang membentuk kesempurnaan Islam. Jamaah pertama hanya memiliki dasar “menegakkan negara Islam”, jamaah kedua hanya memiliki dasar “mendirikan khalifah”, jamaah ketiga hanya memiliki dasar “keluar empat puluh hari”, jamaah keempat hanya memiliki dasar “tidak mentakwil sifat-sifat Allah”, jamaah kelima hanya memiliki dasar “zikir berlagu” dan pelbagai lagi. Semua ini tidak dibolehkan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah 2:208]

Allah melarang kita mengikuti jejak langkah syaitan kerana antara tipudaya syaitan ke atas umat Islam ialah membanyakkan jalan-jalan dengan setiap jalan memiliki dasar yang tersendiri sehingga akhirnya umat Islam terpisah jauh dari jalan Allah yang sebenar:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17).

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” [al-A’raaf 7:16-17]