Article Index


Adab Keempat: Tidak Memesongkan Hadis-Hadis Berkaitan Jamaah.
Sebahagian jamaah ada yang memesongkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menyentuh perihal jamaah. Antara hadis yang dimaksudkan ialah:

فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.

Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah.
Hadis di atas dan lain-lain yang semakna lazim digunakan untuk menarik ahli-ahli baru, memaksa ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan mendakwa jamaahnya sahajalah yang benar.

Ini adalah satu kesalahan besar.

al-Jamaah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah keseluruhan umat Islam. Dalam erti kata lain, hadis-hadis di atas menerangkan kepentingan untuk umat Islam bersatu (berjamaah) dan jika ada khalifah yang hak, hendaklah kita bersatu (berjamaah) dengan khalifah tersebut.
Hadis di atas tidak bermaksud jamaah-jamaah tertentu dengan amir-amirnya. Sesiapa yang menggunakan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya yang tersendiri, sungguh dia termasuk dalam kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadis yang sudah dihafal dan diketahui oleh semua orang, Rasulullah bersabda:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ.

“Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan memasuki neraka.” 

Terdapat empat kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
1.    Orang yang mencipta sesuatu hadis lalu dia menyandarkannya kepada Rasulullah.
2.    Orang yang menyampaikan sesuatu hadis tanpa dia sendiri mengetahui sama ada ia sahih atau tidak berasal daripada Rasulullah.
3.    Orang yang mengatakan “Hadis ini sahih, Hadis itu dha’if” dan sebagainya padahal dia sendiri tidak tahu nilai darjat hadis tersebut.
4.    Orang yang menyampaikan sesuatu hadis lalu ditarik maknanya jauh daripada makna asal yang ingin disampaikan oleh Rasulullah.
Orang-orang yang menggunakan hadis-hadis jamaah seumpama di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya sendiri termasuk dalam kategori keempat di atas.

Adab Kelima: Membetulkan Tujuan Berjamaah.

Telah diterangkan sebelum ini bahawa berbilang jamaah dibolehkan jika ia sekadar satu sarana yang bermatlamat demi kebaikan agama dan manusia. Perkara ini perlu sering diingat-ingatkan kerana sering kali terjadi tujuan berjamaah berpindah arah dari kebaikan agama dan umat kepada kebaikan jamaah dan ahli sendiri.

Perkara ini boleh diukur melalui aktiviti-aktiviti jamaah itu sendiri. Syaikh Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti pernah mengulas tentang aktiviti jamaah-jamaah di Timur Tengah:

Sesungguhnya dakwah yang difahami dan diterapkan oleh majoriti kelompok (jamaah) Islam sekarang ini tidak lebih dari aktiviti sekitar anggota kelompok (jamaah) masing-masing.

…Jika anda perhatikan secara saksama, nescaya anda akan menyaksikan dinding pemisah yang tinggi yang memisahkan antara kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) yang melancarkan aktiviti gerakan seperti yang kami kemukakan sebelumnya. Pada dasarnya di antara mereka itu tidak terjadi proses dakwah, diskusi atau tukar fikiran. Justeru anda menyaksikan sebaliknya, iaitu muncul pelbagai macam kelompok dengan pelbagai macam aliran dan pemikiran yang merosak. Kemudian masing-masing kelompok (jamaah) berusaha mencari pengaruh, berlumba-lumba mendatangi perkampungan untuk menyebarluaskan pemikiran dan aliran mereka…

Semua ini terjadi pada saat para pemerhati Islam atau kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam sedang memberi tumpuan kepada kegiatan gerakan mereka yang khusus di kalangan mereka. Sehingga dengan demikian itu mereka sudah merasa senang dan puas hati, dimana dengan aktiviti gerakan itu mereka sudah merasa (seolah) berperanan sebagai seorang da’i (untuk kebaikan Islam dan umatnya).

Dengan penghuraian di atas, penulis tidaklah bermaksud merendahkan aktiviti kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, …… tetapi yang penulis maksudkan adalah bahawa aktiviti gerakan ini merupakan satu hal sedangkan dakwah ke jalan Allah merupakan satu hal lain dimana masing-masing istilah tidak dapat disamakan.

Meski pun aktiviti yang dilakukan oleh kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) tersebut adalah baik dan bermanfaat, namun demikian mereka tidak memainkan peranan yang diwajibkan, iaitu mengajak manusia ke jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

…Layak untuk kami kemukakan di sini, bahawa masyarakat Islam, sekali pun kaya dengan pelbagai aktiviti gerakan kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, namun sebenarnya sungguh miskin dalam aktiviti dalam bidang dakwah. Sejauh yang kami saksikan dari beberapa medan dakwah ke jalan Allah dan pengenalan Islam di beberapa tempat, kegiatan tersebut tidak lepas dari keadaan atau tindakan yang bersifat memenuhi kepentingan peribadi dan bukan untuk memenuhi kepentingan yang lebih besar atau memberi solusi (dalam menghadapi cabaran-cabaran Islam dan umatnya).

Tujuan berjamaah hendaklah sentiasa jelas dan nyata kepada setiap ahli. Disyorkan setiap jamaah menjadikan ayat berikut sebagai slogan:

إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ.

Aku tidak memiliki apa-apa tujuan melainkan melakukan pembaikan (untuk agama dan manusia) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali. [Hud 11:88]

Adab Keenam: Saling Menasihati dan Menegur.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [al-‘Asr 103:1-3]

Dalam konteks berjamaah, saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, yakni saling menasihati dan menegur, berlaku dalam dua sudut:
  • Di dalam jamaah, yakni sesama ahli jamaah yang saling menasihati, menegur ke arah kebenaran dan kesabaran. Perkara ini berlaku dalam semua tingkatan. Ahli biasa menegur ahli jawatankuasa, ahli muslimat menasihati ahli muslimin dan begitulah sebaliknya.Jangan pula wujud budaya kasta dalam jamaah sehingga ahli biasa tidak boleh menasihati ahli jawatankuasa dan ahli muslimat tidak boleh menegur ahli muslimin.Demikian juga, ide yang cemerlang serta pemikiran yang bernas perlu diterima secara terbuka sekali pun yang mengemukakannya ialah seorang yang baru seminggu menjadi ahli.
  • Di antara jamaah, yakni di antara pelbagai jamaah yang berbeza, hendaklah tetap saling menasihati dan menegur ke arah kebaikan dan kebenaran.Jangan pula wujud tembok pemisah yang tinggi lagi tebal di antara jamaah sehingga masing-masing tidak tegur menegur, apatah lagi untuk nasihat menasihati.