PEDOMAN-PEDOMAN BERMAZHAB DALAM ISLAM
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
{ al-Firdaus.Com }

 

 

Kata Pengantar


                               
 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Pengenalan ringkas.

Semua umat Islam bermazhab akan tetapi hanya sebilangan kecil daripada mereka yang tahu cara dan syarat bermazhab. Insya-Allah buku ini akan membahas cara-cara bermazhab, bermula dari sejarah kelahiran mazhab sehinggalah ke peranan mazhab kepada umat Islam pada zaman kematangan ilmu masa kini.

Buku ini sebenarnya merupakan edisi baru yang dikemas kini daripada edisi lama yang telah ada di pasaran sejak tahun 2000M.

 

Kepentingan Subjek “Pedoman-pedoman Bermazhab”.

Menyebut berkenaan mazhab, umumnya umat Islam terbahagi kepada 3 kelompok:  

1.      Mereka yang berkata semua umat Islam wajib bermazhab dan setiap individu Muslim wajib berpegang kepada satu mazhab sahaja.

2.      Mereka yang berkata semua umat Islam haram bermazhab. Setiap individu Muslim wajib berpegang kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja.

3.      Mereka yang berkata hukum bermazhab bergantung kepada kemampuan ilmu seseorang. Jika dia mampu merujuk secara terus kepada sumber al-Qur’an dan al-Sunnah maka dia tidak wajib bermazhab. Sebaliknya jika tidak mampu maka dia wajib bermazhab kerana peranan mazhab ialah memudahkan rujukan orang awam kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.

Kewujudan 3 kelompok ini menjadi faktor utama penulis mengusahakan buku ini. Yang benar ialah pendapat yang ketiga dan insya-Allah buku ini akan membahas dan meluaskan lagi pendapat tersebut. Pada waktu yang sama akan dijelaskan di mana salah silapnya pendapat yang pertama dan kedua.

Selain itu antara sebab penulis memberi perhatian kepada subjek mazhab ialah kerana sebahagian besar umat Islam tidak tahu apakah faktor yang menyebabkan wujudnya 4 mazhab fiqh Islam dan bagaimana seharusnya mereka berinteraksi dengannya. Hal ini mengarah kepada beberapa persoalan lain seperti:

 

1.      Jika sumber rujukan adalah satu, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah, maka kenapakah ada 4 mazhab ?

2.      Mazhab manakah yang paling benar ?

3.      Apakah yang harus dilakukan apabila hidup dan beribadah bersama umat Islam yang berlainan mazhab ?

4.      Bolehkan seseorang itu berpindah-pindah mazhab ?

5.      Bolehkan seseorang itu dalam sebahagian perkara mengikut mazhab A manakala dalam sebahagian perkara lain mengikut mazhab ?

Insya-Allah persoalan-persoalan ini dan banyak lagi yang seumpama akan dijawab di dalam buku ini.

 

Yang baru di dalam “Edisi Baru” ini.

Sepertimana yang disebut di atas, buku ini sebenarnya merupakan edisi baru yang dikemas kini daripada edisi lama yang telah ada di pasaran sejak tahun 2000M. Kemas kini yang dimaksudkan adalah:

1.      Dimasukkan teks Arab bagi ayat al-Qur’an dan Hadis. Ayat al-Qur’an resam Uthmani disalin terus (copy & paste) dari edisi cdrom al-Mushaf v1.0 keluaran Harf Information Technologies, Kaherah (www.harf.com).

2.      Dijelaskan darjat kekuatan hadis (sahih, hasan, dha‘if) serta sumber periwayatannya bagi hadis-hadis yang dikemukakan. Hadis-hadis daripada kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim adalah sahih dengan sendirinya manakala hadis-hadis daripada kitab yang lain dirujuk darjat kekuatannya kepada penilaian para ahli hadis yang diiktiraf.

3.      Beberapa penjelasan yang dirasakan tidak perlu dikeluarkan agar perbincangan bersifat lebih fokus dan memudahkan.

4.      Pada waktu yang sama beberapa penambahan dilakukan sama ada dalam bentuk dalil atau penjelasan bertujuan menambah kekuatan hujah.

5.      Kaedah penyampaian diperbaiki supaya lebih memudahkan pembacaan, kajian dan pemahaman.

 

Harapan dan Penghargaan.

 

Dipanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar buku ini dapat membawa manfaat yang besar kepada para pembaca. Dialu-alukan juga maklum balas yang sewajarnya daripada para pembaca yang budiman terhadap sebarang perbezaan pendapat, kesilapan atau ketidak-tepatan di dalam buku ini.

Pada waktu yang sama diucapkan ribuan terima kasih kepada para pembaca edisi sebelum ini yang telah memberi pelbagai maklumbalas yang membina. Terima kasih juga diucapkan kepada isteri, Maryati Mat Nasir dan rakan-rakan yang telah menyemak dan memberi kata dua kepada edisi baru ini, khasnya Mohd. Fikri Alamghiri, Mohd. Khairul Muhamed dan Mohd. Yaakub Mohd. Yunus. Semoga Allah membalas dengan apa yang lebih baik di dunia dan akhirat, amin.

 

Sekian, Assalamualaikum waRahmatullah waBarakatuh.

Hafiz Firdaus Abdullah

Ogos - November 2003

  hafizfirdaus@yahoo.com

www.al-firdaus.com

 

 

^Kembali Ke Atas

1. Sejarah Kemunculan Mazhab