PEDOMAN-PEDOMAN BERMAZHAB DALAM ISLAM
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
{ al-Firdaus.Com }

 

 

Kata Penutup

 

Islam adalah agama yang amat mementingkan persatuan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang bersatu (asas pokoknya) dan Aku-lah Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Daku. [al-Anbiya’ 21:92]

Sejak dari dulu persatuan umat merupakan antara asas terpenting syari‘at Allah sebagaimana firman-Nya:

Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu:

“Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah.” [al-Syura 42:13]

Oleh itu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada kita umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [‘Ali Imran 3:102-105]

Para imam mazhab fiqh Islam yang empat tidak sekali-kali mempunyai tujuan untuk memecah-belahkan umat Islam. Mereka hanya berusaha untuk menyampaikan ajaran agama bagi memudahkan umat Islam mencapai ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Akan tetapi atas pelbagai faktor, mazhab telah menjadi alat yang membahagikan umat kepada beberapa puak dengan tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya. Bergembira dalam erti kata mengunggulkan mazhab sendiri dan merendahkan mazhab yang lain. Termasuk dalam tindakan pengunggulan ini ialah melarang umat Islam mengkaji mazhab lain, melarang solat di belakang imam atau bersama jamaah mazhab lain dan berpindah-pindah mazhab. Semua ini adalah tindakan yang menyerupai perbuatan kaum bukan Islam dan Allah Azza wa Jalla melarang kita daripada mengikuti mereka:

Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik. Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya.  [al-Rum 30: 31-32].

Dewasa ini kita dapat perhatikan agama Kristian yang sejak berabad lamanya terbahagi kepada beberapa mazhab seperti Roman Katolik, Protestan, Anglikan dan Ortodoks mula berusaha ke arah kesatuan dengan menutup apa-apa perbezaan di antara mereka. Pelbagai seminar, perhimpunan dan persidangan dianjurkan bagi mencari kesatuan yang lebih utuh di kalangan mereka dan ini kemudiannya diterjemahkan kepada perbuatan praktikal sama ada dari sudut keagamaan atau keduniaan. Lebih kehadapan ialah tercatitnya lembaran baru antara penganut agama Kristian dan Yahudi yang selama ini terkenal bermusuhan, kini muncul bersatu dalam pelbagai urusan duniawi.

Di sebalik itu kita lihat umat Islam masih berkeras dengan pembahagian mazhab fiqh masing-masing. Sudah tiba masanya kita umat Islam sedar akan hakikat ini dan mula berfikir dalam skop yang luas. Sudah tiba masanya kita melihat Islam ini sebagai agama yang global dan umatnya sebagai umat yang satu tidak kira di penjuru benua mana kita berada. Islam bukanlah agama persendirian mengikut mazhab dan kita bukanlah berseorang dalam menganutinya. Islam adalah agama berjamaah dan kita adalah ahli dalam jamaah tersebut. Masa depan Islam terletak di tangan keseluruhan jamaah dan tiadalah sesuatu jamaah dapat bergerak melainkan setiap ahlinya bekerja dan bergerak dalam arah dan tujuan yang sama.

Kehadiran mazhab-mazhab fiqh Islam sejak dari dahulu, kini dan akan datang hanyalah sebagai medium yang memudahkan kita menjadi seorang mukmin yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Jadikan mazhab itu sebagai alat yang menyampaikan kita ke tujuan mulia ini, bukan yang menghalang kepada sesuatu yang sebaliknya.


Lain-Lain Buku oleh Hafiz Firdaus Abdullah

 

Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu
(Sebagaimana yang Diajar dan
Dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.)

Jahabersa 1999 & 2002

 

Menangani Persoalan Doa Qunut:
Dibaca atau Tidak ?

Jahabersa 1999 & 2002

 

Marilah Kita Berselawat Ke Atas Rasulullah (s.a.w.)
(Suatu Jemputan Ke Arah Berselawat Dengan Sebenar-benar Selawat dan Huraian Tentang Beberapa Salah Faham Dalam Bab Berselawat)

Jahabersa 1999 & 2002

 

Marilah Mendirikan Sembahyang

Jahabersa 2000

 

Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam (Edisi Pertama)

Jahabersa 2000

 

Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan

Jahabersa 2000

 

Solat Tarawikh:
Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa Yang Menetapkannya kepada 20 Rakaat.

Jahabersa 2000

 

20 Hujah Golongan Anti Hadis dan Jawapannya

Jahabersa 2002

 

Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah.

Jahabersa 2002

 

Kaedah Memahami Hadis-Hadis Musykil

Jahabersa 2003

 

Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah:
73 Penilaian Semula Ke Atas Penilaian
Zamihan Mat Zin al-Ghari

Jahabersa 2003

 

Apakah Jihad Di Jalan Allah ?

Buku 1:
Definisi, Kepentingan dan Kemuliaan Jihad

Jahabersa 2003

 

Apakah Jihad Di Jalan Allah ?

Buku 2:
Hukum dan Syarat-Syaratnya

Jahabersa 2004

 

Koleksi Soal Jawab Agama dan Artikel

www.al-firdaus.com

 

 

^Kembali Ke Atas