|
ISU 14 :
PEMUKA HADIS ZAMAN INI
Soalan 14:
Siapakah di antara pengkaji hadis terkemuka pada zaman ini?
Jawapan:
Berikut adalah senarai yang mengumpulkan nama beberapa orang
pengkaji hadis pada masa ini untuk pengetahuan dan
peringatan kita bersama. Semoga kita akan sama-sama membaca
buku-buku yang mereka hasilkan untuk mendapat maklumat
terkini tentang pengkajian hadis pada masa ini. Ada di
antara mereka yang telah meninggal dunia dan ada yang masih
hidup tetapi buku-buku mereka boleh didapati sehingga ke
hari ini. Senarai ini adalah sekadar pengetahuan penulis dan
bukannya senarai yang muktamad.
Para ulama hadis ini telah berusaha mempraktikkan segala
teori dalam Mustolah Hadith. Maka kajian mereka
bukanlah satu perkara yang salah atau pelik kerana mereka
tetap menggunakan kaedah dan metodologi yang sama secara
asasnya melalui teori-teori Mustolah Hadith. Maka selama
mana mereka menggunakan kaedah itu, kita boleh pastikan
adakah mereka benar-benar menggunakannya dengan tepat atau
mereka telah melakukan kesilapan dalam pengkajian mereka.
Itu dapat kita jawab sekiranya kita mula belajar meneliti
hasil kajian mereka dan berusaha menurut jejak langkah
mereka, insya ALLAH.
1- Ahmad
Muhammad Syakir. Seorang pengkaji hadis yang menjadi
kebanggaan Mesir pada sekitar tahun 40-an dan 50-an. Beliau
merupakan seorang pengkaji yang tidak mengenal penat dan
lelah dalam menyebarkan ilmu tentang kajian hadis.
Berkelulusan Ijazah Alamiyyah (Phd) dari Universiti al Azhar,
beliau turut mendapat pengiktirafan daripada barisan
kepimpinan Universiti al Azhar yang meminta beliau
menghasilkan buku dan kajian berkaitan hadis. Di antara buku
yang beliau hasilkan ialah beberapa kajian atau tahqiq
yang dilakukan ke atas buku-buku terkenal seperti Tafsir
al Thobari, Musnad Ahmad, Sahih Ibn Hibban, Jami’ al Tirmizi
dan lain-lain lagi. Maklumat lanjut tentang kehidupan
beliau dan buku-buku yang beliau hasilkan boleh didapati
dalam pendahuluan buku Sahih Ibn Hibban yang ditulis
oleh Syuaib al Arnaouth (cetakan Muassasah al Risalah) dan
juga buku yang ditulis oleh Umar Hasan al Qayyam bertajuk
Mahmud Syakir – al Rajulu wa al Manhaj (cetakan
Muassasah al Risalah). Beliau meninggal pada tahun 1958 di
Mesir.
2-
Muhammad Nasiruddin al Albani. Seorang alim hadis yang
dilahirkan di Albania dan membesar di Syria. Beliau boleh
dikatakan sebagai satu ‘icon’ dalam bidang hadis moden.
Tidak ada seorang pun yang menceburi bidang hadis akan
terlepas pandang buku-buku al Albani yang sememangnya
dikagumi berdasarkan usahanya dan pembacaannya yang meluas.
Beliau meninggal dunia di Jordan pada tahun 1999. Sepanjang
hayatnya beliau telah menghasilkan terlalu banyak buku
samada dalam bentuk tulisannya atau kajian yang beliau
lakukan terhadap buku-buku lain. Di antara bukunya yang
terkenal ialah dua buku yang amat disayangi oleh beliau
iaitu Silsilah al Ahadith al Shahihah dan Silsilah
al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah. Buku pertama
mengumpulkan hadis-hadis sahih yang beliau temui sepanjang
kajiannya dan buku kedua mengumpulkan hadis-hadis dhaif dan
palsu yang beliau temui dengan huraian yang panjang lebar.
Di antara buku-bukunya yang lain ialah kajiannya terhadap
empat buku sunan (al Tirmizi, al Nasaai, Abu Daud dan Ibn
Majah) dan dicetak dalam keadaan telah diasingkan di antara
hadis-hadis sahih dan dhaif serta palsu. Beliau pernah
dianugerahi pingat oleh negara Arab Saudi atas segala jasa
baktinya dan sumbangannya dalam bidang hadis. Untuk
mengetahui sejarahnya yang lebih lanjut serta ingin membaca
segala hasil tulisannya, bolehlah melayari laman webnya
iaitu
www.alalbany.net.
3- Syuaib
al Arnaouth yang berasal dari Albania, membesar di Syria dan
sekarang masih hidup dan menetap di Jordan. Beliau merupakan
seorang pengkaji hadis yang dianggap sebagai pewaris
generasi al Albani. Beliau telah lama berpengalaman mengkaji
hadis-hadis di dalam buku-buku yang beliau telah semak. Di
antara buku yang telah disemak oleh beliau ialah Syarhu
al Sunnah oleh al Baghawi, Sahih Ibn Hibban,
Syarh Musykil al Athar oleh al Thohawi (321H),
Siyar A’lam al Nubala’ oleh al Zahabi (748H) dan banyak
lagi. Namun hasil karya beliau yang paling terkenal ialah
kajiannya terhadap al Musnad karya Ahmad bin Hanbal.
Beliau mengetuai sekumpulan pengkaji hadis lain melakukan
semakan terhadap setiap hadis buku al Musnad (jumlahnya
lebih kurang 28,000 hadis) dan menjelaskan samada hadis itu
sahih atau tidak. Inilah kali pertama buku al Musnad
ini habis disemak kerana Ahmad Syakir yang telah mula
menyemaknya tidak sempat untuk menghabiskannya. Syuaib al
Arnaouth telah melihat segala kajian yang sempat dibuat oleh
Ahmad Syakir lalu menyempurnakannya dan melakukan pembetulan
di tempat yang sepatutnya sehinggalah buku itu siap. Buku
al Musnad telah dicetak dalam 50 jilid oleh Muassasah al
Risalah. Beliau sekarang mengetuai unit penyelidikan bagi
syarikat Muassasah al Risalah atau Risalah Publishers. Pada
tahun 2004, syarikat ini telah pun menerbitkan buku Sunan
al Daraquthni sebanyak 6 jilid dan disemak hadis-hadis
di dalamnya oleh beliau serta pengkaji-pengkaji lain. Di
antara buku yang menceritakan secara khusus tentang beliau
dan cara pemikiran serta kajian beliau ialah buku al
Muhaddith, Syuaib al Arnaouth yang dikarang oleh Ibrahim
al Kufaji dan diterbitkan oleh Dar al Basyir, Jordan.
4- Ahmad
Ibn al Shiddiq al Ghumari. Beliau merupakan seorang
ahli hadis yang terkenal dari negara Maghribi. Tiada siapa
dapat menafikan kehebatannya dalam bidang hadis berdasarkan
ketelitiannya dalam semua penulisannya. Di antara karya
beliau yang termasyhur ialah buku al Mughir yang
merupakan himpunan hadis palsu yang beliau temui dalam buku
al Jami’ al Shoghir karya al Suyuthi (911H), buku
al Hidayah Fi Takhrij Ahadith al Bidayah
dan lain-lain lagi. Beliau meninggal pada 1960M.
5- Abd.
Qadir al Arnaouth yang berasal dari Albania. Beliau
membesar dan meninggal di Syria pada tahun 2004. Beliau
tidak ada pertalian darah dengan Syuaib al Arnaouth tetapi
mereka merupakan rakan karib. Beberapa buah buku yang telah
dikaji secara bersama oleh beliau dan Syuaib al Arnaouth
adalah Zad al Ma’ad Fi Hadyi Khair al ‘Ibad karya
Ibn Qayyim al Jauziyyah, Zad al Masir karya Ibn al Jauzi
(597H), Raudhatu al Tholibin karya al Nawawi dan
lain-lain lagi. Beliau amat dikenali dengan ketegasan dan
ilmunya di Syria. Beliau amat menyanjungi hasil karya ulama
hadis lain seperti al Albani yang boleh dikatakan sebaya
dengan beliau. Pemergiannya pada 2004 yang lalu telah
ditangisi oleh tokoh-tokoh ilmuan dunia Arab yang
mengiktiraf jasanya dalam pengkajian hadis moden. Di antara
buku kajian beliau yang terkenal ialah buku Jami’ al
Ushul oleh Ibn al Athir.
6- Basyar
Awwad Ma’ruf yang merupakan seorang pensyarah sejarah Islam
di Iraq. Pernah menjawat jawatan penting semasa zaman
pemerintahan Saddam Hussein seperti Presiden Universiti
Saddam dan pensyarah di beberapa buah universiti di sana.
Merupakan rakan kepada Syuaib al Arnaouth yang lebih tua
daripada beliau. Beliau diberitakan masih hidup dan menetap
di Iraq dan semoga ALLAH melindungi beliau daripada sebarang
keburukan. Pembaca yang pernah menatap buku-buku kajiannya
seperti Tahzib al Kamal dan Tuhfat al Asyraf
oleh al Mizzi (742H), al Jami’ al Kabir oleh al
Tirmizi, Sunan Ibn Majah dan sebagainya akan dapat
melihat sejauh mana kehebatan Basyar dalam bidang riwayat
dan pengkajian periwayat. Penulis diberitahu daripada satu
sumber bahawa beliau sedang menyiapkan kajiannya terhadap
buku Mizan al I’tidal oleh al Zahabi yang merupakan antara
buku kajian periwayat hadis yang terkenal.
7- Murid-murid
al Albani yang terkenal dan masih hidup seperti – Ali al
Halabi, Hamdi Abd. Majid al Salafi, Salim Ibn Eid al Hilali
dan lain-lain lagi. Mereka juga telah menghasilkan banyak
buku serta kajian terhadap buku-buku lama sebagai bukti
mereka telah menimba pengalaman yang banyak daripada al
Albani.
8- Murid-murid
Syuaib al Arnaouth seperti – Adil Mursyid, Muhammad Naim al
Arqasusi, Hasan al Shalabi, Ibrahim al Zaibaq, Umar al
Qayyam dan yang lain-lain. Kebanyakannya masih bekerja
bersama Syuaib al Arnaouth di Muassasah al Risalah dan masih
melakukan kajian di bawah pengawasan beliau.
9- Beberapa
orang ulama hadis terkenal dari India seperti –
Habiburrahman al A’zhumi, Mushtofa al Nadwi dan beberapa
orang lagi.
10-Ahli
hadis dari Maghribi seperti – Abdullah at Talidi yang
merupakan antara anak murid utama bagi Ahmad Bin al Shiddiq
al Ghumari. Di antara karyanya yang pernah saya temui ialah
kajiannya terhadap buku al Khoshoish al Nabawiyyah
al Kubra karya al Suyuthi.
11-Beberapa
orang pengkaji hadis dari Arab Saudi – Abd. Muhsin al Abbad,
Said al Qahthani, Khaldun al Ahdab.
12-Abd.
Fattah Abu Ghuddah yang dilahirkan di Syria dan meninggal di
Arab Saudi pada tahun 1996. Beliau banyak menghasilkan
kajian-kajian ilmiah terhadap buku-buku dalam bidang hadis
seperti buku-buku karya Abdul Hayyei al Laknawi yang
merupakan salah seorang ulama hadis dari India dan beberapa
buah buku yang lain.
13-Ulama-ulama
lain seperti Husain al Asad, Abd. Rahman Ibn Abd. Khaliq,
Mahmud Said Mamduh, Abdullah al Zuqail, Usamah al Utaibi,
Mahir Yasin Fahl dan lain-lain lagi.
Kesemua mereka ini adalah pengkaji hadis pada zaman ini yang
terkenal dan memang diiktiraf oleh dunia Islam berdasarkan
buku-buku bermanfaat yang telah mereka hasilkan. Kajian
mereka tidak semestinya seratus peratus tepat tetapi mereka
telah berusaha untuk mengkaji berdasarkan kemampuan
masing-masing. Inilah yang kita perlu manfaatkan iaitu
dengan mengkaji segala kajian mereka. Walaupun antara
mereka ada yang telah meninggal dunia, namun hasil karya
yang mereka tinggalkan amat banyak.
|