|
ISU 4 : KELEBIHAN DARI
ILMU HADIS
Soalan 4:
Apakah kelebihan bagi mereka yang
mempelajari hadis dan ilmu-ilmu berkaitan dengannya?
Jawapan:
Ya, memang terdapat beberapa kelebihan, di antaranya:
Pertama:
Rasulullah SAW telah mendoakan secara khusus kepada mereka
yang mempelajari hadis baginda SAW dengan sabdanya:
Maksudnya:
Semoga
ALLAH memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar
hadis daripadaku lalu menghafaznya sehingga dia
menyampaikannya kepada orang lain.
Kedua:
al Syafie pernah menyebut:
Kamu
semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari
hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat
amalannya dalam kalangan manusia.
Ketiga:
Menurut salah seorang pengkaji hadis pada masa ini, Abd.
Salam Allush:
Tidak ada
ilmu yang lebih bermanfaat - selain berkaitan Al Quran -
daripada mempelajari hadis. Sesungguhnya di dalam hadis itu
terdapat tauhid, asas-asasnya, sifat-sifat ALLAH dan
jenis-jenisnya, nama-nama ALLAH dan maknanya, jawapan
terhadap dakwaan para mulhid (atheis), kisah-kisah umat
terdahulu, cerita orang-orang zuhud, peringatan daripada
para Nabi terdahulu, mukjizat bagi ahli bahasa, sumber bagi
ahli fiqh, peristiwa-peristiwa dan peperangan Baginda,
hukum-hakam yang Baginda SAW putuskan, maklumat tentang
isteri-isterinya, anak-anaknya, keluarganya dan para
sahabatnya, kisah hidup mereka (para sahabat),
kelebihan-kelebihan mereka, umur mereka, keturunan mereka,
keadaan serta kata-kata mereka, mazhab dan fatwa-fatwa
mereka.
Keempat:
Mempelajari serba sedikit tentang ilmu pengkajian hadis
dapat membantu seseorang untuk membezakan di antara
hadis-hadis yang sahih daripada yang palsu.
Kelima:
Menurut Mohd Asri B. Zainul Abidin:
Mengetahui sedikit sebanyak disiplin ilmu hadith membantu
kita mendekati dan memahami hadith. Orang awam juga sangat
penting mendekati ilmu ini. Sesetengah golongan yang
menyandarkan diri kepada agama kadang-kadang tidak
bertanggungjawab terhadap hadith-hadith Nabi SAW. Kadangkala
mereka membaca hadith yang palsu, atau membuat huraian yang
salah terhadap hadith. Orang awam yang tidak mempunyai
asas-asas pengetahuan dalam ilmu hadith akan mudah percaya
dan terpedaya. Jika mereka dibekalkan dengan ilmu hadith ini,
mereka mungkin akan berfikir semula atas sesuatu perkara
berkaitan hadith yang dinyatakan, atau mungkin boleh menyoal
kembali kenyataan yang dibuat.
Keenam:
Mempelajari hadis akan menjadikan kita memahami bagaimana Al
Quran ingin diterapkan dan diamalkan di dalam kehidupan.
Seluruh kehidupan Rasulullah SAW adalah merupakan terjemahan
serta huraian kepada isi kandungan Al Quran. Oleh itu mereka
yang ingin menjadikan diri mereka sebagai golongan yang
mempraktikkan isi Al Quran hendaklah mempelajari dan
mengamalkan hadis-hadis Rasulullah SAW. Isteri Rasulullah
SAW, Aisyah pernah berkata:
Maksudnya:
Sesungguhnya akhlak Nabi ALLAH SAW adalah Al Quran.
Ketujuh:
Dengan mempelajari hadis, kita akan dapat
mengetahui bagaimanakah Rasulullah SAW beribadah lalu kita
dapat mencontohi Baginda SAW. Kita yakin bahawa ibadah yang
dilakukan Baginda SAW itulah yang terbaik dan berpeluang
untuk diterima di sisi ALLAH.

|