Soalan 20:
Apakah contoh-contoh hadis dhaif dan palsu yang telah
tersebar dalam masyarakat?
Jawapan:
Berikut saya senaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang
popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang
popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu.
Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan
meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu
dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini
bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan
ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada
hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku
para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan
untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi
penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan
teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.
Di
samping itu saya juga selitkan sedikit ulasan bagi
menjelaskan maksud hadis tersebut dan juga membincangkan
adakah maksud hadis boleh diterima dan disokong oleh
dalil-dalil daripada Al Quran atau hadis sahih. Walau
bagaimana baik maksud sesuatu hadis yang dhaif atau
palsu, hadis tersebut tetap tidak boleh dinyatakan atau
‘diiklankan’ sebagai ‘hadis sahih’ atau sebagai ‘sabda
Nabi SAW’. Hadis tersebut mungkin boleh dianggap sebagai
kata-kata hikmah atau nasihat yang baik sekiranya
maksudnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Pembaca akan dapat melihat apa yang saya maksudkan dalam
huraian setiap hadis.
Pertama:
Maksudnya: Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri
China.
Kedudukan Hadis:
Ini
adalah hadis palsu.
Hadis
ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di
dalam buku al Maudhu’at.
Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran
Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri
Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang
hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis
seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H),
al Iraqi,
Ibn
Hibban
dan Muhammad Nasiruddin al Albani.
Ulasan:
Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa
Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang
mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada
hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil
serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan
hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta
kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat
Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu
contohnya:
Maksudnya : ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang
yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa
darjat.
Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan
ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:
Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah
menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke
syurga.
Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas
setiap muslim
.
Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah
kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin
saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis
palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia
ada dalam Islam sama ada di dalam Al Quran atau
hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini
boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau
hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita
menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam.
Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis.
Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum
menggunakannya sebagai dalil atau hujah.
Kedua:
Maksudnya:
Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad
Kedudukan Hadis:
Hadis
ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi,
walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu
adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW.
Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi
SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini, Abd. Fattah
Abu Ghuddah.
Ulasan:
Seperti yang telah disebutkan dalam komen saya terhadap
hadis pertama, terdapat banyak dalil dalam Al Quran dan
hadis-hadis yang sahih yang menyuruh dan menggalakkan
umat Islam menuntut ilmu. Dalil-dalil itu sudah
mencukupi dan kita tidak perlu lagi menggunakan
hadis-hadis palsu yang direka. Penggunaan hadis-hadis
palsu adalah salah walaupun dengan niat yang baik.
Wujudnya segolongan pendakwah atau penceramah yang tidak
mendalami bidang hadis telah menyebabkan ramai pendengar
yang terkeliru dengan hadis-hadis yang tidak sahih
tetapi disangkanya sahih. Bahkan disangkanya hadis ini
menjadi kaedah utama dalam agama Islam sehingga dia
terlupa dalil yang sudah sedia ada dalam Al Quran dan
hadis-hadis sahih. Pendakwah atau penceramah selalunya
mencari jalan singkat untuk mengumpulkan bahan
ceramahnya lalu mereka menggunakan buku-buku berbentuk
akhlak atau buku cerita yang kadangkala tidak
memperdulikan kesahihan fakta yang dimuatkan di dalamnya.
Ada yang mengambil hadis-hadis daripada buku al Ghazali
iaitu Ihya’ Ulumiddin yang sememangnya
mengandungi banyak hadis dhaif dan palsu. al Iraqi telah
berusaha untuk menyemak kembali hadis-hadis di dalam
buku Ihya’ Ulumiddin dan mengkaji kesahihannya
atau kedhaifannya. Segala kajian al Iraqi itu beliau
muatkan di dalam bukunya berjudul al Mughni ‘An Hamli
al Asfar dan jika kita membaca kajian beliau, kita
akan dapati terlalu banyak hadis yang tidak sahih ada
dalam buku al Ghazali itu.
Kepada pembaca buku Ihya’ Ulumiddin, saya
nasihatkan supaya mereka melihat kajian al Iraqi dan
memastikan adakah hadis itu sahih atau tidak. Terdapat
beberapa versi buku Ihya’ Ulumiddin yang dicetak
bersama dengan kajian al Iraqi sebagai nota kaki. Tidak
ada sesiapa yang menyalahkan al Ghazali kerana
kesilapannya dalam buku Ihya’ Ulumiddin kerana al
Ghazali adalah manusia biasa yang tidak terlepas
daripada kesilapan. Beliau berkemungkinan besar tidak
tahu bahawa sesuatu hadis itu palsu lalu menyebutnya
dalam Ihya’ Ulumiddin. Tetapi kita sebagai
pembaca pada zaman ini perlulah mengelak dari
menggunakan hadis-hadis palsu dalam Ihya’ Ulumiddin
kerana kita telah pun tahu tentang kepalsuannya
berdasarkan kajian al Iraqi serta ulama lain. Kita
menghormati al Ghazali tetapi kita tidak akan mengulangi
kesilapan yang beliau telah lakukan iaitu tersalah dalam
menyebut hadis-hadis palsu yang disangka beliau sebagai
sahih.
Ketiga:
Maksudnya:
Tidur
selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.
Kedudukan Hadis:
Hadis
ini adalah hadis palsu.
Hadis
ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad
al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd.
Fattah Abu Ghuddah.
Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini
sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami,
Ahmad Syakir,
Muhammad Nasiruddin al Albani
dan Syuaib al Arnaouth.
Ulasan:
Tiada
tegahan dan tiada pula suruhan ke arah perkara ini.
Perkara ini dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan
keperluan. Sedangkan sesiapa sahaja yang ingin mencari
hadis ini pasti akan menemui bahawa para ulama hadis
yang terkenal telah mengkritik hadis ini sekaligus
menjadikannya hadis yang tidak sahih. Ada pula yang
berhujah bahawa logik akal menyokong hadis ini kerana
orang yang bekerja akan lewat ke tempat kerja dan tidak
dapat menjalankan tugas sekiranya tidur selepas subuh.
Mereka seolah-olah lupa bahawa ada juga masyarakat kita
yang bekerja pada waktu petang dan malam. Adakah mereka
tidak dapat menjalankan tugas jika tidur selepas subuh?
Persoalan rezeki ini adalah persoalan besar dan untuk
menyatakan sesuatu perkara itu menghalang rezeki, kita
memerlukan hujah dan dalil yang kuat daripada Al Quran
atau hadis sahih. Terdapat beberapa perkara lagi yang
dikatakan menghalang rezeki seperti minum daripada gelas
sumbing, menjahit baju di badan sendiri dan lain-lain
lagi tetapi semuanya tidak mempunyai dalil atau hujah
daripada Al Quran atau hadis sahih.
Keempat:
Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah
ثعلبة yang
tidak membayar zakat.
Kedudukan Hadis:
Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di
dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul
karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii.
Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik
daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji
hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan
asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang
sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui
bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam
buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil,
kisah Sa’labah yang tidak membayar zakat ditolak
kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu
Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul)
, Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan
Fath al Bari), al Haithami (Majma’ al Zawaaid),
al Zahabi (Tajrid Asma’ al Sahabah), al Munawi (Faidh
al Qadir) dan al Iraqi (al Mughni –
takhrij Ihya’ Ulumiddin). Di dalam sanad
hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai
dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.
Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat
riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang
menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan
seorang sahabat bernama Sa’labah bin Abi Hathib dan
bukan Sa’labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak
sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat
yang tidak diterima.
Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir,
Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang
membuktikan bahawa kisah Sa’labah ini adalah kisah yang
tidak benar. Hujah-hujah untuk mendhaifkan hadis ini
disebut dalam salah satu ceramah beliau dan boleh
didengari dari laman web
www.islamway.com.
Kisah
ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi
dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al
Nabawiyyah,
Al Iraqi
dan Muhammad Nasiruddin al Albani.
Ulasan:
Boleh
dikatakan semua ulama tafsir dan hadis yang terkenal
telah mendhaifkan hadis ini. Tidak ada seorang ulama pun
yang mengatakan kisah ini benar. Sayangnya hadis ini
amat popular terutama dalam kalangan yang ingin mengajak
masyarakat supaya membayar zakat serta tidak melengahkan
pembayarannya. Kisahnya berkisar tentang seorang sahabat
Nabi SAW yang bernama Sa’labah bin Hathib yang pada
asalnya miskin. Namun setelah didoakan oleh Nabi SAW,
dia telah menjadi kaya raya. Kekayaannya menjadikannya
sombong dan enggan menunaikan zakat. Akhirnya beliau
tidak diterima taubatnya oleh Rasulullah SAW kerana
turunnya ayat daripada surah at Taubah. Selepas baginda
wafat, para khalifah tidak ingin menerima zakat yang
ingin diberikan oleh Sa’labah. Kisah ini adalah kisah
yang tidak benar.
Azab siksa yang dijanjikan kepada mereka yang tidak
membayar zakat telah ada disebutkan di dalam nas-nas
yang sahih iaitu Al Quran dan hadis sahih. Oleh sebab
itu kita melihat dalam sejarah Islam berlakunya
peperangan yang dipimpin oleh khalifah pertama Islam ,
Abu Bakr al Siddiq menentang golongan yang tidak mahu
membayar zakat.
Kelima:
Maksudnya: Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu
hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan
dirinya sendiri.
Kedudukan Hadis:
Hadis
ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan
oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith
al Dhaifah.
Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah
didhaifkan oleh al Haithami.
Ulasan:
Setahu penulis, tidur selepas Asar belum dibuktikan
kemudharatannya dari segi perubatan. Kalaulah sekiranya
dapat dibuktikan dari segi perubatan bahawa perbuatan
ini memberikan kesan kepada akal manusia, maka kita akan
menyatakan bahawa ia dilarang berhujahkan kenyataan dari
aspek perubatan tersebut dan bukannya berhujahkan hadis
yang tidak sahih ini. Hadis dhaif dan palsu tetap tidak
boleh dijadikan hujah atau dalil untuk melarang sesuatu
perkara yang asalnya tidak dilarang.
Terdapat satu kisah berkaitan persoalan tidur selepas
waktu Asar. Seorang imam fiqh dan hadis yang masyhur, al
Laith bin Saad (175H) pernah ditegur oleh salah seorang
rakannya kerana beliau mendapati al Laith tidur selepas
Asar pada bulan Ramadhan. Rakannya itu membacakan hadis
yang telah disebutkan di atas tadi (riwayat Ibnu Adi
dalam buku al Kamil) sebagai hujah untuk menegur al
Laith. Apabila al Laith mendengar sanad hadis itu dibaca,
maka beliau telah mengesan satu kecacatan dalam hadis
tersebut iaitu terdapat periwayat bernama Abdullah bin
Lahi’ah yang meriwayatkan hadis itu daripada periwayat
bernama Aqil. Al Laith lalu berkata: “Aku tidak akan
meninggalkan perkara yang bermanfaat kepada diriku ini (tidur
selepas Asar) hanya kerana hadis yang diambil dari jalan
Ibnu Lahi’ah dari Aqil”.
Maksud al Laith ialah beliau tidak akan meninggalkan
tidur selepas Asar yang bermanfaat baginya hanya kerana
satu hadis yang tidak sahih.
Keenam:
Maksudnya: Kebersihan itu separuh daripada iman.
Kedudukan Hadis:
Hadis
ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif
jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi
dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani
dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu
menyeru kepada keimanan”.
Ulasan:
Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari
tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan
hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan.
Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa
“Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu
berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak
sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan
ajaran Islam.
Terdapat satu perkara yang menarik yang saya pernah
temui iaitu satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim
dalam Sahih Muslim
dengan lafaz:
الطهور شطر الإيمان
yang diterjemahkan dengan maksud: “Kebersihan itu
sebahagian daripada iman”. Terjemahan sebegini saya
temui di dalam salah sebuah majalah yang pernah saya
baca. Sedangkan maksud hadis itu yang sebenar menurut
kata para pengkaji hadis dalam buku-buku mereka ialah:
“Bersuci dari hadas adalah separuh daripada solat”.
Terdapat perselisihan pendapat tentang maksud hadis ini
dalam buku Jami’ al Ulum wa al Hikam karya Ibnu
Rejab al Hanbali (795H). Ibnu Rajab telah membincangkan
maksud sebenar perkataanالطهور
dan
perkataan
الإيمان
dengan membawa banyak pendapat para ulama. Kesimpulan
yang diambil oleh Ibnu Rajab ialah perkataan
الطهور
membawa maksud ‘bersuci daripada hadas’ dan maksudالإيمان
pula
ialah ‘solat’.
Maksud hadis ini betul, namun hakikat ini tidak bermakna
kata-kata tersebut telah benar-benar diucapkan oleh
Rasulullah SAW. Kita mesti berhati-hati dalam menyebut
sesuatu berkaitan Rasulullah SAW.
Ketujuh:
Maksudnya: Perselisihan dalam umatku adalah rahmat.
Kedudukan Hadis:
Hadis
ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis
sebagai tidak ada asalnya. Perkataan ini bermaksud tidak
ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah
pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana
dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al
Ahadith al Dhaifah.
Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini.
Ulasan:
Hadis
ini telah menyatakan bahawa menjadi satu rahmat bagi
kita jika kita berselisih pendapat. Ini adalah pandangan
yang perlu diteliti dengan mendalam kerana kita amat
yakin bahawa perselisihan selalunya membawa kepada
perpecahan. Ibn Hazm dalam bukunya al Ihkam Fi Usul
al Ahkam telah menyatakan bahawa jika sekiranya
perselisihan itu rahmat, maka sudah pasti permuafakatan
pula akan menjadi satu perkara yang tidak dirahmati. Ini
adalah pendapat yang tidak benar sama sekali.
Ada sesetengah penulis yang menafsirkan perselisihan
dalam hadis ini dengan maksud perselisihan dalam bidang
fiqh dan bukan perselisihan dalam bidang aqidah.
Tafsiran sebegini adalah tepat tetapi pada pandangan
penulis, kita tidak perlu membuat tafsiran sebegini
kerana hadis ini bukanlah hadis yang sahih. Tafsiran
sebegini diperlukan sekiranya hadis ini sahih dan kita
tidak dapat memahami maksudnya. Ada pun sekiranya
sesuatu hadis itu tidak sahih, tidak perlulah kita
bersusah payah hendak memahaminya. Tumpukan usaha kita
kepada hadis yang sahih sahaja. Wallahu a’lam.
Kelapan:
Maksudnya: Sabar itu separuh daripada iman
Kedudukan Hadis:
Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata
sahabat dan bukan hadis Nabi SAW.
Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah
al Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumiddin. Menurut
al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya’ Ulumiddin,
hadis tersebut adalah dhaif.
Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai
sangat dhaif.
Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini
mauquf (kata-kata sahabat).
Ulasan:
Memandangkan bahawa kata-kata ini adalah kata-kata
sahabat dan melihat kepada maksudnya yang tidak
menyalahi mana-mana asas dalam Islam, maka boleh
diucapkan dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang
perlu ialah menyatakannya sebagai kata-kata sahabat atau
kata-kata hikmah dengan tidak menyatakannya sebagai
hadis Nabi SAW. Kita juga mesti mengutamakan ayat-ayat
Al Quran yang menceritakan perihal kesabaran dan
kepentingannya seperti ayat-ayat di dalam surah Luqman
yang menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang
antara lainnya mengandungi nasihat supaya bersabar di
atas segala ujian yang menimpa diri. Begitu juga dengan
hadis-hadis sahih yang menceritakan soal kesabaran dan
pahala orang-orang yang sabar. Itu mesti didahulukan
daripada kata-kata hikmah atau kata-kata sahabat agar
masyarakat sentiasa memahami kewajipan mendahulukan Al
Quran dan hadis sahih dalam kehidupan.
Kesembilan:
Maksudnya: Kita telah pulang dari jihad yang kecil (
peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih
besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad
yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang
hawa nafsu.
Kedudukan Hadis:
Hadis
ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al
Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam
buku Jami’ al ‘Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab
al Hanbali.Beliau
telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang
menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang
ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin ‘Ablah.
Menurut al Albani dalam Silsilah al Ahadith al
Dhaifah: Munkar. Al Albani telah menukilkan
kata-kata Ibnu Taimiyyah (728H) dalam Majmu’ al
Fatawa:
Tidak
ada asalnya (hadis tersebut) dan tidak diriwayatkan
oleh pakar-pakar yang mengetahui tentang kata-kata Nabi
SAW dan perbuatan baginda. Dan memerangi orang-orang
kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan
merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh
seseorang manusia.
Ulasan:
Hadis ini boleh menyebabkan sebahagian umat Islam
tersalah anggap lantas memperkecilkan kefardhuan jihad
dan keagungan pahala mereka yang berjihad sebagaimana
yang telah disebutkan di dalam Al Quran dan hadis-hadis
sahih. Hadis ini sering digunakan oleh mereka yang
bercakap atas nama kesufian untuk menunjukkan betapa
pentingnya jihad melawan kehendak hawa nafsu. Tiada
siapa yang menafikan perlunya kita melawan nafsu yang
ingin mengajak ke arah maksiat dan sudah sedia ada di
dalam hadis-hadis sahih tentang kepentingan mujahadah
menentang kehendak nafsu ini seperti hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Orang yang berjihad ialah yang berjuang
menentang kehendak dirinya (yang buruk).
Tetapi hadis ini tidaklah sampai bermaksud seperti yang
digambarkan oleh hadis palsu tadi sehingga ke tahap
menjadikan peperangan itu kecil dan melawan nafsu lebih
besar mengatasi segalanya. Firman ALLAH:
Maksudnya : Orang-orang yang beriman, berhijrah dan
berjihad pada jalan ALLAH dengan diri mereka sendiri
dan harta mereka lebih besar pahalanya (dari orang yang
hanya memberikan harta dan tidak pergi ke medan
peperangan) di sisi ALLAH dan itulah orang-orang yang
berjaya.
Di dalam Islam terdapat pelbagai jenis jihad dan di
antaranya ialah jihad peperangan mempertahankan Islam
daripada musuh, jihad dalam menuntut ilmu, jihad
membangunkan ekonomi, jihad menentang hawa nafsu yang
menjurus ke arah maksiat dan lain-lain lagi. Namun
begitu, hadis yang disebutkan tadi adalah dhaif atau
lebih rendah kedudukannya dan kita dilarang menggunakan
hadis sedemikian dalam menyatakan sesuatu hukum. Marilah
kita menggunakan hadis-hadis sahih dalam menentukan
sesuatu perkara atau hukum. Inilah perkara yang telah
disarankan oleh para ulama sejak dahulu hingga kini.
Kesepuluh:
Maksudnya: Berbual
di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan
rumput.
Kedudukan Hadis:
Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah
palsu. Hadis ini disebut di dalam buku-buku seperti
Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali. Al Iraqi telah
memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata
beliau: “Aku tidak menemui asalnya”.
Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam
bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah.
Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis
ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar
al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah.
Ulasan:
Hadis
ini secara zahirnya seolah-olah melarang kita daripada
berbual atau berbincang di masjid. Sedangkan di dalam
hadis-hadis yang sahih, kita dapati Rasulullah SAW
seringkali berbincang dan berbual dengan para sahabat di
dalam masjid. Bahkan lebih dari itu, sekumpulan orang
Islam dari Habsyah telah bermain di dalam Masjid Nabawi
dengan permainan pisau. Permainan tersebut bertujuan
mengisi masa lapang dan juga melatih kemahiran
bersenjata. Maka Rasulullah SAW dan isterinya Aisyah
bersama-sama melihat kepakaran orang-orang Habsyah
bermain senjata dan tidak melarangnya.
Masjid merupakan tempat untuk kita berbincang, menuntut
ilmu, merancang perkara-perkara kebaikan dan juga
bertegur sapa serta beramah mesra. Inilah yang berlaku
pada zaman Rasulullah SAW dan ia berlainan dengan apa
yang disebutkan oleh hadis yang tidak sahih ini.
Seharusnya masjid berperanan seperti zaman Rasulullah
SAW bagi memastikan umat Islam terus maju dan berjaya
seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.
