Article Index


Kepentingan Ilmu Tasawuf.

Setiap manusia memiliki lima unsur yang penting di dalam dirinya. Lima unsur tersebut adalah (1) Ruh, (2) Qalbu atau hati, (3) Hawa nafsu atau Syahwat, (4) Jasad dan (5) Anggota Badan. Peranan kelima-lima unsur ini boleh diumpamakan sebagai sebuah kerajaan di mana Ruh adalah Sultannya, Qalbu adalah singgahsananya, Hawa Nafsu adalah musuh dalaman, Jasad adalah wilayah kekuasaannya dan Anggota Badan adalah rakyatnya.

Di antara lima unsur ini, sentiasa wujud persaingan antara Ruh sebagai Sultan yang ingin memerintah dengan adil dan Hawa Nafsu sebagai musuh dalaman umpama “duri dalam daging” yang berusaha untuk menzalimi rakyat, malah berhasrat menghancurkan wilayah kekuasaan dan pemerintahan Sultan.

Oleh kerana itu Sultan hendaklah sentiasa berwaspada terhadap perancangan Musuh dan memerhatikan gerak gerinya. Sultan perlu memantau apa-apa tindakan musuh yang akan menzalimi rakyat, apatah lagi jika musuh bertindak ganas untuk menghancurkan wilayah kekuasaannya dan merebut tahta pemerintahannya. Jika tidak rakyat akan ditindas, wilayah akan dijajah oleh musuh luar sementara musuh bermaharajalela membuat kezaliman. Selain daripada itu, Sultan juga sentiasa perlu meningkatkan kecemerlangan dirinya sebagai seorang pemerintah. Dia sentiasa perlu meluaskan ilmunya, meningkatkan iman dan taqwanya, memperbaiki ciri-ciri kepimpinannya ke atas wilayah dan rakyat seperti memiliki wawasan untuk mencapai sesuatu yang jauh lebih baik dan besar pada masa akan datang.

Sebagaimana perumpamaan kerajaan di atas, demikianlah juga peranan unsur-unsur Ruh, Qalbu, Hawa Nafsu, Jasad dan Anggota Badan. Aktiviti Ruh ke atas Hawa Nafsu dinamakan Mujahadah manakala aktiviti Ruh untuk mencemerlangkan dirinya dinamakan Tazkiyat al-Nafs. Ruh sentiasa bermujahadah ke atas Hawa Nafsu supaya dengan itu Hawa Nafsu tidak mengganggu atau mempengaruhi Jasad dan Anggota Badan dengan perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh syari‘at. Ruh juga bermujahadah ke atas Hawa Nafsu agar dengan itu Qalbu tidak diusik oleh Hawa Nafsu dengan sifat-sifat yang tercela. Pada waktu yang sama Ruh sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangannya sendiri agar ia dihiasi dengan sifat-sifat mulia. Sifat-sifat mulia ini kemudian akan terpancar keluar hingga memberi pengaruh kepada Qalbu, Jasad dan Anggota Badan.

Ilmu Tasawuf berperanan membantu Ruh untuk melakukan Mujahadah ke atas Hawa Nafsu dan pada waktu yang membantu meningkatkan lagi kecemerlangan Ruh itu sendiri. Tujuannya tidak lain supaya Ruh dan segala yang dipimpinnya berjaya menjadi manusia yang mulia di sisi Allah dan mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

Di sini perlu ditekankan bahawa untuk merealisasikan tujuan di atas, ilmu tasawuf tidak berperanan secara tersendiri atau berasingan. Ia bergandingan bahu dengan lain-lain ilmu syari‘at Islam seperti aqidah yang tulen di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan amal yang ikhlas lagi benar di sisi al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Setiap tokoh dan penuntut tasawuf yang berada di atas jalan yang benar tidak sekali-kali akan memisahkan ilmu tasawuf daripada lain-lain ilmu syari‘at.

Pada waktu yang sama, setiap individu Muslim yang berada di atas jalan yang benar tidak boleh mengasingkan ilmu tasawuf daripada dirinya. Pengasingan daripada ilmu tasawuf akan menyebabkan diri seseorang itu terserlah dengan sifat yang tercela seperti riya’, ujub, hasad, membazir, bakhil, malas, tidak berdisiplin, berburuk sangka dan pelbagai lagi sekalipun dia beriman kepada Allah dan mendirikan solat.

Malah pengasingan ilmu tasawuf akan menyebabkan dia terhindar dari sifat-sifat mulia seperti al-Tawabah (sentiasa beristighfar dan bertaubat), al-Zuhd (membebaskan hati daripada mencintai dunia), al-Shabr (sabar), al-Syukr (berterima kasih), al-Ridha (rela terhadap Allah), al-Khauf (takut kepada Allah), al-Haya’ (malu kepada Allah), al-Raja’ (mengharapkan pertemuan dengan Allah), al-Faqr (berhajat kepada Allah), al-Tawakkul (berserah kepada Allah) dan al-Mahabbah (cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah). Kesemua sifat yang mulia ini digaris dan dituntut oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih manakala ilmu tasawuf hanya berperanan membantu umat Islam untuk mencapainya. Di sinilah letaknya kepentingan ilmu tasawuf.