Article Index


[5] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Syathahat al-Shufiyyah.

Antara perkara yang menyebabkan para tokoh tasawuf dikritik ialah munculnya ungkapan-ungkapan yang pelik lagi memusykilkan daripada lisan mereka. Ungkapan-ungkapan ini disebut sebagai al-Syathahat (الشطحات).

Di sisi Ibn Taimiyyah, ungkapan-ungkapan tersebut tidak membawa apa-apa hukuman melainkan diperhatikan terlebih dahulu keadaan orang yang mengungkapkannya. Jika yang mengungkapkannya sedang tenggelam dalam kemabukan (السكر) Illahi dan kemusnahan (الفناء) kesaksian, dia dimaafkan kerana berkata-kata dalam keadaan tidak sedarkan diri. Jika diungkapkan dalam keadaan sedar, maka mungkin ia merupakan kelemahan tokoh tersebut untuk mengungkapkan kebaikan yang dia kehendaki atau mungkin tersilap dalam berijtihad antara yang hak dan batil.

Akan tetapi pada waktu yang sama ungkapan tersebut tidak boleh dijadikan hujah atau sumber ikutan bagi yang mendengarnya selagi mana ia tidak selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Beliau menulis:[28]

(Apa) yang lahir daripada (orang tasawuf) seumpama hal-hal ini (ungkapan-ungkapan), sesungguhnya ada yang dimaafkan kerana kelemahan dalam berijtihad atau sebetulnya pemikirannya pada saat itu tidak hadir. Namun orang yang mengikutinya tidak dimaafkan sebab kebenaran dan jalan (yang lurus) sudah tersangat jelas. Pada waktu yang sama, sekalipun keburukan-keburukan (orang yang mengeluarkan ungkapan tersebut) dimaafkan kerana disertai niat baik dan amal salih, menjelaskan antara yang terpuji dan yang tercela (daripada ungkapan tersebut) tetap diwajibkan supaya tidak bercampur aduk antara yang hak dan batil.

(Sebagai contoh) Abu al-Husain al-Nuri (290H) dan Abu Bakar al-Syibli (334H)  – semoga Allah merahmati mereka berdua – adalah dua orang yang dikenali dengan pemikiran yang tidak hadir dalam diri mereka pada beberapa waktu sehingga al-Syibli pernah dibawa ke rumah sakit mental (مارستان) sebanyak dua kali. Manakala al-Nuri, semoga Allah merahmatinya, dia meninggal dunia di dalam hutan ketika dikalahkan oleh cinta yang disertai kerinduannya kepada tuhan sehingga hilang daya pemikirannya.

    Sesiapa yang mengalami hal seperti itu, maka dia tidak boleh diikuti pada saat keadaannya seperti itu selagi mana ia tidak sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Dia dimaafkan dan diampunkan. Namun sekalipun dia memiliki keimanan, kesalihan, kejujuran dan kedudukan yang terpuji, tidaklah dia daripada kalangan orang yang besar – dia tidak lebih besar daripada orang-orang terdahulu daripada kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka (Muhajirin dan Ansar) dalam kebaikan.

    Sesungguhnya mereka mengikuti (teladan Muhajirin dan Ansar) dengan ketaatan dan tidak berkata-kata kecuali yang indah dan baik. Tidak keluar daripada mereka perkataan yang (bersifat) dosa dan (memerlukan) takwil (seumpama syathahat tersebut) kerana ia tidak termasuk perintah Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah mengikutinya.

Di lembaran yang lain Ibn Taimiyyah menambah:[29]

Hal ini, sepertimana keadaan kejiwaan kebanyakan orang salih, orang jujur dan orang yang memiliki pelbagai ahwal dan maqamat, salah seorang daripada mereka memiliki kecintaan yang benar dan intiuisi yang lurus akan tetapi dia tidak mampu untuk menyusun ungkapan yang menjelaskan maksudnya. Oleh kerana itu, dalam ungkapannya terjadi kesalahan dan keburukan padahal maksudnya adalah benar.

Salah seorang anak murid yang utama kepada Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H) memiliki penjelasan tambahan yang baik terhadap persoalan ini. Beliau menulis:[30]

Ketahuilah dalam lisan kaum tasawuf terdapat banyak metafora (di mana) ada ungkapan yang bersifat umum tetapi yang dimaksudkan adalah khusus dan ungkapan yang bersifat lafaz tetapi yang dikehendaki adalah isyaratnya dan bukan makna hakikinya. Lisan kaum tasawuf tidak dimiliki oleh apa-apa aliran selain mereka. Kerana itu mereka berkata: “Kami adalah pemilik ungkapan bukan perkataan” atau “Ungkapan adalah bagi kami manakala perkataan adalah bagi selain kami”

Mereka (para tokoh tasawuf) adakalanya mengatakan satu ungkapan yang diungkap oleh kaum atheis. Akan tetapi yang dikehendaki oleh mereka dengan ungkapan tersebut ialah makna (tertentu) yang bukan merupakan satu kerosakan. Akan tetapi ini menyebabkan timbulnya fitnah di antara dua kelompok, (yang pertama) adalah kelompok yang mengambil zahir ungkapan tersebut lalu menghukum orang yang mengungkapnya sebagai bid‘ah dan sesat. (Kelompok kedua) adalah mereka yang memerhatikan maksud dan tujuan ungkapan tersebut lalu membenarkan (kesemuanya) beserta isyarat-isyaratnya. (Akan tetapi wujud kelompok ketiga, iaitu) orang yang mencari kebenaran, dia akan (mengambil sikap pertengahan dengan) menerima daripada orang ahli kebenaran dan menolak daripada orang yang bukan ahli kebenaran.

Di tempat yang lain Ibn al-Qayyim menjelaskan lagi sikap tiga kelompok di atas dengan lebih terperinci:[31]

Ungkapan-ungkapan syathahat menimbulkan fitnah kepada dua kelompok manusia:

Pertama adalah mereka yang terhijab daripada kebaikan-kebaikannya, daripada kelembutan jiwa serta kesejatian pergaulannya. Lalu mereka menyia-nyiakan (kebaikan-kebaikan) disebabkan syathahat tersebut serta mengingkarinya sehingga berburuk sangka kepada mereka (ahli tasawuf) secara mutlak.

    Cara seperti ini adalah satu permusuhan dan berlebih-lebihan. Seandainya setiap orang yang salah dan keliru ditolak secara keseluruhannya dan kebaikan-kebaikannya disia-siakan, maka akan hancurlah ilmu, disiplin serta peraturannya dan terlantarlah segala yang berkaitan dengannya.

Kedua adalah kelompok yang terhijab daripada melihat kecacatan dan kekurangan syathahat tersebut sehingga kemudiannya menduganya sebagai pembawa kebaikan lalu menerimanya secara bulat-bulat. Kelompok ini juga telah melampaui batas dan bersikap berlebih-lebihan.

(Di antara dua kelompok ini adalah) kelompok Ketiga yang terdiri daripada mereka yang bersikap adil lagi di pertengahan, iaitu mereka yang memberikan hak kepada pemiliknya dan menempatkan segala sesuatu pada tempatnya. Mereka tidak menghukum benar terhadap sesuatu yang salah dan tidak menghukum salah bagi sesuatu yang benar. Mereka menerima apa yang sepatutnya diterima dan menolak apa yang sepatutnya ditolak.

Daripada penjelasan Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim di atas, jelas kepada kita sikap yang adil lagi benar apabila berhadapan dengan ungkapan-ungkapan syathahat ahli-ahli tasawuf. Sikap tersebut boleh dibahagi kepada tiga kategori:

1.      Jika ia dapat difahami secara benar dan didapati bertentangan dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah maka ketepikanlah ia tanpa mengkritik tokoh yang menyebutnya. Ini kerana kita tidak tahu sama ada dia menyebutnya dalam keadaan sedar atau tenggelam dalam kekhusyukan latihan rohani. Kewajipan kita hanyalah menerangkan di mana letak kesalahannya dalam ungkapan tersebut.

2.      Jika ia dapat difahami secara benar dan didapati selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, bahkan dapat memberi manfaat sebagai nasihat dan hikmah, maka ia boleh diambil dan dimanfaatkan.

3.      Jika ia tidak dapat difahami secara benar, maka tangguhlah sehingga ke satu masa di mana ia dapat difahami, sama ada kerana peningkatan ilmu kita sendiri atau apabila berpeluang bertanya kepada orang arif lagi memiliki mata hati (بصيرة) dalam memahaminya.