Article Index


[2]            Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Ahli Tasawuf.

Ibn Tamiyyah ialah seorang tokoh yang amat menghormati dan menyanjung tinggi tokoh-tokoh tasawuf. Selagi mana mereka berada pada jalan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman generasi al-Salaf al-Shalih, Ibn Taimiyyah akan menyebut nama mereka dengan penuh kehormatan, pujian dan sanjungan. Antara bukti yang paling jelas ialah kata-kata Ibn Taimiyyah berikut ini:[19]

……bahawasanya mereka adalah para syaikh umat Islam dan para imam pemberi petunjuk yang dijadikan Allah Ta‘ala di lisan mereka kebenaran untuk ummah, (mereka itu ialah) seperti Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan al-Bashri, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, Malik bin Anas, al-Awza‘ie, Ibrahim bin Adham (160H), Sufyan al-Tsauri, al-Fadhil bin ‘Iyadh (187H), Ma‘aruf al-Karkhi (200H), al-Syafi‘ie, Abi Sulaiman (al-Darani) (215H), Ahmad bin Hanbal, Bisyr al-Hafi (227H), ‘Abd Allah bin al-Mubarak, Syaqiq al-Balkhie (194H) dan banyak lagi yang tidak dapat diperkira.

Contoh mereka yang terkemudian ialah al-Junaid bin Muhammad al-Qawarairi (297H), Sahl bin ‘Abd Allah al-Tustari (283H), ‘Umar bin ‘Utsman al-Makki (291H) dan orang-orang sesudah mereka sehinggalah kepada Abi Thalib al-Makki (386H), sehingga seumpama ‘Abd al-Qadir al-Kailani (561H)[20]…………

Adapun pandangan Ibn Taimiyyah tentang para tokoh tasawuf yang lain, ia adalah pandangan yang berada di pertengahan antara memberi pujian dan kritikan. Antaranya beliau menulis:[21]

Yang benar adalah, bahawasanya mereka (ahli tasawuf) ialah orang yang bersungguh-sungguh (مجتهدون) dalam ketaatan kepada Allah sebagaimana juga kesungguhan orang selain mereka daripada kalangan yang taat kepada Allah. Maka di kalangan mereka terdapat orang yang terkehadapan (السابق) dalam menghampirkan diri (kepada Allah) sesuai dengan ijtihadnya dan di kalangan mereka terdapat juga orang yang cermat (المقتصد), yakni mereka yang daripada ahli kebaikan (أهل اليمين). Apapun, pada setiap golongan orang yang bersungguh-sungguh, kadang-kala dia tersilap. Maka di kalangan mereka ada yang berdosa lalu (di antara mereka) ada yang bertaubat atau tidak bertaubat.

Dan di antara yang menyandarkan diri kepada para ahli tasawuf adalah orang yang zalim kepada dirinya sendiri lagi berbuat dosa terhadap tuhannya. Bahkan adakalanya yang menyandarkan diri para ahli tasawuf adalah daripada kelompok ahli bid‘ah dan zindik. Namun di sisi para peneliti ahli tasawuf, orang-orang seperti ini bukanlah daripada mereka.

Seperti al-Hallaj (309H) misalnya, kerana sesungguhnya ramai syaikh tasawuf yang mengingkari dan mengeluarkannya daripada tarikat sufisme. Contohnya ialah al-Junaid bin Muhammad, penghulu tarikat sufisme (سيد الطائفة) dan orang selainnya. Ini sebagaimana yang disebut oleh al-Syaikh Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami di dalam kitabnya Thabaqat al-Shufiyyah dan al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib di dalam kitabnya Tarikh Baghdad.[22]

Sikap pertengahan Ibn Taimiyyah juga menyebabkan dia menganggap yang paling utama ialah orang yang bertaqwa kepada Allah tanpa mengira sama ada orang tersebut cenderung kepada aliran tasawuf atau selain tasawuf. Apabila membahas pertanyaan tentang pembahagian kaum sufi kepada al-Fuqara’ (orang-orang yang fakir) dan sebagainya, beliau merumuskan:[23]

Kesimpulannya, bahawa yang paling afdal di antara keduanya (ahli sufi dan fuqara’) adalah yang paling bertaqwa di antara keduanya. Maka jika seorang sufi bertaqwa kepada Allah maka dialah yang lebih afdal daripada seorang faqir, di mana dia (dengan sifat taqwa tersebut) melakukan amal yang disukai oleh Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh-Nya. Maka dialah yang lebih afdal daripada orang faqir.

Dan jika orang faqir melakukan amalan yang disukai oleh Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh-Nya, maka dialah yang lebih afdal daripada seorang sufi. Dan jika kedua-duanya (sufi dan faqir) bersamaan dalam melakukan amalan yang disukai (oleh Allah) dan meninggalkan selain daripada yang disukai (oleh Allah) maka darjat (keafdalan) kedua-duanya adalah sama.

(Ini kerana) para wali Allah adalah mereka yang beriman dan bertaqwa tanpa mengira apakah dia seorang faqir, ahli sufi, ahli fiqh, ahli ilmu, ahli perniagaan, tentera, ushawan (صانعا), pemimpin, hakim atau selainnya. Allah Ta‘ala berfirman:

أَلاَ إنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ. الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ.

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. [Yunus 10:62-63]