Article Index


Kritikan Ketiga:

Di dalam ilmu tasawuf terdapat banyak penyelewengan dan amalan bid‘ah yang dilarang, bahkan terkeluar daripada garis-garis syari‘at Islam.

Jawapan:

Kritikan di atas memiliki kebenaran di satu sudut dan kesalahan di sudut yang lain. Kebenarannya adalah di dalam ilmu dan pengamalan tasawuf terdapat penyelewengan dan amalan bid‘ah yang dilarang. Kesalahannya adalah, kritikan di atas tidak boleh digeneralisasikan ke atas ilmu tasawuf secara keseluruhannya.

Ilmu tasawuf, sebagaimana juga ilmu-ilmu yang lain, tidak selamat daripada pelbagai kesilapan ijtihad dan perbuatan keliru. Justeru sikap yang benar lagi adil adalah meneliti dan membezakan antara ilmu tasawuf yang benar dan salah. Apa yang selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah diambil manakala apa yang bertentangan dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah ditolak. Ilmu tasawuf tidak boleh ditolak keseluruhannya semata-mata kerana adanya pencemaran daripada kesilapan ijtihad para tokohnya dan perbuatan keliru para pengikutnya.

Apabila membandingkan antara ilmu tasawuf yang wujud pada zaman awal Islam dengan ilmu tasawuf terkemudian yang dicemari dengan pelbagai penyelewengan dan bid‘ah, Abu Ishaq al-Syatibi rahimahullah menulis:[13]

Sesungguhnya telah masuk ke dalam (ilmu tasawuf terkemudian) perkara-perkara yang merosak dan bid‘ah oleh kaum tasawuf sendiri setelah zaman mereka berada jauh daripada al-Salaf al-Shalih. Mereka mendakwa memasukkan ke dalam ilmu tasawuf sesuatu yang selain daripada jalan-jalan syari‘at padahal mereka tidak memahami maksud sebenar ahli-ahlinya (ahli tasawuf sebelum mereka). Mereka juga memperkatakan tentang (ahli tasawuf sebelum mereka) apa yang sebenarnya tidak diperkatakan sehingga pada akhir zaman ini (kurun ke 8H) seolah-olah wujud sebuah syari‘at lain yang tidak dibawa oleh Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka (ahli tasawuf terkemudian) mengagungkannya sehingga meremehkan ikutan kepada sunnah (Rasulullah) bahkan menyakini bahawa mencipta ibadah (yang baru) adalah jalan yang benar untuk beribadah. Padahal jalan (ahli tasawuf sebelum mereka) bebas daripada perkara-perkara buruk tersebut, segala puji bagi Allah.

Yang sebenarnya merosakkan ilmu tasawuf adalah orang-orang jahil yang melakukan pelbagai penyelewengan dan bid‘ah lalu kemudian menyandarkannya atas nama “tasawuf.” Sayyid Nur bin Sayyid ‘Ali, seorang tokoh tasawuf masa kini mengkritik keras orang-orang seperti ini:[14]

Pemahaman orang-orang yang keliru menganggap tasawuf ialah satu penciptaan ibadah yang baru di dalam Islam yang bercampur dengan tarian, memukul rebana dan meniup seruling syaitan. Demikian juga, diselenggarakan majlis-majlis zikir dan pesta-pesta di kawasan perkuburan atas nama al-Sima’ (السماع) dan (demi majlis perkahwinan) pengantin. Diselenggarakan juga pesta-pesta mawlid Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, berdiri untuk berselawat kepada Nabi, menghampiri perkuburan, menyampaikan nazar, memberi kurban atas nama para wali di perkuburan untuk meminta hajat dan meminta pertolongan daripada pemilik kubur.

    Kita berlindung kepada Allah Ta‘ala daripada kesesatan-kesesatan ini dan kita berlindung kepada Allah Ta‘ala daripada kemurkaan-Nya. Bagaimana mungkin para pembuat bid‘ah dapat menyebarkan perbuatan-perbuatan bid‘ah dan kurafat ini atas nama tasawuf?

    ……(yang benar) semua jalan Sufisme yang sesuai dengan ruh tasawuf dan tujuan-tujuan penyucian serta selari dengan syarat dan batas yang disepakati berdasarkan Kitab Allah Ta‘ala (al-Qur’an) dan sunnah Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam, maka seluruhnya menjadi seumpama satu keluarga dalam satu rumah yang sama.[15] Adapun jalan yang disandarkan kepada “tasawuf” akan tetapi ia berselisih dengan al-Qur’an dan al-Sunnah serta terkeluar daripada asas dan tujuan Sufisme maka janganlah membuka ruang untuk mereka masuk ke dalam golongan tasawuf.  Demikian juga, tidak dibolehkan bagi seorang jua untuk mempelajari doktrin Sufisme daripada para pembuat bid ‘ah ini.

Oleh itu sekali lagi ditekankan bahawa ilmu tasawuf tidak boleh dikritik dan ditolak keseluruhannya semata-mata kerana wujudnya pelbagai pencemaran di dalamnya. Sikap yang benar lagi adil adalah meneliti dan mengambil daripada ilmu tasawuf apa yang selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah manakala apa yang bertentangan diasingkan.