Article Index

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Tajdid?

Tajdid berakar umbi daripada sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dimana Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا.

Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya.[1]

Hadis yang ringkas ini memiliki tujuan dan maksud yang luas. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah, dalam mengupas hadis di atas, menyebut tujuannya sebagai:

 “Hadis ini bertujuan membangkitkan rasa optimis pada jiwa kaum muslimin, bahawa agamanya tidak akan pernah mati, bahawa dalam setiap masa tertentu Allah akan mengutuskan orang yang mentajdidkan agama-Nya dan menghidupkan syari’at-Nya.”[2]

Ungkapan “awal seratus tahun” dijelaskan oleh beliau sebagai:

“Ada pun yang dimaksudkan dengan ‘awal seratus tahun’ bukanlah ‘tahun seratus’ atau ‘seratus satu’, tetapi masa-masa terakhir setiap abad dan masa-masa awal dari abad yang berikutnya. Bahkan sebenarnya kita tidak mampu memastikan apakah yang dimaksudkan ialah tahun Hijriyah, tahun dari wafatnya Rasulullah atau tahun pengutusan baginda, sebagaimana yang akan kami jelaskan. Yang penting Allah tidak akan membiarkan umat ini tanpa ada orang yang membangunkan dari tidurnya atau yang menyatukan umat ini dari kehancurannya yang remuk redam.”[3]

Siapakah pentajdid yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Syaikh al-Qaradhawi menjelaskannya:

“Perkataan “man” pada hadis di atas boleh digunakan untuk jamak (plural) kerana asal kedudukan perkataan “man” berlaku untuk kedua-duanya (singular and plural). Hal ini terbukti dalam al-Qur’an:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنْ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ.

Dan sesiapa yang mengerjakan amal shalih, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga.[4]

Setelah anda mengetahui hal ini, maka seorang pentajdid boleh terdiri daripada satu orang yang Allah bangkitkan untuk mentajdid agama, seperti Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz. Adakalanya pentajdid itu lebih dari satu orang, seperti dalam bentuk jamaah, madrasah (pemikiran) atau harakah (gerakan), baik dalam bidang fikrah, tarbiyah mahu pun jihad dimana para aktivisnya saling berwasiat dengan hak dan kesabaran serta saling tolong menolong dalam kebajikan dan taqwa.

Boleh jadi pentajdid itu sifatnya individual atau berkelompok yang berbeza-beza sesuai dengan bidang dan kepakaran (masing-masing). Misalnya, yang pertama dalam bidang ilmu dan fikrah, sedang yang kedua dalam bidang tarbiyah. Yang ketiga dalam bidang politik dan kenegaraan, yang keempat dalam bidang sosial masyarakat dan yang kelima dalam bidang jihad dan dakwah, demikianlah seterusnya. Bidang dan caranya berbeza, namun prinsip dan sasaran adalah satu.

Maka disini saya (ingin mengambil kesempatan) mengingatkan kepada mereka yang aktif berjuang untuk Islam, baik secara individual atau berkelompok, tentang satu hal yang patut disedari: Bahawa perbezaan manhaj dalam beramal untuk Islam dan banyaknya jamaah dalam rangka melakukan usaha tajdid bukanlah satu penyakit atau hal yang dicela di sisi Allah dan orang-orang yang beriman, selagi mana perbezaan tersebut bersifat kepelbagaian dan bukannya bersifat permusuhan dan perpecahan.”[5]

Akhirnya, maksud tajdid dijelaskan oleh beliau sebagai:

“Mentajdid sesuatu bererti upaya mengembalikannya kepada keadaan asal sehingga ia tampil seakan-akan barang yang baru. Ini dilakukan dengan cara memperkokoh sesuatu yang lemah, memperbaiki sesuatu yang usang dan menampal sesuatu yang retak sehingga kembali mendekati bentuknya yang pertama. Dengan kata lain, tajdid tidak bererti merombak bentuk yang pertama atau menggantikannya dengan yang baru.

Agar lebih jelas lagi, kami berikan contoh yang kukuh: Apabila kita ingin mentajdid sebuah bangunan tua, kita membiarkan asas, ciri-ciri, bentuk dan sifat bangunan tersebut. Kita hanya memperbaiki apa yang rosak, menghias, menampal dan memperindah bahagian yang usang. Jadi bukan menghancurkan bangunan tersebut dan diganti dengan bangunan baru yang berbeza.

Demikian pula dengan upaya mentajdid agama, bukan bermakna merubah agama tetapi mengembalikannya menjadi seperti dalam era Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat dan tabi’in (radhiallahu ‘anhum).”[6]

Tajdid tidak sekadar mengembalikan agama Islam kepada keadaannya yang pertama lagi tulen, tetapi juga mengembalikan komitmen umat kepada Islam yang pertama lagi tulen. Ustaz Maszlee Malik dan Hamidah Mat melanjutkan:

“Tajdid membawa maksud suatu pembaharuan untuk membangkitkan komitmen umat terhadap Islam dalam bentuknya yang kudus dan bersih. Ia adalah satu proses pembaikan atau pun suatu perubahan yang bertujuan membawa umat kembali kepada keaslian Islam yang utuh. Maksudnya, tajdid adalah berkaitan usaha mengembalikan sikap dan pengamalan umat Islam kepada ajaran Islam itu sendiri dan bukannya menggantikan Islam dengan ajaran yang baru kerana (konon) tidak sesuai dengan zaman.”[7]