Article Index

 

 

 

Apabila berinteraksi dengan tajdid, umat Islam di Malaysia terbahagi kepada beberapa kategori:

 

Pertama: Mereka yang berkata tajdid adalah tidak perlu kerana beranggapan Islam di Malaysia masih dalam keadaan yang pertama lagi tulen. Maka mereka menghalang usaha mentajdid dan meremehkan para pentajdid.

Ini adalah sikap yang tidak benar kerana sesiapa yang sahaja yang melakukan kajian terhadap Islam di Malaysia dan pengamalannya oleh rakyat Malaysia pasti akan menemui bahawa sebahagian daripadanya berada dalam keadaan yang pertama lagi tulen manakala sebahagian lagi berada dalam keadaan yang bercampur aduk dengan pelbagai unsur pencemaran seperti tradisi masyarakat, ajaran daripada agama lain dan tokok tambah individu tertentu.

Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi meluas kepada negara-negara yang lain. Perkara ini bukan sahaja berlaku pada masa kini tetapi bermula sejak wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Oleh kerana itulah baginda bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya”, menunjukkan bahawa pencemaran agama adalah sesuatu yang benar-benar akan berlaku dan usaha tajdid adalah perlu untuk membersihkan pencemaran tersebut.

Kedua: Mereka yang beranggapan tajdid adalah usaha mengubah-suai agama dari sudut pemikiran dan amalan agar ia sesuai dengan kehendak manusia dan peredaran zaman. Dari sudut pemikiran, mereka cuba untuk membuka tafsiran agama dan menjadikannya hamba kepada peradaban kini (liberalisme). Ada pula yang menganggap azab kubur, penurunan Nabi Isa pada akhir zaman dan wanita yang menutupi auratnya adalah punca kemunduran umat, lalu ia perlu ditolak daripada pegangan umat Islam.[8] Dari sudut amalan, mereka menambah ibadah tertentu dan mengurangkan ibadah yang lain. Usaha-usaha sebegini tidak disebut sebagai tajdid tetapi disebut sebagai bid’ah.

Bid’ah, sama ada dari sudut pemikiran atau amalan, merupakan salah satu kemungkaran yang amat berbahaya kepada agama Islam dan umatnya. Oleh kerana itulah Allah dan Rasul-Nya memberi larangan keras kepada para pencipta bid’ah dan para pengamalnya.

Ketiga: Mereka yang beranggapan tajdid adalah usaha kembali kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja. Maka dalam usaha tajdid tersebut, mereka menyisihkan khazanah peninggalan para ulama seperti kitab-kitab tafsir, syarahan hadis, fiqh dan sebagainya.

Ini adalah sikap yang tidak benar kerana khazanah para ulama’ merupakan jambatan yang menghubungkan seseorang itu kepada kefahaman yang tepat kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanpa jambatan tersebut, seseorang itu akan tenggelam ke lautan yang dalam.

Memang, para ulama’ tersebut tidak maksum. Namun, mereka yang menyisihkan khazanah para ulama’ juga tidak maksum, bahkan jauh lebih tidak maksum. Oleh itu para ulama’ memang ada melakukan kesilapan, namun ia dalam kekerapan yang amat kecil. Berbeza dengan mereka yang bukan ulama’, mereka akan membuat kesilapan dan ia dalam kekerapan yang amat besar.

Keempat: Mereka yang melakukan usaha tajdid dengan cara tashfiyah (التصفية) dan tarbiyah (التربية). Tashfiyah bermaksud usaha memurnikan agama Islam daripada pelbagai pencemaran yang telah sekian lama melekat kepadanya. Manakala tarbiyah bermaksud mendidik umat kepada agama Islam yang telah dimurnikan, hasil daripada usaha tashfiyah di atas.[9]

Ini adalah sikap yang benar. Memandangkan umat Islam di Malaysia berada dalam keadaan yang agak jauh daripada Islam yang pertama lagi tulen, maka manhaj tashfiyah dan tarbiyah hendaklah dijadikan kaedah utama dalam usaha tajdid. Seterusnya manhaj mencela, menghukum dan memulau (boycott) hendaklah ditinggalkan kerana ia tidak menghasilkan manfaat yang diingini, sebaliknya mengekal atau menjauhkan lagi Islam di Malaysia dan umatnya daripada agama yang pertama lagi tulen.