Article Index

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Globalisasi?

Globalisasi, secara sederhana, dapat didefinisikan sebagai peruntuhan pagar-pagar yang memisahkan antara negara sehingga dengan itu mudah berlaku pertukaran, pemindahan dan perkongsian dalam pelbagai lapangan seperti ilmu, pemikiran, ekonomi, kebudayaan dan agama.

Untuk lebih memantapkan kefahaman kita tentang globalisasi, berikut dikemukakan beberapa contoh yang lazim berlaku:

·        Globalisasi dalam lapangan ilmu, contoh terbaik ialah dalam bidang perubatan dimana ia adalah satu bidang ilmu yang tidak mengenal batas sempadan. Ilmu-ilmu berkaitan kajian, ubat dan kaedah pengubatan banyak bertukar, berpindah dan dikongsi antara negara dengan negara, termasuklah Malaysia. Bahkan pada masa kini seorang doktor di satu negara boleh mengawasi dan memberi tunjuk ajar secara lintas langsung kepada pembedahan yang sedang dilakukan oleh para doktor di negara yang lain.

·        Globalisasi dalam lapangan isme-isme (pemikiran), contoh terkini ialah pemikiran pluralisme yang bermaksud semua agama adalah sama dan benar[10], pemikiran hak asasi manusia yang menekankan bahawa setiap individu berhak melakukan apa sahaja yang dia kehendaki[11], pemikiran liberalisme yang bertujuan membuka agama menjadi hamba kepada peradaban semasa dan pemikiran feminisme yang menyuruh wanita menjadi seumpama lelaki tetapi pada waktu yang sama bersaing dan membenci lelaki.[12]

·        Globalisasi dalam lapangan ekonomi, seperti masuknya ke Malaysia pasaraya-pasaraya yang besar (Hyper Mart) seperti Makro, Carrefour dan Tesco. Contoh lain ialah usaha pengilangan oleh syarikat-syarikat gergasi antarabangsa kerana mengambil manfaat daripada kos pekerja dan bahan asas yang murah di Malaysia. Dikatakan bahawa lapangan ekonomi merupakan pemain utama dalam era globalisasi masa kini.

·        Globalisasi dalam lapangan kebudayaan, seperti masuknya ke Malaysia fesyen memakai subang, rantai dan gelang bagi kaum lelaki dan fesyen menayangkan pusat bagi kaum wanita. Termasuk dalam lapangan kebudayaan ialah pelbagai pertandingan realiti (Akedemi Fantasia) dan festival hiburan (Jom Heboh).

·        Globalisasi dalam lapangan agama, sepertimana berkembangnya agama Islam ke pelbagai negara lain, khasnya di benua Amerika, Eropah dan Australia. Pada waktu yang sama agama Kristian juga sedang berkembang luas ke pelbagai negara lain, khasnya negara yang rakyatnya beragama Islam.

Apabila kita mengkaji secara mendalam tentang globalisasi, akan ditemui beberapa fakta penting:

Pertama: Globalisasi hanya baru dari sudut istilah, tidak dari sudut maksudnya. Ini kerana pertukaran, pemindahan dan perkongsian dalam pelbagai lapangan sudah berlaku di antara manusia sejak sejarah mula dicatit. Bahkan antara tujuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencipta manusia adalah untuk mereka saling “berglobalisasi” sepertimana firman-Nya:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).[13]

Globalisasi mula berkembang pesat sejak 20 hingga 30 tahun yang lepas dan perkembangan inilah yang melahirkan nama “Globalisasi” itu sendiri. Antara faktor yang menyebabkan perkembangan ini adalah kemajuan teknologi maklumat, media massa, elektronik, pengangkutan dan kemajuan diri manusia itu sendiri.

Kedua: Globalisasi tidak seluruhnya membawa manfaat dan tidak seluruhnya membawa mudarat. Ia bercampur aduk antara manfaat dan mudarat, antara positif dan negatif. Globalisasi pasaraya-pasaraya yang besar misalnya, membawa bersamanya manfaat peluang pekerjaan, pemindahan kaedah urusniaga, peningkatan ekonomi negara dan kemudahan kepada pelanggan. Akan tetapi ia juga membawa mudarat seperti penindasan kepada peniaga runcit yang kecil dan pembaziran wang ringgit bagi pelanggan yang tidak berhemat dalam membeli-belah.

Ketiga: Sekali pun globalisasi pada asalnya bermaksud pertukaran, pemindahan dan perkongsian antara negara, realiti menunjukkan bahawa ia tidak wujud dalam bentuk dua hala yang adil. Sebaliknya, ada negara yang bersifat “mengglobalisasi” dan ada negara yang bersifat “diglobalisasi”.

Maksud saya dengan “mengglobalisasi” adalah negara yang menyebarkan ilmu, pemikiran, ekonomi, kebudayaan dan agama mereka kepada negara lain. Ada pun “diglobalisasi”, ia adalah negara yang bersifat hanya menerima ilmu, pemikiran, ekonomi, kebudayaan dan agama dari negara yang “mengglobalisasi” tanpa menilai sama ada ia membawa manfaat atau mudarat.[14]

Soalan mudah: Adakah Malaysia secara umum dan umat Islam di Malaysia secara khusus bersifat mengglobalisasi atau diglobalisasi?