Article Index

 

 

Kelima: Berubah dari isu lokal kepada isu global.

Untuk menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu bersikap global dan memberi perhatian kepada isu-isu yang global. Terdapat banyak isu global yang memerlukan perhatian kita. Dalam kesempatan ini saya ingin menyentuh dua isu:

·        Terrorisme: Iaitu tindakan menakutkan orang ramai dan merosakkan harta benda awam untuk mencapai tujuan tertentu. Lazimnya tindakan ini disandarkan oleh pihak media, luar dan dalam negara, kepada segelintir umat Islam. Maka kita perlu berusaha untuk:

1.      Menerangkan kepada orang ramai bahawa Islam mengecam tindakan terrorisme.

2.      Menerangkan kepada orang ramai bahawa terdapat perbezaan yang besar antara Jihad di jalan Allah (Jihad fi Sabilillah) dan terrorisme. Tindakan jihad hanya dapat dikatakan berada “di jalan Allah” jika ia menepati rukun-rukunnya.[30] Adapun tindakan terrorisme, maka ia tidak menepati apa-apa rukun, dengan itu ia adalah sesuatu yang  berada “di selain jalan Allah”.

3.      Menerangkan kepada orang ramai bahawa terrorist yang sebenar ialah mereka yang sebelum ini menjajah negara-negara lain, menindas penduduk peribumi seperti kaum Indian di benua Amerika dan kaum Aborigine di Australia, bertanggungjawab membunuh ratusan ribu orang semasa Perang Dunia pertama dan kedua, juga mereka yang sekarang ini menyerang Palestin, Afghanistan dan Iraq.

·        AIDS: Mitos umat Islam bahawa kononnya mereka imun (immune) daripada penyakit AIDS perlu diperbetulkan. AIDS adalah wabak yang sedang merebak dengan pantas di seluruh dunia dan ia tidak mengecualikan umat Islam. Malah 80% daripada pesakit AIDS di Malaysia beragama Islam.[31] Maka apakah yang sedang kita lakukan, sama ada untuk diri kita sendiri atau umat Islam seluruhnya, untuk menangani wabak ini?[32]

Selain memberi perhatian kepada isu global, kita juga perlu beri perhatian kepada isu yang berlaku di Malaysia sebagai kesan daripada globalisasi yang negatif. Sebagai contoh:

·        Pemikiran pluralisme, liberalisme dan feminisme sebagai kesan negatif daripada globalisasi pemikiran.

·        Keengganan untuk solat, maksiat yang berleluasa, moral yang rendah, fesyen lelaki bersubang dan wanita yang menayangkan pusat sebagai kesan negatif daripada globalisasi kebudayaan.

·        Sikap rakus untuk memperbanyakkan harta sehingga segala tujuan hidup adalah kerana imbalan harta di sebaliknya. Ini adalah kesan negatif daripada globalisasi ekonomi kapitalis.

·        Banyaknya umat Islam yang berpaling ke agama Kristian atau tidak beragama (atheis) sebagai kesan negatif daripada globalisasi agama.

Demikian beberapa isu, sama ada yang bersifat global secara umum atau sebagai kesan negatif daripada globalisasi, yang pada pengamatan saya amat kurang diberi perhatian oleh umat Islam Malaysia.

Iya! Timbul persoalan: “Di atas hanya isu-isu. Di mana solusinya?” Saya jawab: “Ahha! Memang saya sengaja biarkan ia tergantung. Sudah tiba masanya kita fikirkan solusinya. Selama ini kita hanya mengharapkan “mereka” untuk memberi solusi dan bertindak. Kini masa untuk berubah. Tidak lagi mereka tetapi kita yang memikirkan solusinya dan bertindak atas solusi tersebut.[33]

Sebelum beralih ke poin seterusnya, ingin dijelaskan bahawa apabila saya menyarankan kita berubah dari isu lokal kepada isu global, tidaklah bererti isu lokal dibiarkan terbengkalai. Isu-isu lokal seperti mandi bunga untuk dapatkan jodoh, jumpa bomoh untuk bertanyakan dompet yang hilang dan kenduri arwah memang tetap perlu diberikan perhatian. Ia adalah perkara-perkara kurafat yang telah sebati dalam ubat Islam tanah air sehingga kita perlu dididik dan mendidik agar bersih daripadanya.[34] Hanya kita perlu mengimbangi (prioritize) antara lokal dan global, bahkan mengunggulkan global di atas lokal kerana isu global jika tidak ditangani dari awal akan menjadi isu lokal jua akhirnya.