|
ISU 1 : AL-QURAN SAHAJA?
Soalan 1:
Ada
pihak yang mengatakan bahawa kita hanya perlu beramal dengan Al Quran
dan tidak perlu kepada hadis Nabi SAW.
Adakah pendapat ini benar?
Jawapan:
Pendapat tersebut adalah pendapat dari golongan yang dikenali sebagai
Anti Hadis. Apa yang benar ialah tiada siapa dapat memisahkan hadis
daripada Al Quran kerana hadis adalah huraian kepada Al Quran. Ini jelas
dalam firman ALLAH SWT :
Maksudnya: Dan kami turunkan kepadamu (Muhammad)
Al Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah
diturunkan kepada mereka.
Firman ALLAH SWT lagi:
Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Rasul,
maka sesungguhnya dia telah taat kepada ALLAH, dan sesiapa yang
berpaling, maka KAMI tidak utuskan engkau (wahai Muhammad) sebagai
penjaga kepada mereka.
Seluruh kehidupan Rasulullah SAW adalah huraian kepada Al Quran bagi
memudahkan umat manusia mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka.
Sepanjang hayat Baginda SAW menjelaskan kepada umat Islam agar mereka
faham bagaimanakah mereka ingin memahami Al Quran seterusnya beramal
dengannya dalam kehidupan seharian. Segala huraian ini dipanggil hadis
atau sunnah. Menurut seorang pensyarah pengajian hadis di Universiti
Jordan, Hammam Said:
Sedangkan daripada sudut sebagai sumber hukum, maka Al Quran
menghalalkan dan sunnah juga menghalalkan. Al Quran mengharamkan dan
sunnah juga mengharamkan. Al Quran menggalakkan dan sunnah juga
menggalakkan. Al Quran mengharuskan dan sunnah juga mengharuskan. Maka
sunnah (hadis) adalah sama seperti Al Quran dalam syariat dan sumber
hukum-hakam.
Kita tidak akan dapat
memahami Al Quran jika kita tidak mengambil hadis atau sunnah sebagai
panduan. Kata Yusof al Qaradhawi:
Sesungguhnya ibadah yang paling utama dan kefardhuan harian serta syiar
yang besar dalam Islam iaitu solat, tidak disebutkan maklumat terperinci
mengenainya di dalam Al Quran. Tidak disebutkan jumlahnya,
waktu-waktunya, jumlah rakaatnya, cara mengerjakannya dan huraian
tentang syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Semuanya diketahui dengan
sunnah.
Inilah yang menjadikannya amat penting kerana sebarang penambahan yang
berlaku pada sumber kedua ini bermakna berlaku penambahan pada huraian
Al Quran. Maka oleh sebab itu golongan yang jahat sejak zaman awal Islam
telah berusaha mencipta hadis-hadis palsu bertujuan untuk mencemarkan
kesucian Islam. Tetapi kita bersyukur kerana wujudnya segolongan ulama
yang dikenali sebagai ulama hadis atau muhaddith yang sentiasa
memastikan masyarakat dapat mengenali hadis-hadis yang sahih dan
hadis-hadis yang tidak sahih (dhaif atau palsu).
Hadis-hadis sahih merupakan gambaran sebenar kepada kehidupan Rasulullah
SAW. Golongan yang tidak mahu mengambil hadis sebagai sumber rujukan
(Anti Hadis) sebenarnya telah melanggar perintah ALLAH di dalam Al Quran
sendiri. Maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa orang-orang yang
hanya ingin menggunakan Al Quran tanpa panduan hadis adalah golongan
yang tidak memahami Al Quran. Mereka terpengaruh dengan pemikiran
kebanyakan pemikir barat yang sentiasa inginkan umat Islam jauh daripada
ajaran Islam. Semoga ALLAH melindungi umat Islam daripada terpengaruh
dengan pemikiran yang merosakkan ini.
Di antara sumber yang memberi kita maklumat untuk menolak
tuduhan golongan Anti Hadis ialah:
- 20
Hujah Anti Hadith Dan Jawapannya
oleh Hafiz Firdaus Abdullah. (cetakan Jahabersa). Ini adalah buku yang
begitu baik dalam menjawab tuduhan-tuduhan yang meragui kedudukan hadis
sebagai sumber hukum.
- Al
Sunnah Wa Makanatuha Fi al Tasyri’
oleh Mustofa al Sibaei. Buku ini telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa
Malaysia. Maksud tajuk buku ini ialah ‘Sunnah dan kedudukannya dalam
perundangan Islam’. Mustofa al Sibaei telah lama berdebat dengan sarjana
Barat yang menafikan maklumat-maklumat berkaitan hadis.
- Tulisan
tentang anti hadis di dalam
www.darulkautsar.com.

Madkhal
Li Ma’rifati al Islam – Yusof al Qaradhawi – muka surat 299
– cetakan pertama tahun 2001 – Muassasah ar Risalah, Beirut.
|