1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

ISU 8 : RUJUKAN HADIS SAHIH              

ISU 10 : DARJAT SELAIN DLM AL-SITTAH

ISU 9 : KESAHIHAN SUNAN?

 

 

Soalan  9:

Seringkali orang menyebut 4 buku ‘Sunan’ iaitu

Sunan al Tirmizi,

Sunan Abu Daud,

Sunan al Nasaai dan

Sunan Ibn Majah.

Apakah kesemua hadis di dalam buku-buku ini adalah sahih?

 

 

Jawapan:

 

            Tidak semua hadis yang terdapat dalam empat buku ‘Sunan’ yang terkenal (Sunan al Tirmizi[1], Sunan al Nasaai, Sunan Abu Daud dan Sunan Ibn Majah) adalah sahih di sisi pengkaji hadis. Apa yang tepat menurut pengkajian hadis ialah di dalam keempat-empat buku ini terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan, dhaif dan palsu. Hal ini dapat dikenal pasti dengan merujuk kepada kajian dan ulasan ulama-ulama hadis yang terkenal.

 

            Ada  yang merasakan bahawa dengan adanya sesuatu hadis dalam salah satu dari empat buku tadi maka ini menandakan bahawa hadis itu sahih. Perkara ini adalah sangkaan semata-mata. Jika kita membaca buku Sunan al Tirmizi atau nama lainnya al Jami’ al Kabir, kita akan mendapati bahawa al Tirmizi tidak bertujuan untuk mengumpulkan hadis-hadis sahih dan hasan sahaja. Malah beliau ada menyebut beberapa hadis  yang beliau sendiri nyatakan sebagai hadis dhaif. Kadangkala beliau menukilkan kata-kata gurunya iaitu al Bukhari dalam mengkritik dan mendhaifkan beberapa hadis.

 

            Sebagai contoh, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al Tirmizi di dalam bukunya al Jami’ al Kabir atau Sunan al Tirmizi yang menceritakan amaran Nabi SAW bahawa orang yang mampu tetapi tidak menunaikan haji, maka dia berkemungkinan mati sebagai Yahudi atau Kristian. Selepas al Tirmizi menyebutkan hadis ini berserta sanadnya, beliau berkata: “Di dalam sanadnya ada kecacatan dan Hilal Ibn Abdullah adalah tidak dikenali (majhul) dan al Harith didhaifkan dalam bidang hadis”. Kedua-dua mereka adalah periwayat hadis tersebut [2]. Kecacatan ini menjadikan hadis tersebut dhaif.

 

            Begitu juga bagi yang membaca Sunan Abu Daud akan mendapati bahawa terdapat hadis-hadis yang ada di dalam buku itu dikritik oleh Abu Daud sendiri. Hal ini dapat dilihat pada hadis yang berbunyi “Letakkanlah manusia itu pada kedudukan masing-masing”. Maksud hadis tersebut ialah berkomunikasilah dengan manusia sekadar kemampuan mereka. Setelah mengemukakan hadis tersebut Abu Daud berkata: “Maimun (salah seorang periwayat hadis tersebut) tidak bertemu dengan Aisyah (isteri Nabi SAW)”[3]. Ini bermakna Abu Daud mengkritik hadis tersebut dengan satu kecacatan iaitu sanadnya terputus di antara Maimun Ibn Abi Syabib dan Aisyah. Sanad yang terputus adalah antara penyebab sesuatu hadis menjadi dhaif.

 

  Sekiranya para pembaca membaca dengan lebih luas, pasti akan bertemu dengan buku-buku ini yang dicetak bersama kajian dan semakan atau yang lebih dikenali dengan istilah tahqiq. Istilah tahqiq membawa maksud kajian semula terhadap teks sesuatu buku hadis dan juga pengkajian terhadap kesahihan hadis-hadis di dalam buku itu. Proses tahqiq telah membuktikan bahawa terdapat hadis-hadis yang tidak sahih di dalam keempat-empat buku sunan.

 

 Sebagai contoh, buku Sunan al Tirmizi telah dikaji oleh beberapa orang ulama hadis. Bagi mereka yang membaca buku Sunan al Tirmizi, mereka akan mendapati bahawa al Tirmizi sentiasa memberikan pendapatnya di hujung setiap hadis yang ada di dalam bukunya sama ada sahih atau tidak. Pendapat al Tirmizi ini menjadi perbincangan di kalangan ulama hadis sejak dahulu hingga kini.  Di antara ulama hadis zaman ini yang melakukan proses tahqiq terhadap buku Sunan al Tirmizi ialah Ahmad Syakir[4], Muhammad Nasiruddin al Albani[5], Basyar Awwad Ma’ruf[6] dan lain-lain lagi. Selepas buku ini dicetak bersama dengan tahqiq yang telah dibuat oleh mereka, terdapat beberapa pembetulan yang mereka lakukan terhadap pendapat dan pandangan al Tirmizi. Beberapa pembetulan dari al Albani, Ahmad Syakir, Basyar Awwad dan selain mereka memberi maksud bahawa apa yang dihasilkan oleh al Tirmizi (hukum dan kedudukan hadis) adalah ijtihad yang dilakukan oleh mana-mana ulama hadis berdasarkan ilmu Mustolah al Hadith. Sekiranya ijtihad beliau atau sesiapa sahaja menepati kaedah Mustolah al Hadith, maka ijtihad tersebut diterima dan jika tidak, maka ijtihad ini boleh ditolak kerana kaedah-kaedah pengkajian hadis dalam bidang Mustolah al Hadith adalah piawaian yang ditetapkan untuk menilai sesuatu hadis.

 

            Dengan ini kita dapati  anggapan bahawa semua hadis yang diriwayatkan oleh al Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan al Nasaai adalah sahih merupakan anggapan yang tidak tepat. Hanya hadis-hadis dari Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim sahaja yang memiliki kekuatan untuk diiktiraf sebagai hadis yang sahih atau hasan.

 

            Kajian ilmiah telah membuktikan bahawa bukan hanya hadis-hadis dhaif yang telah ditemui dalam kitab-kitab sunan malah terdapat juga hadis-hadis palsu yang telah ditemui dalam Sunan al Tirmizi, Sunan Abu Daud dan Sunan Ibn Majah. Ketiga-tiga buku ini telah dikaji sejak zaman berzaman dan para pengkaji telah menemui hadis-hadis yang boleh dikategorikan sebagai palsu dalam buku-buku tersebut. Namun begitu, Sunan al Nasaai telah dibuktikan bersih daripada hadis-hadis palsu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut serta melihat sendiri contoh-contoh hadis palsu dalam kitab-kitab sunan, para pembaca dinasihatkan supaya membeli sebuah buku kecil yang berjudul Hadis-Hadis Palsu Dalam Kitab 4 Sunan yang merupakan karya terjemahan daripada buku asal yang dikarang oleh Muhammad Syauman al Ramli. Buku ini telah diterjemahkan oleh Ali al Bawazeer dan dicetak oleh Pustaka al Sunnah, Indonesia. Beliau mengumpulkan hadis-hadis yang hasil kajian Muhammad Nasiruddin al Albani.

 

 



[1]Menurut sesetengah pengkaji seperti Basyar Awwad Ma’ruf, nama sebenar Sunan al Tirmizi ialah al Jami’ al Kabir. Namun ia popular dengan nama Sunan al Tirmizi sedangkan ia bukan nama sebenar buku itu. Perlu juga diingatkan bahawa menamakan buku ini sebagai Sahih al Tirmizi adalah kurang tepat.

[2]Hadis ini berserta huraian al Tirmizi boleh dilihat dalam al Jami’ al Kabir (hadis nombor 812).

[3]Sunan Abu Daud ( hadis nombor 4842).

[4]Tahqiq Ahmad Syakir telah dicetak dalam 4 jilid. 2 jilid yang pertama memuatkan hasil kajian beliau manakala 2 jilid yang terakhir dicetak selepas kematian beliau tanpa sebarang kajian.

[5]Kajian al Albani telah dicetak dalam 2 bentuk iaitu Sahih Sunan al Tirmizi dan Dhaif Sunan al Tirmizi. Pengasingan ini telah banyak membantu untuk mendapat maklumat tentang kesahihan sesuatu hadis dengan lebih cepat.

[6]Kajian beliau telah dicetak dalam 6 jilid. Beliau membuat beberapa pembetulan terhadap kajian Ahmad Syakir, al Albani dan ulama hadis lain.

www.al-firdaus.com