Soalan 7:
Adakah
ilmu pengkajian hadis ini berdasarkan kajian ilmiah atau
sekadar mengikut pendapat ulama hadis semata-mata?
Jawapan:
Mungkin ada di kalangan kita yang menyangka
bahawa pengelasan hadis adalah usaha yang tidak
mempunyai kaedah tetap. Ada juga yang menyangka bahawa
pengkajian ini adalah berdasarkan ilmu kasyaf yang
bersifat ghaib dan tidak dapat dipelajari secara
sistematik. Pengkajian hadis secara kasyaf ini
dipopularkan oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman
sufi yang melampau. Fahaman ini mengatakan bahawa
segolongan tokoh sufi dapat mengenal pasti hadis-hadis
yang sahih dan dhaif melalui mimpi atau ilham. Fahaman
ini adalah salah dan ditolak oleh para pengkaji hadis
sejak dahulu hingga kini.
Ilmu pengkajian hadis ini adalah ilmu
pengkajian yang diiktiraf oleh mereka yang pernah
mengetahui dan meneliti sejarah perkembangannya. Hal ini
diakui oleh orang-orang Islam dan orang-orang bukan
Islam. Seorang penulis barat bernama Bernard Lewis telah
berkata dalam bukunya Islam In History
yang bermaksud:
Sejak awal-awal lagi tokoh-tokoh Islam menyedari bahaya
penyaksian palsu dan sumber yang tidak kukuh bagi agama.
Justeru mereka membina satu kaedah serta pendekatan yang
begitu mendalam untuk menapis serta menganalisis sesuatu
riwayat. Sistem ilmu ini begitu canggih dan professional
dan tidak dapat ditandingi sejak dari dahulu hinggalah
ke zaman kontemporari ini.
Pengkajian hadis tidak terhad kepada teori-teori
pengkajian semata-mata tetapi ia melibatkan pengalaman
dalam mempraktikkan segala teori tersebut dalam kajian
sebenar.
Untuk mendapat gambaran lebih lanjut tentang
kaedah pengkajian hadis, bolehlah merujuk kepada buku
Selangkah Ke Arah Mengenal Al Sunnah yang dikarang
oleh Mohd. Asri B. Zainul Abidin.