Soalan 8:
Apakah buku-buku yang patut dirujuk untuk mengenal
hadis-hadis sahih?
Jawapan:
Berikut
adalah beberapa rujukan yang saya cadangkan:
1- Bagi
yang mampu membaca tulisan di dalam Bahasa Arab, saya
mencadangkan supaya mereka membaca buku Sahih al
Huffaz karya Awwad al Khalaf. Buku ini mengumpulkan
hadis-hadis yang diriwayatkan secara bersama oleh enam
orang imam hadis yang terkemuka iaitu al Bukhari,
Muslim, al Nasaai, al Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah.
Jumlahnya ialah 408 hadis.
2- Membaca
buku al Lu’lu’ wa al Marjan Fi Ma Ittafaqa ‘Alaihi al
Syaikhan yang mengumpulkan hadis-hadis yang
diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim. Ia disusun oleh
Muhammad Fuad bin Abd. Baqi. Buku ini mengandungi
hadis-hadis yang sama dari segi maksud dan lafaz yang
diriwayatkan oleh kedua-dua imam ini melalui sahabat
yang sama. Hadis ini adalah kategori hadis sahih yang
paling tinggi kedudukannya di sisi ulama hadis.
Jumlahnya ialah 1096 hadis. Buku ini ada dijual di dalam
bahasa arab (1 jilid) dan juga dijual dalam bentuk
terjemahan dalam bahasa Indonesia (3 jilid). Kita
bolehlah mengasingkan hadis-hadis yang telah dibaca
dalam langkah pertama tadi.
3- Membaca
buku Mukhtasor Sahih al Bukhari atau
ringkasan Sahih al Bukhari karya al Zubaidi. Buku
ini ada dijual dalam bahasa arab (1 jilid) dan telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Tumpukan
kepada hadis-hadis yang hanya diriwayatkan oleh al
Bukhari iaitu yang tidak ada dalam buku-buku di atas
tadi.
4- Membaca
buku Mukhtasor Sahih Muslim atau ringkasan
Sahih Muslim karya Abd Azim al Munziri (656H). Ia
ada dijual di dalam bahasa arab (1 jilid) dan telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia (1 jilid).
Tumpukan kepada hadis-hadis yang hanya diriwayatkan oleh
Muslim iaitu yang tidak ada di dalam buku-buku di atas
tadi.
Banyak
faedah dan manfaat yang akan kita dapati jika membaca
hadis-hadis Nabi SAW. Apa yang penting, kita tidak
terburu-buru menghabiskannya kerana itu biasanya
menjadikan kita akan berhenti daripada membacanya.
Terburu-buru juga mungkin menjadikan kita kurang
mengingati hadis-hadis yang pernah dibaca. Mohonlah
pertolongan ALLAH berserta usaha yang terbaik.
Kita mestilah menumpukan perhatian utama ke
arah mengkaji dan mengamalkan hadis-hadis sahih yang
terdapat dalam dua buah buku yang terkenal iaitu
Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim. Kedua-dua
buah buku ini telah diiktiraf sebagai yang terbaik dalam
mengumpulkan hadis-hadis sahih. Kedua-dua buah buku ini
sepatutnya menjadi rujukan bagi semua masyarakat sama
ada golongan agama atau masyarakat awam. Saya menasihati
diri saya dan para pembaca untuk membaca kedua-dua buku
ini. Kita juga mestilah membaca huraian para ulama
tentang maksud hadis Sahih al Bukhari dan
Sahih Muslim dalam buku-buku seperti Fathu al
Bari (huraian Sahih al Bukhari) karya Ibnu
Hajar al Asqalani (852H) dan al Minhaj (huraian
Sahih Muslim, juga dikenali sebagai Syarh
Sahih Muslim) karya al Nawawi (676H).