1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

ISU 9 : KESAHIHAN SUNAN              

ISU 11 : KEPENTINGAN PEMAHAMAN 

ISU 10 : DARJAT SELAIN DALAM AL-SITTAH

 

 

Soalan  10:

 

Bagaimana darjat hadis dalam buku-buku selain Kutub al Sittah?

 

 

Jawapan:

 

            Begitu juga buku-buku hadis selain Sahih al Bukhari, Sahih Muslim dan buku-buku sunan, maka hadis-hadisnya tidak semuanya sahih. Untuk mengetahui kesahihan sesuatu hadis, kita memerlukan penyelidikan. Contohnya buku al Musnad karya Ahmad bin Hanbal[1] yang mengandungi hampir 28,000 hadis, buku al Mustadrak[2] karya al Hakim (405H), buku-buku al Mu’jam al Kabir[3], al Awsath dan al Saghir karya al Thabarani (360H), Sahih Ibn Khuzaimah (311H), Sahih Ibn Hibban[4] serta buku-buku hadis lain yang dikumpulkan oleh ulama-ulama hadis seperti al Darimi (250H)[5], Ibnu al Sunni (364H)[6], al Baihaqi (458H), al Bazzar (292H), Abu Ya’la (307H)[7] dan lain-lain lagi. Kesemua buku ini telah dicetak dan kebanyakannya dicetak bersama semakan dan kajian oleh pengkaji-pengkaji hadis. Maka tanggungjawab kita ialah melihat hasil kajian mereka untuk mengenal pasti hadis-hadis yang nyata datangnya dari Nabi SAW dan juga yang diragui kebenarannya dari baginda SAW. Bukan sekadar menyebut…. “hadis riwayat al Baihaqi”, “hadis ini ada dalam buku al Musnad” dan sebagainya. Itu tidak mencukupi untuk memastikan hadis tersebut sahih.


 

 


[1]Buku ini pernah dikaji oleh Ahmad Syakir namun tidak berjaya menghabiskannya. Pada tahun 2001, Muassasah al Risalah atau al Risalah Publishers telah mencetaknya dengan lengkap setelah selesai dikaji semua hadisnya oleh Syuaib al Arnaouth dan rakan-rakannya di unit penyelidikan syarikat tersebut. Setiap hadis dikaji dan diberikan kedudukan sama ada sahih atau tidak. www.saaid.net telah memuatkan edisi ringkas kajian tersebut untuk dimuat turun oleh pengguna internet.

[2]Buku ini memuatkan hadis-hadis sahih, dhaif dan palsu. Oleh itu, menjadi satu kesalahan apabila sesetengah ulama menamakannya sebagai Sahih al Hakim sama seperti Sahih al Bukhari dan sebagainya. Ini kerana Al Hakim terlalu mudah menyatakan sesuatu hadis itu sahih sedangkan terdapat kecacatan di dalamnya. Antara yang telah menyemak kembali buku ini ialah al Zahabi. Semakan al Zahabi juga perlu dikaji kerana ia juga dikatakan tidak 100% tepat.

[3]Setakat pengetahuan penulis, buku ini telah dicetak dan disemak hadis-hadisnya oleh Hamdi Abd. Majid al Salafi yang merupakan pengkaji hadis terkemuka zaman ini berketurunan Kurdish dari Iraq.

[4]Antara cetakan yang lengkap membicarakan kedudukan hadis-hadis Sahih Ibn Hibban ialah cetakan Muassasah al Risalah yang dikaji oleh Syuaib al Arnaouth.

[5]Buku ini telah dicetak dengan pelbagai cetakan. Antara cetakan yang baik ialah cetakan bersama kajian Husain al Asad al Darani.

[6]Buku Ibnu al Sunni yang terkenal ialah Amal al Yaum wa al Lailah. Buku ini telah dicetak dan disemak oleh beberapa orang pengkaji hadis terkini.

[7]Al Musnad karya Abu Ya’la telah dicetak dengan kajian yang dibuat oleh Husain al Asad al Darani yang merupakan salah seorang pengkaji hadis zaman ini.

www.al-firdaus.com