1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

ISU 5 : HADIS DIBUKUKAN

                ISU 7 : KAJIAN ILMIAH?

ISU 6 : HADIS DIKATEGORIKAN?

 

 

Soalan  6:

 

Ada sesetengah orang menyebut �hadis sahih� atau �hadis dhaif�.

Bagaimanakah hadis dikategorikan oleh ulama?

 

 

 

 

Jawapan:

 

Dalam memastikan sama ada sesuatu hadis itu benar-benar datang daripada Rasulullah SAW atau tidak, para ulama telah membahagikan kedudukan hadis kepada beberapa bahagian. Pembahagiannya adalah seperti berikut:

 

1-  Hadis Sahih:  Hadis yang diyakini bahawa ia benar-benar bersumberkan daripada Rasulullah SAW mengikut pengkajian para ulama hadis. Untuk mencapai tahap Sahih, sesuatu hadis perlu melengkapi 3 syarat utama iaitu: sanadnya bersambung (periwayatnya bertemu dengan periwayat yang sebelumnya), periwayat-periwayatnya daripada kalangan mereka yang dipercayai dan tidak ada kecacatan lain yang tersembunyi dan diketahui oleh para pengkaji.[1]

 

2-  Hadis Hasan: Hadis yang juga diyakini bahawa ia benar-benar bersumberkan daripada Rasulullah SAW tetapi kedudukannya tidak setinggi hadis sahih. Hadis hasan berbeza dengan hadis sahih dari segi ketelitian para periwayatnya. Walaupun hadis hasan tidak sama kedudukannya dengan hadis sahih, hadis hasan tetap menjadi hujah dan dalil dalam Islam.

 

3-  Hadis Dhaif: Hadis yang tidak melengkapi syarat-syarat hadis sahih lalu menjadikannya tidak dapat dipastikan sama ada hadis ini benar-benar datang dari Nabi SAW atau tidak. Hadis dhaif tidak dijadikan sumber dalam menentukan hukum-hakam dan aqidah. Terdapat pendapat sebahagian ulama yang menyatakan boleh beramal dengan hadis dhaif berkaitan fadhilat amalan tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Terdapat juga sebahagian ulama lain yang menyatakan bahawa hanya hadis sahih dan hasan yang boleh diamalkan[2].

 

4-  Sangat Dhaif (Dhaif Jiddan): Hadis yang lebih rendah kedudukannya daripada hadis dhaif berdasarkan kecacatan yang ada pada sanad atau matan. Kecacatan ini ditentukan oleh pengkajian para ulama. Hadis dhaif jiddan tidak boleh dijadikan hujah serta tidak boleh diamalkan. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ulama hadis.

 

5-  Hadis Palsu (Maudhu�): Hadis yang telah dibuktikan bahawa ia bukan bersumberkan daripada Nabi SAW. Hadis palsu sememangnya bukan hadis. Kita tidak melihat kepada maksud hadis palsu tersebut sama ada baik atau tidak tetapi kita melihat pada dosa menyatakan sesuatu itu sebagai hadis sedangkan ia bukan hadis. Sabda Nabi SAW :

 

Maksudnya: Sesiapa yang berbohong menggunakan namaku maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka [3].

 

            Sikap yang terbaik patut kita ambil ialah mengutamakan hadis-hadis sahih dan hasan dalam persoalan hukum-hakam dan sebagainya. Kita juga dilarang menggunakan hadis palsu dalam erti kata menyebut bahawa hadis tersebut daripada Rasulullah SAW kerana ini merupakan kesalahan yang besar. Persoalan tentang penggunaan hadis dhaif akan dijawab dalam soalan nombor lima belas dalam buku ini.

 

            Satu perkara yang perlu ditegaskan ialah, persoalan pembahagian hadis kepada sahih, hasan, dhaif dan palsu adalah persoalan yang ilmiah. Setiap hadis dikaji dan dinilai oleh para ulama sejak zaman berzaman menggunakan kaedah-kaedah hadis yang dikenali sebagai Ilmu Mustolah al Hadith. Pembahagian hadis sebegini bukanlah satu kerja yang bersifat suka-suka atau tidak berasas.

 

 



[1]Tiga syarat ini adalah secara umum dan ada perinciannya yang boleh dirujuk dalam buku-buku ilmu hadis.

[2]Lihat soalan kelima belas dalam  buku ini.

[3]Hadis Sahih riwayat Al Bukhari (hadis no. 1291) dan Muslim ( hadis no. 4).

www.al-firdaus.com