|
ISU 18 : PENGGUNAAN
HADIS PALSU
Soalan 18:
Sebahagian masyarakat kita mengatakan bahawa tidak menjadi
kesalahan untuk kita menyebut hadis palsu selagi maksudnya
baik dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Adakah pendapat ini diterima?
Jawapan:
Pendapat ini
tidak dapat kita terima. Kita perlu melihat kepada dosa dan
bahaya menyebarkan hadis-hadis yang tidak benar datangnya
daripada Rasulullah SAW. Kita harus berfikir apa akibatnya
jika hadis-hadis palsu dan tidak sahih ini diyakini dan
dipercayai sebagai sahih oleh masyarakat awam. Hal ini
pastinya memberikan gambaran yang berlainan daripada perkara
yang sepatutnya difahami dan diketahui oleh mereka.
Mari kita renungi satu amaran yang
terdapat dalam sabda Nabi SAW:
Maksudnya :
Sesiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak
pernah menyebutnya, maka dia telah
menempah tempatnya di dalam neraka”.
Elok rasanya penulis mencatatkan kata-kata seorang ahli
hadis terkenal dari mazhab al Syafie iaitu Ibn Hibban.
Menurut beliau ketika menghuraikan hadis sahih:
Maksudnya : “Cukuplah menjadi satu
dosa bagi seseorang yang menceritakan segala yang dia
dengari (tanpa mengkaji benar atau tidak)”.
Ibn Hibban berkata:
Di dalam hadis ini terdapat larangan
kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk
hadis) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih.
Malah Ibn Hibban telah membuat satu kesimpulan di dalam
bukunya yang terkenal iaitu Sahih Ibn Hibban bahawa sesiapa
yang menyebut sesuatu hadis tanpa mengetahui adakah hadis
tersebut sahih atau tidak maka dia adalah berdosa dan layak
memasuki neraka.
Al Zahabi dalam bukunya Tazkiratu al Huffaz telah
menyebut sebuah hadis palsu bermaksud: “Sesiapa yang
menghafal satu hadisku untuk umatku, maka dia mendapat
pahala sebanyak pahala tujuh puluh satu Nabi yang benar”.
Setelah menyebut hadis ini, beliau berkata:
Hadis ini adalah di antara hadis yang haram diriwayatkan
kecuali diberitahu bahawa ia adalah palsu tanpa ragu-ragu
lagi. Dan semoga ALLAH membalas perbuatan buruk orang yang
menciptanya.
Lihatlah kata-kata al Zahabi yang jelas melarang kita
meriwayatkan hadis palsu kecuali diberitahu bahawa ia adalah
palsu. Walaupun maksud hadis itu nampak baik tetapi al
Zahabi tetap tidak membenarkan kita menggunakannya
seolah-olah hadis tersebut sahih. Inilah ketelitian yang
kita ingini dalam masyarakat.

Tamam
al Minnah Fi al Ta’liq ‘Ala Fiqh al Sunnah –
Syeikh al Albani – kaedah nombor 11.
|