Soalan 17:
Apakah sebab-sebab yang menyebabkan hadis-hadis dhaif
dan palsu tersebar dalam kalangan masyarakat?
Jawapan:
Penyebaran hadis-hadis dhaif dan palsu
berlaku pada masa ini kerana beberapa sebab. Perkara ini
sudah pasti sedikit berbeza dengan sebab-sebab hadis ini
muncul pada zaman silam. Mengikut pandangan penulis
sebab-sebab itu boleh kita bahagikan kepada beberapa
sebab utama iaitu :
1- Sikap
sebilangan pendakwah yang menyebarkan hadis-hadis ini
tanpa usul periksa dan kajian. Memang ada di antara
mereka yang berniat baik untuk menyampaikan ilmu kepada
orang ramai. Namun perlu diingat bahawa niat yang ikhlas
belum cukup dalam menyampaikan ilmu. Niat itu mesti
disertakan dengan pembacaan dan perbincangan untuk
memastikan kedudukan hadis yang ingin disampaikannya
untuk mengelakkan daripada menceritakan hadis-hadis yang
tidak sahih.
2- Sikap
masyarakat yang terlalu menyanjung tinggi para
pendakwah. Kebanyakan masyarakat kita sentiasa terkeliru
di antara menghormati para penceramah dan memuja mereka.
Kita dituntut oleh Islam untuk menghormati mereka yang
memiliki ilmu. Tetapi ini tidak bermakna kita meletakkan
mereka ke tahap yang terlalu tinggi seolah-olah mereka
tidak pernah melakukan kesilapan. Seperti kata Malik:
“Setiap manusia itu diambil pendapatnya dan ditolak
(berdasarkan kebenaran) kecuali Rasulullah SAW”. Hanya
Rasulullah SAW yang wajib kita terima segala ucapannya.
Adapun manusia lain, kita dibenarkan menerima atau
menolak pendapat mereka berdasarkan kajian.
3- Kurang
publisiti (tulisan, rancangan televisyen atau radio,
seminar) yang mengetengahkan isu ini. Jika perkara ini
mula dibincangkan di sana sini, mungkin lebih mudah
untuk kita menangani kewujudan hadis-hadis dhaif dan
palsu ini. Alhamdulillah telah banyak seminar-seminar
yang membincangkan sama ada secara langsung atau tidak
dan menyentuh persoalan tersebarnya hadis-hadis palsu
dan dhaif. Hal ini seharusnya dibanyakkan lagi dengan
menjemput tokoh-tokoh pengkaji hadis luar yang telah
maju untuk berkongsi pengalaman mereka dengan ulama
Malaysia.
