1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

ISU 1 : AL-QURAAN SAHAJA

     ISU 3 : SANAD & MATAN?  

ISU 2 : SABDA NABI SAHAJA?

 

 

Soalan  2:

 

Adakah hadis boleh diertikan sebagai sabda Nabi SAW ?

 

 

Jawapan:

 

            Jika kita ertikan hadis sebagai sabda Nabi SAW, pengertian sebegini adalah belum mencukupi. Hadis bermaksud setiap perkara yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW daripada segi perbuatan, percakapan, persetujuan dan sifat-sifat Rasulullah SAW sama ada sifat akhlak atau sifat fizikal baginda SAW[1]. Pembahagian ini dapat diterangkan dengan penjelasan berikut:

 

1-  Hadis berbentuk percakapan ialah segala ucapan Rasulullah SAW yang didengari oleh para sahabat[2] sepanjang hidup baginda SAW. Hal ini banyak direkodkan oleh para penulis hadis sejak zaman berzaman seperti sabda Nabi SAW :

Maksudnya : Sesungguhnya setiap amalan itu diukur dengan niat[3].  

 

2-  Hadis berbentuk perbuatan pula ialah segala tingkah laku Nabi SAW yang dilihat oleh para sahabat lalu mereka ceritakan kepada para tabiin[4]. Perbuatan Nabi SAW menjadi panduan dan syariat serta menjadi huraian kepada Al Quran. Contohnya ialah gerak-geri Nabi SAW ketika Baginda SAW solat. Gerak geri dan perbuatan Baginda SAW telah diceritakan dengan panjang lebar oleh para sahabat sehingga kita dapat mengetahui dengan jelas bagaimanakah cara solat Nabi SAW. 

 

3-  Hadis berbentuk persetujuan atau istilah arabnya ‘taqrir’ pula ialah segala persetujuan Nabi SAW apabila melihat sesuatu perbuatan daripada sahabatnya yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Itu juga dikira hadis yang menjadi syariat kepada umatnya kerana persetujuan Rasulullah SAW menandakan bahawa perkara itu boleh dilakukan. Contohnya ketika Rasulullah SAW melihat Khalid bin al Walid memakan daging dhab (sejenis biawak yang bersih dan hidup di padang pasir) maka baginda SAW membiarkannya sahaja walaupun baginda SAW tidak memakannya kerana tidak biasa[5].  

 

4-  Hadis-hadis dalam kategori sifat pula terbahagi kepada dua iaitu hadis-hadis yang menceritakan sifat-sifat fizikal (warna kulit, rambut, bentuk tapak tangan dan sebagainya) dan juga hadis-hadis yang menceritakan sifat-sifat akhlak baginda SAW (pemurah, bergurau dengan sahabatnya, penyabar dan sebagainya) seperti yang dapat kita lihat di dalam buku al Syamaail al Muhammadiyyah[6] karya al Tirmizi (279H). Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan tajuk Tarjamah Hadits Mengenai PRIBADI DAN BUDI PEKERTI RASULULLAH SAW. Buku ini dialih bahasa oleh Drs. M. Tarsyi Hawi, cetakan kesepuluh tahun 2003 (cetakan CV PENERBIT, Bandung).

 

 

 

 



[1]Al Tamhid Fi Ulum al Hadith – Hammam Said – muka surat 11. Takrif atau pengertian hadis boleh didapati dalam buku-buku mustolah hadis.

[2]Sahabat ialah mereka yang beriman, sempat bertemu dengan Nabi SAW dan mati dalam keimanan. Kedudukan mereka berbeza berdasarkan hubungan mereka dengan Nabi SAW namun mereka kesemuanya adalah para sahabat yang diakui kehebatan masing-masing.

[3]Hadis Sahih riwayat al Bukhari (hadis no. 1)  dan Muslim (hadis no. 1907).

[4]Tabii ialah istilah yang diberikan kepada seseorang yang sempat bertemu dengan para sahabat. Tabiin menunjukkan bilangan ramai.

[5]Hadis sahih riwayat al Bukhari (hadis no. 5391).

[6]Buku ini merupakan buku yang mengumpulkan sifat-sifat Nabi SAW bermula dari sifat tubuh badan dan diakhiri dengan bab melihat Rasulullah SAW di dalam mimpi. Di dalamnya terdapat 397 buah hadis. Ia pernah dihuraikan dan dikaji oleh para ulama kerana di dalamnya terdapat hadis-hadis yang sahih dan yang dhaif. Di antara yang pernah mengkaji kesahihan hadis-hadisnya ialah al Albani, Mahir Yasin Fahl di bawah seliaan Basyar Awwad Ma’ruf dan lain-lain lagi.

www.al-firdaus.com