|
ISU 5 : HADIS DIBUKUKAN
Soalan 5:
Bila dan bagaimanakah hadis dibukukan?
Jawapan:
Hadis dibukukan sejak Rasulullah SAW masih hidup.
Memandangkan hadis-hadis sahih ini adalah sumber hukum kedua
selepas Al Quran, pemeliharaan hadis amat diberikan
perhatian oleh para sahabat Nabi SAW. Mereka menghafaznya
dengan menggunakan ingatan mereka yang kuat. Bagi sesetengah
sahabat pula mereka menulisnya di dalam catatan untuk
membantu ingatan mereka.
Pada
awalnya mereka dilarang untuk menulis perkara selain Al
Quran seperti yang terdapat di dalam sebuah hadis sahih,
maksudnya: “Jangan tulis daripadaku selain Al Quran.
Sesiapa yang menulis selain Al Quran, maka hendaklah dia
memadamnya”.
Tetapi larangan itu hanya bersifat sementara dan Rasulullah
SAW sendiri selepas itu telah memberikan kebenaran kepada
para sahabat untuk menulis hadis.
Apabila tiba zaman para tabiin, mereka juga
mewarisi sikap ini daripada para sahabat Nabi SAW. Ada di
antara mereka yang menghafaznya dan ada di antara mereka
yang menulisnya bagi membantu hafazan mereka. Mereka
sentiasa mengikuti kelas-kelas pengajian yang diadakan oleh
para sahabat dan mereka akan mencatat apa sahaja yang
disampaikan oleh para sahabat.
Begitulah keadaannya sehingga tiba zaman
pemerintahan khalifah Islam yang terkenal iaitu Umar Ibn Abd.
Aziz (101H) di sekitar seratus tahun pertama hijrah. Umar
telah mengarahkan supaya hadis-hadis Nabi SAW dikumpulkan
secara rasmi dan tersusun supaya tidak hilang daripada
pengetahuan orang ramai.
Beliau telah memerintahkan dua orang ulama yang terkenal
untuk menjalankan proses pembukuan rasmi hadis-hadis ini.
Mereka ialah : Abu Bakr Ibn Amru Ibn Hazm (120H) dan Ibn
Shihab al Zuhri.
Keperihatinan Umar telah mencetuskan satu
semangat baru di kalangan para ulama untuk turut sama
mengumpulkan hadis secara rasmi dan tersusun. Di antara
ulama hadis yang menyahut seruan Umar Ibn Abd. Aziz di zaman
itu ialah:
-
Ibn Juraij ( 150H) di Mekah
-
Al Auzaa’i ( 156H) di Syam
-
Sufyan al Thauri di Kufah
-
Muhammad Ibn Ishak (151H) dan Abdullah Ibn al Mubarak (181H)
di Khurasan
-
Malik Ibn Anas (179H) di Madinah
Amalan ini berterusan pada awal kurun ke 3 hijrah dan di
antara mereka yang membukukan hadis ialah Imam-imam yang
dikenali buku-buku mereka dengan nama al Kutub as Sittah (6
buku):
1.
Muhammad Ibn Ismail al Bukhari (256H)
2.
Muslim Ibn al Hajjaj (261H)
3.
Muhammad Ibn Yazid ( Ibn Majah) (273H)
4.
Sulaiman Ibn al Asy’ath ( Abu Daud) (275H)
5.
Muhammad Ibn Isa (al Tirmizi) (279H)
6.
Ahmad Ibn Syuaib ( al Nasaai) (303H)
Sejak zaman itu hinggalah ke hari ini, penulisan dalam
bidang hadis melalui pelbagai peringkat yang melibatkan
bermacam-macam bentuk penulisan. Hadis-hadis yang telah
dikumpulkan itu telah dikaji dan dinilai oleh para ulama.
Sejak itu banyak buku telah dihasilkan yang dapat kita baca
hingga ke hari ini.
Mungkin ada yang menyangka bahawa penulisan
hadis bermula lewat iaitu beberapa ratus tahun selepas
Rasulullah SAW wafat. Ini adalah pendapat yang tidak tepat.
Penulisan dan pengumpulan hadis telah bermula sejak
Rasulullah SAW masih hidup. Bentuk penulisan dan pengumpulan
ini telah berkembang dan menjadi lebih tersusun seiring
dengan perkembangan zaman.
|