|
ISU 13 :
PERKEMBANGAN ILMU HADIS
Soalan 13:
Adakah ilmu
pengkajian hadis hanya terhad kepada pengkajian yang telah
dibuat oleh ulama silam? Bagaimana pula perkembangan ilmu
hadis pada zaman ini?
Jawapan:
Pada zaman moden ini lahir segolongan yang mengkaji hadis
dan menyemaknya bagi memastikan adakah hadis itu sahih atau
tidak. Mereka meneruskan jejak langkah para ulama
muhaddithin terdahulu dengan mempraktikkan ilmu Mustolah
al Hadith dan tidak hanya sekadar menghafal
teori-teorinya sahaja tanpa digunakan. Elok rasanya kita
melihat dengan ringkas apakah respon daripada masyarakat
Islam yang melihat perkembangan ilmu hadis ini. Secara
mudahnya kita dapat bahagikan respon mereka ini kepada tiga
kumpulan seperti berikut:
1. Golongan
yang menerima kemunculan pengkaji-pengkaji hadis moden ini
dengan positif. Mereka mengambil segala ilmu yang
disampaikan dan menghargai segala kajian yang dibuat oleh
para pengkaji hadis pada masa ini. Inilah prinsip yang
terbaik dan pendirian yang paling tepat.
2. Golongan
yang melihat kemunculan pengkaji-pengkaji hadis ini sebagai
satu perkara yang negatif dan tidak ada kepentingannya.
Mereka masih menganggap bahawa tidak ada ulama pada masa ini
yang boleh menandingi kehebatan ulama hadis silam. Mereka
hanya berpegang kepada pendapat-pendapat ulama silam tanpa
mempersoalkan sama ada hujahnya kuat atau lemah.
3. Golongan
yang tidak sedar tentang kemunculan pengkaji hadis ini dan
mereka hidup tanpa menghiraukan perkembangan ini. Mereka
tidak melihat ilmu hadis sebagai satu perkara yang penting
terutama pada zaman ini yang banyak mementingkan kebendaan
lebih dari keagamaan.
Pengkajian hadis tidak mungkin terhenti pada zaman silam
semata-mata. Ilmu pengkajian adalah berdasarkan maklumat,
pemerhatian dan ijtihad. Ijtihad tidak terhenti kepada
mana-mana zaman. Ia terus berkembang dan diterima selagi
mana tidak menyanggahi kaedah asas yang telah ditetapkan
dalam agama. Begitu juga halnya dengan ilmu pengkajian hadis.
Ia adalah ilmu yang terus hidup dan diwarisi oleh generasi
demi generasi.

|