Demikian 20 persoalan asas tentang hadis Nabi SAW
yang saya rasa perlu diperjelaskan kepada para
pembaca sekalian. Harap manhaj pertengahan yang saya
pilih, iaitu tidak terlalu ringkas dan tidak pula
terlalu memberatkan, dalam menjelaskan
persoalan-persoalan tersebut dapat memberikan
jawapan yang sewajarnya kepada persoalan-persoalan
tersebut.
Sudah tentu di kalangan pembaca yang budiman
sekalian ada yang memiliki persoalan yang lain
tentang hadis Nabi SAW. Dialu-alukan untuk
mengemukakan persoalan tersebut kepada saya melalui
e-mel, insya-Allah saya akan cuba untuk
menjelaskannya.
Sebelum berpisah, ingin saya nasihatkan kepada diri
saya sendiri dan para pembaca sekalian untuk terus
mendalami ilmu-ilmu agama tanpa mengenal titik
noktah. Tanpa berlebih-lebihan, disyorkan agar
tumpuan khusus diberikan ke dalam ilmu hadis kerana
ilmu ini buat masa kini masih kurang diberi
perhatian di kalangan orang ramai. Semoga dengan
tumpuan ini ilmu hadis akan berkembang maju dan kita
akan berinteraksi dengannya berdasarkan disiplin
yang sepatutnya.